22 Rejab 1433H. [MOD] -
KAMPAR - Keseronokan tiga kaki pancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas dipercayai terjatuh di lombong Kampung Changkat Baru, Malim Nawar, pagi semalam.
Mangsa, Yung Shu Gen, 34, warganegara China adalah penuntut jurusan kulinari di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, ditemui tersangkut di celah batu kira-kira 15 meter
dari tempat terjatuh.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa pada jam 5.50 petang kelmarin dan segera memaklumkan kepada
bomba untuk mendapatkan bantuan.
Menurutnya, sewaktu kejadian, mangsa bersama dua adik-beradik lelaki yang merupakan teman serumah sedang memancing di kawasan lombong berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai pergi ke tebing untuk mencuci muka kerana cuaca panas sebelum tergelincir dan jatuh.
“Dua rakannya yang berada di situ cuba menyelamatkan mangsa namun gagal apabila mangsa tenggelam dengan pantas kerana kawasan lombong itu mulai gelap dan airnya terlalu dalam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata, mangsa baru mengenali kedua- dua adik-beradik berusia 47 dan 41 tahun itu tiga bulan lalu.
Katanya, mereka sering ke lombong, sungai mahupun tasik untuk memancing.
“Kami difahamkan mereka sudah berada di sini (Kampar) sejak Jumaat lalu dan singgah di beberapa kolam pancing itu untuk memancing,” katanya.
Ujarnya, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zainuddin Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.04 petang dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, pada operasi peringkat awal pihaknya menggunakan sebuah bot dalam operasi mencari dan menyelamat serta dibantu unit penyelam.
“Pada hari ini (semalam), operasi disambung bermula jam 7 pagi dan tiga bot digunakan dalam operasi tersebut.
“Seramai, 50 anggota terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) terbabit dalam operasi
mencari dan menyelamat itu,” katanya.
Katanya, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10.20 pagi oleh unit penyelam dan operasi tamat 10 minit kemudian.
Difahamkan lombong itu pernah meragut tiga nyawa sebelum ini dan mangsa adalah mangsa keempat tragedi lemas di kawasan yang sama.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan