12 Jun 2012

Jalan mudah dapat wang

22 Rejab 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini ditahan bersama empat remaja lain berusia antara 16 hingga 18 tahun dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, kumpulan remaja ini merupakan antara kumpulan yang aktif mencuri motosikal sekitar daerah ini sejak sebulan lalu.

“Dalam serbuan pada jam 4 pagi semalam oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Butterworth diketuai Inspektor Mohd Yusof Ibrahim itu, sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Mak Mandin hampir sebulan lalu ditemui.

“Hasil siasatan ke atas pelajar berusia 14 tahun itu kemudiannya membawa kepada penemuan dua rangka motosikal yang ditemui di dalam anak Sungai Tok Sani dipercayai dibuang
suspek selepas komponennya dileraikan,” katanya.

Zulkifli berkata, turut ditemui beberapa komponen motosikal yang dileraikan malah sebahagiannya sedia untuk dijual di rumah remaja berusia 14 tahun itu.

Menurutnya, remaja yang diberkas itu kemudiannya mengaku terlibat dengan kegiatan mencuri tiga motosikal terbabit bersama empat rakannya yang lain.

“Kesemua remaja itu kemudiannya dicekup seorang demi seorang di rumah masing-masing awal pagi semalam dan kini direman selama tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 379(A) (1) Kanun Keseksaan,” katanya.

Zulkifli berkata, remaja itu juga mengakui kegiatan mereka itu bermula sejak sebulan lalu dan ianya dijadikan jalan mudah memperoleh komponen untuk diguna sendiri dan
dijual.

Sementara itu, ketika dibawa untuk mendapatkan perintah tahanan reman semalam, ahli keluarga semua remaja terbabit dilihat berada di perkarangan bilik reman untuk menemui
anak masing-masing.

Perintah tahanan reman terhadap semua remaja terbabit itu dikeluarkan Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab.

Sinar Harian

1 ulasan:

ms tot berkata...

awat la budak2 skarang berani sgt