22 Rejab 1433H. [MOD] -
JENGKA – Seorang penternak lembu mengalami kerugian lebih RM17,000 apabila sebanyak 17 haiwan ternakannya itu mati dipercayai akibat termakan racun.
Penternak terbabit, Alias Ahmad, 38, berkata, kejadian berlaku Sabtu lalu dan ketika itu dia berada di Kuantan atas urusan kerja.
Menurutnya, dia hanya tahu mengenai perkara itu apabila dihubungi rakan pada sebelah petang hari sama.
“Petang itu saya mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan mengatakan lembu ternakan saya mati di ladang kelapa sawit Felda Ulu Jempol.
“Sebaik sahaja mengetahui perkara itu, saya bergegas pulang ke rumah untuk memeriksa keadaan lembu terbabit,” katanya.
Alias berkata, sebaik tiba sekitar jam 10 malam, dia mendapati beberapa bangkai lembu bergelimpangan di ladang kelapa sawit itu.
“Saya tidak nampak jumlah lembu ketika itu dan mengambil keputusan untuk melihatnya keesokan pagi.
“Sekitar jam 8 pagi, saya menjenguk kembali ladang terbabit dan mendapati terdapat lebih 17 bangkai lembu bergelimpangan,” katanya.
Alias berkata, dia percaya lembu-lembunya itu mati akibat termakan racun.
“Saya percaya ternakan saya mati akibat termakan racun diletakkan seseorang dalam garam dimakan lembu terbabit kerana arwah ayah juga pernah mengalami perkara sama 10 tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mahu mengesyaki sesiapa dan percaya dia tidak pernah menimbulkan kemarahan mana-mana pihak sebelum ini.
“Saya tidak pernah membuatkan orang sakit hati, malahan seingat saya tidak pernah menerima sebarang rungutan sama ada lembu saya mengganggu tanaman mereka,” katanya.
Bagaimanapun dia mengesyaki kemungkinan ada orang iri hati dengan kejayaannya menjuarai Kategori Ternakan Ruminan Anugerah Usahawan Felda 2012, Khamis lalu.
“Saya tidak menolak kemungkinan itu. Ketika kejadian sama menimpa arwah ayah, dia turut menerima anugerah dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Katanya lagi, dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, bagaimanapun gagal menghubungi veterinar untuk menjalankan siasatan lanjut kerana kejadian tersebut berlaku ketika cuti umum.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
”Kita percaya tiada unsur jenayah berikutan haiwan ternakan terbabit bukan dalam kandang,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan