12 Jun 2012

Pengedar tak serik-serik

22 Rejab 1433H. [MOD] -

MANJUNG - Tidak pernah serik! Itulah yang berlaku kepada seorang pengedar dadah yang baru sahaja tamat menjalani hukuman di bawah undang-undang langkah pencegahan khas apabila dia ditangkap semula bersama dadah seberat 8.3 kilogram pada 7 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung telah melakukan serbuan
di sebuah tempat ternakan ayam di Pantai Remis, di sini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui 10 ketulan mampat dipercayai ganja dan dua bekas silinder dipercayai mengandungi ganja di dalam sebuah pondok.

“Pondok berkenaan didiami oleh seorang lelaki berumur lewat 30-an dan lelaki berkenaan turut ditangkap untuk siasatan.

“Tangkapan yang dilakukan di Batu 51, Jalan Kampung Sungai Batu, Pantai Remis itu adalah hasil maklumat orang awam dan juga intipan yang telah dilakukan,” katanya dalam sidang
media semalam.

Ahmad berkata, nilai rampasan itu dianggarkan sebanyak RM21,000. “Suspek yang kita tahan itu sudah lama melakukan kegiatan ini dan baru sekarang kita berjaya menahannya bersama barang bukti.

“Dia yang merupakan penagih memang bekerja sebagai pengedar dadah telah ditahan reman sehingga Khamis ini.

"Kita akan memohon bagi reman kali kedua,” katanya.

Katanya, suspek boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: