22 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Gara- gara tidak sanggup tinggal bergelap, seorang penganggur mengambil jalan pintas mencuri madu dari sebuah pasar raya di Gong Badak, di sini, kelmarin untuk mendapatkan wang dengan cepat bagi memastikan bekalan elektrik di rumahnya tidak dipotong setelah tertunggak beberapa bulan.
Bagaimanapun, perbuatan tertuduh, Nazaruddin Alias, 47, dari Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, di sini, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara selama dua hari dan denda RM400 oleh Mahkamah
Majistret, di sini, semalam. Lebih malang, seandainya Nazarudddin yang masih bujang itu gagal menjelaskan jumlah denda dikenakan, dia terpaksa meringkuk di penjara selama dua minggu lagi.
Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi setelah Nazaruddin mengaku salah mencuri empat botol madu jenama ‘Wescobee Ezy Serve’ seberat 500 gram berharga RM64 milik Pasaraya Hock Kee Seng, Gong Badak, Jalan Gong Badak, di sini, 10 Jun lalu.
Nazaruddin mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan itu pada jam 3.30 petang.
Nazaruddin mengaku mencuri empat botol madu milik Pasaraya Hock Kee Seng, Gong Badak, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Nazaruddin tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, Nazaruddin telah memasuki pasar raya berkenaan kira-kira jam 3 petang sebelum mengambil empat botol madu dan menyorokkannya di dalam seluar yang dipakai.
Bagaimanapun, Nazaruddin kantoi setelah perbuatannya disedari seorang pekerja pasar raya berkenaan yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan.
Berikutan makluman itu, Nazaruddin ditahan di pintu masuk pasar raya lalu pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ke atas badannya dan berjaya menjumpai empat botol madu di dalam seluarnya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan