22 Rejab 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU – Tindakan pantas anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menahan tiga lori dalam kejadian berasingan Jumaat lalu, berjaya merampas 10.6 juta batang rokok putih dan mematahkan tiga kes penyeludupannya membabitkan nilai dan cukai sebanyak RM5.8 juta.
Pengarah Kastam Negeri, Datuk Ramli Johari berkata, dua lori ditahan dalam kejadian berasingan pada jam 11.30 pagi ketika sedang berhenti di tengah-tengah Tambak Johor dalam keadaan mencurigakan.
“Pemandu kedua-dua lori gagal mengemukakan sebarang dokumen apabila dihampiri anggota penguatkuasa, dan mereka terus dibawa ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bersama lori masing-masing untuk pemeriksaan rapi.
“Hasil pemeriksaan kami menemui sejumlah rokok putih jenama Luffman, Canyon dan John yang dianggarkan bernilai RM275,000 dengan nilai cukai sebanyak RM2.73 juta bagi kes pertama.
“Manakala dalam kes kedua, kami berjaya menemui 210 kotak rokok putih jenama John yang ditaksirkan bernilai RM105,000 dengan nilai cukai RM1.04 juta,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam, di sini, semalam.
Sementara itu dalam kes ketiga, Ramli berkata, seorang pemandu bersama kelindannya ditahan dalam pemeriksaan lori di laluan pintu keluar barangan import, Unit Kawalan Risiko BSI pada jam 2 petang, Jumaat lalu.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan menahan lori berkenaan untuk pemeriksaan rapi dan menemui sejumlah rokok jenama Modeng dan Romantis.
“Kesemua barang berkenaan dianggarkan bernilai RM150,000 dengan cukai terlibat sebanyak RM1.49 juta.
“Jumlah keseluruhan barangan yang ditahan bagi ketiga- tiga kes membabitkan nilai RM530,000 dengan jumlah cukai RM5.26 juta,” katanya.
Dalam pada itu Ramli berkata, barangan yang dirampas dalam ketiga-tiga kes berkenaan merupakan barangan larangan import dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dibaca bersama Seksyen 139 akta sama.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 135(1) mereka yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali gan-da nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau
penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Katanya, mereka yang ditahan berusia di antara 22 hingga 44 tahun dan masih direman untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga kes berkenaan saling berkaitan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan