19 September 2012

Selamat datang para pencinta Nabi SAW

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kedatangan para peserta demonstrasi ke Kedutaan Amerika pada hari Jumaat ini, 21 Sept bagi membantah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Bagi DPPWP, kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob kehadiran peserta untuk berdemonstrasi tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman politik mencerminkan keprihatinan dan sensitiviti rakyat Malaysia berkenaan isu agama di negara ini.

“Ianya turut membuktikan rasa cinta dan sayang umat Islam di Malaysia terhadap Rasulullah SAW.

“DPPWP yakin, kehadiran demonstrasi kali ini bukan sahaja dihadiri oleh rakyat Malaysia, malahan akan turut disertai oleh ribuan umat Islam yang berasal dari negara lain tetapi menetap di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, DPPWP turut mengecam terhadap sikap biadap yang ditunjukkan oleh Sam Bacile atau nama lainnya Naloula Basseley Nakoula yang secara berani menghina Nabi Muhammad SAW melalui filemnya.

“Perbuatan Sam Bacile ini menzahirkan sikap anti-Islamnya dan tidak bertamadun kerana sanggup menghina agama lain.

“Golongan ini sentiasa tidak puas dan akan mencari jalan bagaimana untuk menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Bagi DPPWP, katanya tiada kemaafan bagi mana-mana pihak yang sanggup menghina Nabi Muhammad SAW yang amat dicintai.

“Bahkan, kami Pemuda PAS sanggup menggadaikan nyawa dan darah demi mempertahankan kesucian Islam dan Rasulullah SAW daripada dihina,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau DPPWP ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang berada di Lembah Klang untuk hadir bersama-sama berhimpun di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

DPPWP juga, ujarnya komited untuk menghantar seramai 5 ribu orang pemuda untuk bersama-sama hadir ke demonstrasi pada Jumaat ini.

harakahdaily/-

PRU13: Peluang Melayu merdeka daripada Umno

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya hanya Umno yang boleh menentukan survival orang Melayu adalah ajaran sesat dan khurafat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyeru orang-orang Melayu supaya menolak dan menghapuskan ajaran sesat dan khurafat itu kerana kejayaan dan martabat bangsa Melayu bukan terletak di tangan Umno.

Kejayaan dan martabat bangsa Melayu, katanya, kepada kesempurnaan iman kepada Allah dan pemerkasaan ilmu pengetahuan.

Mahfuz juga mengecam tindakan Najib yang menyebarkan ajaran sesat dan khurafat itu semata-mata kerana kepentingan kuasa beliau dan partinya.

"Ia bukan sahaja ajaran sesat dan khurafat malah kenyataan yang sangat berapi-api dengan perkauman itu boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam kerana tindakan Najib menakut-nakutkan orang-orang Melayu itu boleh mengakibatkan pelbagai padah dan kesan buruk," katanya.

Beliau juga menyifatkan dakwaan Najib yang juga Presiden Umno itu adalah pembohongan besar.

Hakikatnya, kata beliau, selama 55 tahun Umno Barisan Nasional (BN) memerintah, bangsa Melayu masih mundur berbanding bangsa-bangsa lain di negara ini.

“Kalau benar mereka memperjuangkan Melayu, bangsa Melayu sudah maju. Tetapi hakikatnya Melayu masih terkebelakang. Ekuiti dan pemilikan hartanah orang-orang Melayu masih lemah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Di bawah cengkaman pemerintahan Umno, katanya, Melayu bukan sahaja masih jauh ketinggalan dari segi pemilikan ekuiti, malah RM52 bilion saham Bumiputera kini hanya tinggal RM2 bilion.

“Lebih malang 80 peratus yang memiliki pendapatan RM1,000 ke bawah adalah orang Melayu…yang senang lenang ialah segelintir pemimpin Umno dan kroni mereka,” katanya.

Mahfuz juga menyifatkan dakwaan Najib itu sebagai percubaan penuh putus asa untuk menyuntik jarum halus dengan mengabui pemikiran masyarakat di saat menghadapi pilihan raya dengan memainkan sentimen ‘Skim Takut 1Malaysia’ (ST1M) yang berbaur perkauman semata-mata untuk mengekalkan kuasanya.

Najib, katanya, berkata demikian dengan harapan orang-orang Melayu akan mengubah pendirian dan kembali menyokong parti pimpinannya kononnya disebabkan survival Melayu

“Diingatkan yang akan terjejas PRU jika rakyat buat pilihan ialah survival politik Umno, bukan survival politik Melayu…ini sangat berbeza.

“Umno sebenarnya yang takut kehilangan kuasa, sebab itu mereka menakut-nakutkan Melayu. Pendekatan ini dibuat secara halus untuk menanam kebencian bangsa Melayu kepada bangsa lain," kata Mahfuz.

Beliau juga menyeru rakyat khususnya orang-orang Melayu agar menjadikan pilihan raya umum akan datang untuk merdeka daripada Umno.

harakahdaily/-

Hujan berterusan sebabkan tanah runtuh di Batu Ferringhi, Tanjung Bungah

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN: Hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak 2.30 pagi ini mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohamad Noor Ismail berkata kejadian tanah runtuh pada jam 8.40 itu turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan merentangi Jalan Batu Feringghi.

"Kita sudahpun membersihkan laluan yang terlibat dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan keadaan dilaporkan terkawal," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, petugas bahagian penyelenggaraan JKR yang nyaris dihempap pokok, Suhaimi Samsudin, 44, berkata pada mulanya beliau dan petugas lain mendapat arahan untuk membersihkan tanah runtuh di Jalan Lembah Permai.

Katanya dalam perjalanan ke Jalan Lembah Permai secara kebetulan beliau melihat kejadian tanah runtuh kecil di Batu Feringghi.

"Pada mulanya tanah runtuh sikit sahaja jadi kami buat keputusan untuk bersihkan kawasan itu dahulu.

"Sedang kami bekerja, kebetulan ada bas pelancong yang lalu di situ, jadi saya dari jauh lagi, lari tahan bas berkenaan dan beberapa minit selepas saya dan rakan tinggalkan lokasi itu berlaku lagi sekali tanah runtuh diikuti pokok tumbang," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur nyawanya dan puluhan penumpang warga asing yang menaiki bas pelancong itu selamat.

Tinjauan mendapati trafik bermula dari Persiaran Gurney menuju ke Batu Feringghi mengalami kesesakan luar biasa sehingga jam 12.00 tengah hari ini. - Bernama

Orang utan hidap kanser dirawat seperti manusia

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

ORANG utan yang bernama Peanut dirawat di Pusat Kanser Menyeluruh Sylvester di Miami pada 5 September lalu.

MIAMI - Seekor orang utan betina bernama Peanut di Amerika Syarikat (AS) menjalani rawatan kanser yang sama seperti manusia.

Empat hari lalu, orang utan berusia lapan tahun itu menjalani rawatan kemoterapi di Pusat Kanser Menyeluruh Sylvester di sini selepas ia disahkan menghidap kanser darah.

"Saya belum pernah diselubungi perasaan bimbang seperti ini," kata Joseph Rosenblatt salah seorang doktor yang merawat Peanut.

Peanut bukan satu-satunya orang utan yang menerima rawatan kanser seperti manusia.

Pada tahun 2000, seekor orang utan yang menghidap kanser di Zoo Nasional di Washington telah menjalani pembedahan untuk membuang tumor pada usus haiwan itu.

Namun, berbeza dengan beberapa kes lain, Peanut masih muda dan berpeluang untuk hidup lama selepas menjalani rawatan. - AP

[JENAYAH MENURUN?] Kereta Timb Menteri Hilang Di Johor Ditemui Terbakar Di Kapar

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Klang - Kenderaan rasmi milik Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu anak Belum yang dilaporkan hilang di Seri Alam, Johor Bahru pada 2 Jun lalu, ditemui terbakar kurang 500 meter dari simpang Jalan Akob, Kapar di sini, Sabtu lalu.

Gambar: Anggota polis memeriksa kereta timbalan menteri yang terbakar di Kapar.

Kereta jenis Proton Perdana Executive itu ditemui oleh orang awam di tepi jalan kawasan terbabit kira-kira jam 7.30 malam, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan dan kereta yang terbakar sepenuhnya itu berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak bomba.

Beliau berkata, siasatan awal gagal mengenal pasti nombor pendaftaran kereta terbabit kerana kenderaan itu musnah teruk.

"Setelah kita periksa nombor chasis serta enjin kereta tersebut mendapati ia adalah kenderaan rasmi yang digunakan oleh timbalan menteri berkenaan.

"Semakan juga menunjukkan kereta bernombor pendaftaran WRM 1146 itu dilaporkan dicuri di kawasan Seri Alam, Pasir Gudang kira-kira tiga bulan lalu," katanya ketika ditemui di Balai Polis Kapar di sini, hari ini.

Mohd Shukor berkata, kereta itu dibawa balik ke Balai Polis Kapar untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan jenayah bencana dengan api.

"Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan menjurus pelbagai aspek sedang dijalankan," katanya.

Menurutnya, bagi kes kehilangan kenderaan rasmi itu di Johor, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

kelab grennboc/-

Selangor mahu Pusat lebih komited selesai isu air

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah memaklumkan kepada kerajaan Pusat tentang tindakan seterusnya untuk menyelesaikan perstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor seperti yang dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, makluman telah dibuat melalui surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bertarikh 14 September.

“Surat ini juga dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rujukan beliau.

“Dalam surat ini, saya telah nyatakan kekecewaan kerajaan Selangor dengan sikap kerajaan Pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah WSIA,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau juga menyatakan keengganan menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggung jawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA.

“Sehubungan itu, saya memaklumkan sekiranya menteri dan kementeriannya tidak memberi maklum balas yang bertentangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini, saya beranggapan pihak kementerian tidak mempunyai sebarang bantahan untuk saya meneruskan penstrukturan ini,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

harakahdaily/-

Hudud kenapa tanya Karpal, tanya Umnolah - Nik Aziz

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairannya dengan akhbar di negara ini apabila sibuk bertanya Karpal Singh tentang hudud sedangkan yang berkuasa adalah Umno.

"Hairan saya, akhbar sibuk melaporkan kenyataan Karpal Singh sedangkan yang berkuasa hari ini ialah UMNO, dan yang menghalang hudud ialah UMNO!

"Pada saya, jika perlembagaan bertentangan dengan hudud, perlembagaan itu sendiri perlu diubah," kata Menteri Besar Kelantan itu.

TG Nik Aziz berkata demikian melalui facebooknya hari ini.

Menurut beliau, selepas mesyuarat exco pagi tadi, beliau ditanya tentang kenyataan Karpal Singh yang dilaporkan berkata hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Media khasnya milik MCA, The Star mula memanaskan balik isu hudud.

Baru-baru ini, akhbar itu menyiarkan kembali kenyataan TG Nik Aziz beberapa bulan lalu tentang hudud.

Selepas itu, media itu mengarahkan wartawannya mendapatkan pelbagai komen tentang hudud termasuklah bekas pemimpin kanan PAS dan Karpal Singh yang sememangnya penentang tegar hudud.

harakahdaily/-

Antara sebab mengapa parlimen belum dibubar

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Inilah mungkin antara satu sebab utama mengapa Parlimen masih belum berani Najib Razak bubarkan bagi memberi laluan PRU 13 diadakan.

Manakan tidak. Orang kaum Tionghua tidak lagi takut kepada PAS.

Sudah semacam trend terkini, semakin PAS difitnah dan diburukkan semakin ramai bukan Melayu terutamanya kaum Tionghua rapat dan dakap perjuangan PAS.

Ini kawasan luar bandar, dimana fobia kaum Tionghua dulu kala terhadap PAS cukup tinggi dan hebat.

Kawasan bandar kaum Tionghua menyokong PAS tidak menghairankan.

Kalau kawasan luar bandar dan separa bandar kaum Tionghua dah sokong PAS, alamatnya UMNO pada PRU 13 nanti, Insya Allah bakal menjadi parti pembangkang!!!!

INILAH HASILNYA APABILA KAUM TIONGHUA TELAH MELIHAT SENDIRI PENTABIRAN DINEGERI KELANTAN DIBAWAH PEMERINTAHAN PAS/PR YANG DIKETUAI TGNA SEBAGAI PENDOMAN UNTUK DINILAI.

harakahdaily/-

Peruntukan Jalan Lapok Sudah Lulus, Mengapa Masih Belum Siap Sepenuhnya?

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Keratan akhbar “The Borneo Post” bertarikh 10hb Januari 2009 dengan tajuk “RM150 million allocated for Lapok road: Lihan” di rujuk.

Kebanyakan jalanraya di luar bandar di Sarawak amat daif dan jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan jalanraya negeri di Semenanjung. Keadaan jalan yang teruk ini menyebabkan penduduk di luar bandar sukar untuk berurusan dengan penduduk di bandar, dan kos pengangkutan juga mahal.

Sekarang sudah tahun 2012, sudah hampir lebih dari 3 tahun Unit Perancang Ekonomi (UPE) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pembinaan jalan Lapok, sepertimana yang dinyatakan oleh Lihan Jok bekas Wakil Rakyat Telang Usan dalam keratan akhbar, tetapi sehingga kini jalan tersebut masih lagi belum banyak perubahan.

Menurut penduduk Baram dan penduduk kampung yang tinggal dalam kawasan tersebut, jalan Lapok masih lagi teruk dan belum di tar sepenuhnya. Jalan yang masih dalam peringkat pembinaan itu cuma siap lebih kurang 20 peratus saja, sepatutnya jalan tersebut sudah siap sepenuhnya dalam masa 3 tahun yang lalu tetapi sehingga kini keadaan jalan masih teruk dan tidak banyak berubah hanya sesuai untuk kenderaan berat seperti lori balak dan pacuan 4 roda.

Ketika musim hujan jalan tersebut amat merbahaya bagi kenderaan kecil dan boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya tidak memandu dengan cermat. Jalan yang berbukit bukau dan berliku-liku amat merbahaya sekiranya jalan licin dan berlubang akibat hujan turun lebat.

Penduduk di kawasan Lapok menuntut janji dari pihak kerajaan yang pernah berjanji untuk membina jalan tersebut agar dapat disiapkan sebelum PRU13 kerana mereka sudah lama menanti dengan penuh harapan agar jalan tersebut dapat dibina dengan sebaik mungkin untuk memudahkan urusan harian mereka seperti mengangkut dan menjual hasil pertanian mereka ke pasar atau bandar berdekatan.

Kita ingin tahu kemana perginya peruntukan tersebut, adakah ianya sudah digunakan sepenuhnya atau sudah pun habis digunakan untuk tujuan lain atau perlu peruntukan tambahan?

Penduduk Baram sudah terlalu lama menanti agar jalan Lapok dapat disiapkan dalam masa yang terdekat dan mereka juga mahu kerajaan menepati janji sepertimana slogan “Janji ditepati” yang dilaung-laungkan oleh pihak kerajaan sekarang.

Mereka tidak mahu mendengar lagi janji yang sama setiap kali ada pilihanraya, dimana jalan tersebut masih juga tidak siap atau berubah sekadar menimbus batu ditepi jalan atau sepertimana kata peribahasa “menanam tebu dibibir saja". Cakap saja manis tapi kerja tidak dilaksanakan.

Kita mendesak agar pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana peruntukkan sudah pun diluluskan, jalan belum siap dan rakyat sudah lama menanti.

Sampai bila rakyat mesti menanti jalan tersebut disiapkan, adakah mereka terus menunggu sampai 10 atau 20 tahun lagi? Kita harap kerajaan yang ada sekarang dapat menepati janji yang sudah mereka janjikan kepada rakyat, jangan hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Polis, ROS 'jenguk' pejabat Suaram

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) ditekan dengan siasatan untuk pendakwaan, kini NGO yang berkait dengannya pula Suara Rakyat Malaysia (Suaram) diberi tekanan sama.

Hari ini sekumpulan anggota polis dan juga pegawai dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tiba di pejabat Suaram pagi tadi bagi mendapatkan maklumat berhubung kegiatan NGO tersebut.

Difahamkan seramai enam orang pegawai ROS bersama polis tiba di pejabat Suaram di Petaling Jaya pada sekitar 11:50 pagi tadi.

Bagaimanapun kakitangan Suaram yang berada di situ bersama peguam Fadiah Nadwa Fikri dan Latheefa Koya dilaporkan tidak membenarkan 'rombongan' pegawai itu masuk ke premis tersebut.

"Mereka cuba untuk masuk ke pejabat untuk menggeledah pejabat, tetapi kami tidak benarkan kerana mereka tidak mempunyai waran geledah," kata Fadiah dipetik The Malaysian Insider.

Pegawai berkenaan bagaimanapun tidak membuat serbuan tetapi menyerahkan satu borang "Laporan Pemeriksaan Pertubuhan" kepada Suaram.

Borang berkenaan antara lainnya meminta NGO tersebut memberi maklumat berhubung kegiatan mereka.

Pegawai berkenaan dilihat beredar pada kira-kira jam 12.30 tengahari.

Semalam, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyerahkan kertas siasatan membabitkan SISB kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut pertuduhan yang disediakan berlandaskan undang-undang.

Ia berikutan dakwaan SISB menerima dana asing dan dikatakan mempunyai "akaun yang meragukan".

Suaram sebelum ini terlibat secara langsung dengan pendedahan penyelewengan wang bernilai berbillion ringgit untuk membeli dua buah kapal selam Scorpene.

harakahdaily/-

[BONGKAR] Campurtangan Najib & UMNO Di Dalam Projek OPS2020 UIAM

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Sepucuk surat bertandatangan perdana menteri Najib Altantuya dengan restu Majlis Tertinggi Umno bertarikh 7 Ogos 2012 yang dihantar kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaleha Kamaruddin berhubung perlantikan Mizan Hitam menggantikan Nik Ahmad Kamal sebagai Timbalan Rektor universiti itu menjadi bukti terbaru bahawa Najib Altantuya adalah dalang di sebalik sebuah projek yang dipanggil OPS 2020!

Tanpa segan silu menyalahgunakan kedudukan politik dan menggunakan kepala surat Umno bagi maksud tersebut, Najib Altantuya mengarahkan supaya Mizan diberikan kemudahan dan kerjasama sepenuhnya bagi memberi kemenangan kepada mahasiswa pro-Umno (pro-Aspirasi) di universiti itu.

Menurut laman Facebook Buletin UIAM dalam posting terbaru dua jam lalu, OPS 2020 yang digerakkan Umno bertujuan memastikan kemenangan kesemua 20 kumpulan pro-Aspirasi yang condong kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di kesemua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam pilihanraya kampus yang bakal diadakan pada 25 September ini.

UIAM antara universiti yang menjadi sasaran utama Umno merampas kerusi majlis perwakilan mahasiswa yang selama ini dipegang pro-Mahasiswa yang pro-Pakatan Rakyat.

Selain UIAM, universiti utama lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut dijadikan sasaran buat Umno kerana ia sebenarnya adalah cerminan terhadap keputusan pilihanraya umum yang akan datang.

Projek yang sungguh menjijikkan ini diketuai timbalan menteri belia dan sukan, Razali Ibrahim yang juga pengerusi biro IPT Umno pernah didedah menghadiri satu mesyuarat Think Tank OPS 2020 bersama-sama dengan Tun Faisal Ismail Aziz yang bertindak selaku bos Unit Media Baru Umno.

Surat yang sama dilampirkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dan Presiden UIAM yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara, Sidek Hassan. -jalanpulang

Lumpuh seluruh badan akibat renjatan elektrik

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

ROMPIN - “Mujur saya tak mati rentung akibat renjatan elektrik, kalau tak, mungkin saya tak dapat hidup lebih lama lagi,” demikian kata warga emas, Ketiting Changrah, 87.

Ketiting berkata, meskipun dia lumpuh satu badan selepas tragedi hitam dua tahun lalu itu, namun dia bernasib baik kerana masih diberikan peluang ‘kedua’ untuk meneruskan hidup.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana arus elektrik tidak terus menyambarnya dalam tempoh lama, sebaliknya aliran itu terus menolak badannya daripada terkena renjatan yang lebih teruk.

“Saya tak dapat menahan kesakitan kerana seluruh badan saya ketika itu bergetar hingga kaki dan tangan saya tak dapat diluruskan dalam keadaan normal sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketiting berkata, demi menyelamatkan nyawanya, dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Nasib saya baik kerana semasa kejadian, seorang anak lelaki saya berada di rumah berhampiran dan dia terus membawa saya ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menduga menerima dugaan buat kali kedua selepas rumahnya di Kampung Tanam, roboh selepas ditimpa ribut dan angin kencang.

“Inilah dugaan yang paling teruk saya alami sepanjang hidup kerana selepas sehari rumah saya roboh, saya pula lumpuh terkena renjatan elektrik,” katanya.

Ketiting yang juga suku kaum Orang Asli Jakun berkata, akibat renjatan itu, dia lumpuh kedua-dua tangan dan kaki serta hanya mampu mengesot untuk bergerak.

“Saya tidak ada kudrat untuk bergerak, tapi saya ada keyakinan untuk meneruskan sisa kehidupan yang masih ada,” katanya.

Menurutnya, dia kini yang sudah tidak lagi berkudrat untuk bekerja hanya mengharap bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos kehidupan.

“Saya bersyukur kerana kerajaan bukan saja beri elaun RM300 sebulan, tetapi saya juga mendapat sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.

Penderitaan Ketiting itu mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Kedua-dua pemimpin itu menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada warga emas itu pada Kempen Kesihatan Orang Asli Peringkat Parlimen Rompin.

sinar harian/-

Orang asal Baram: Jangan tenggelamkan rumah kami

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Sekumpulan kira-kira 50 Orang Asal dari Baram mengadakan protes di hadapan bangunan sekretariat negeri Sarawak di Kuching semalam, membantah projek mega empangan yang akan menenggelamkan rumah panjang mereka.

Mereka daripada 18 rumah panjang di Baram Hulu dan Tengah juga menyerahkan petisyen yang mengandungi lebih 1,000 tandatangan kepada Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Petisyen itu menyuarakan tentangan mereka terhadap rancangan membina empangan mega di Baram yang akan membanjiri kawasan tersebut seluas separuh saiz Singapura, serta menenggelamkan tanah nenek moyang mereka, rumah dan ladang-ladang di situ.

Dalam satu kenyataan semalam, Preiden Jaringan Orang Asal seMalaysia (Joas), Thomas Jalong, yang berasal dari Long Anap, Baram, berkata empangan itu akan menjejaskan kehidupan penduduk asal tempatan.

baram sarawak"Empangan akan pasti menenggelamkan tanah nenek moyang
dengan lebih 20,000 penduduk dan dalam proses itu, ia akan mengakibatkan kami kehilangan rumah kita," katanya.

Dengan itu, katanya, mereka secara tidak adil akan kehilangan tanah mereka, sumber mata pencarian dan rezeki, dan menghadapi masa depan yang tidak menentu,

Menurutnya, tanah itu bukan semata-mata sahaja menjadi sumber ekonomi bagi komuniti Orang Asal tetapi penting kepada identiti sosial, kebudayaan, kerohanian dan politik mereka.

12 empangan mega dirancang

Sementara itu, Rangkaian Selamatkan Sungai Sarawak (Save Rivers), sebuah gabungan yang dibentuk untuk menentang pembinaan 12 empangan mega yang dirancang bagi Sarawak, berkata bantahan itu diadakan untuk mendesak kerajaan mematuhi Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal.

Presidennya, Peter Kallang berkata kerajaan negeri Sarawak
perlu menghentikan semua kerja di atas jalan akses ke empangan kerana ia sudah pun menjejaskan masyarakat Orang Asal.

Malah, wakil Jawatankuasa Bertindak Lindungi Baram, Philip Jau berkata perancangan untuk pembinaan empangan Baram tidak pernah telus.

"Mereka tidak bertanya rakyat pandangan mereka mengenai rancangan membina empangan tetapi sebaliknya telah memulakan kerja mengukur jalan masuk ke projek itu," kata Philip.

malaysiakini/-

Lelaki Korea Selatan bermekap untuk kerjaya

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

GIL-NAM mencari produk penjagaan kulit di sebuah kedai di Seoul pada 10 Ogos lalu.

SEOUL - Jika dahulu, pemakaian mekap sinonim dengan kaum wanita namun kini semakin ramai lelaki di Korea Selatan gemar bersolek bagi membantu mereka berjaya dalam kerjaya yang diceburi.

Seorang pelajar sebuah pusat pengajian tinggi di sini, Cho Won-hyuk berkata, dia akan menggunakan bedak dan celak pada setiap pagi sebelum keluar rumah.

"Memiliki wajah bersih dan licin membuatkan anda kelihatan memiliki penjagaan diri yang baik," kata pelajar kolej berusia 24 tahun tersebut.

Seorang lelaki lain, Cho Gil-nam memberitahu, dia akan bersolek pada setiap pagi selepas mencuci dan memakai krim pelembap pada wajahnya.

Bekerja sebagai seorang penyiasat insurans di sini, lelaki berusia 27 tahun itu berkata, dia turut membawa kotak mekap untuk digunakan di dalam tandas awam bagi memastikan wajahnya kekal bersih dan licin sepanjang hari.

Mengulas fenomena yang kini melanda lelaki Korea Selatan, pakar kajian Korea di Universiti Nasional Australia, Roald Maliangkay berkata, kecantikan diri penting di negara berkenaan kerana ia menjadi penanda aras kejayaan seseorang lelaki.

"Bagi masyarakat Korea Selatan, gambaran pertama amat penting. Kulit seseorang lelaki memainkan peranan utama tentang gambaran itu," kata seorang pelajar berusia 20 tahun, Kim Deuk-ryong yang sependapat dengan Maliangkay. - AP

Semakin bengkok

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar berusia antara 13 dan 16 tahun kini terpaksa melupakan hasrat menduduki peperiksaan akhir tahun apabila penyakit ‘Adolesence Idiophatic Scoliosis’ atau tulang belakang ‘S’ yang dihidapi mereka semakin membengkok pada tahap membimbangkan.

Ketiga-tiga mereka yang ditemui di Balai Berita, di sini, semalam ternyata bersedih meninggalkan bangku sekolah tiga bulan selepas bakal dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Oktober ini bagi tujuan pembedahan.

Biarpun terpaksa melupakan alam persekolahan seketika, namun semangat mereka kembali pulih dan semalam mereka hadir menerima sumbangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) berjumlah RM61,500.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ambrose, Air Tawar, Perak, Muhamad Asyraf Adan, 16, berkata penyakit dihidapi disedari bapanya dua tahun lalu apabila bahagian tulang belakangnya membengkak secara tiba-tiba.

“Pada mulanya saya sangka ia hanya bengkak biasa dan tidak pernah ambil peduli. Sejurus dibawa bapa menjalani imbasan di Hospital Seri Manjung, tahun lalu, doktor memaklumkan tulang itu membengkok dengan ukuran 23 darjah dan memerlukan pembedahan,” katanya.

Menurut Muhamad Asyraf, biarpun diuji sebegitu namun rakan sekolahnya tidak pernah memberi ejekan dan banyak memberi sokongan.

“Penyakit dihidapi menyebabkan saluran tulang belakang sempit selain gangguan pada pangkal otak,” katanya.

Pelajar SMK Cheras Perdana, Lee Tze Teng, 13, berkata akibat masalah terbabit, pergerakannya terbatas dan sukar melakukan kerja berat.

“Saya bimbang kerana tulang ini sudah membengkok sehingga 50 darjah dan jika tidak dibedah ia akan memudaratkan,” katanya.

Pelajar SMK Kahang Timur, Kluang, Johor, Nur Aliah Shafikah Md Norisam, 13, berkata akibat penyakit itu, dia yang sebelum ini aktif bersukan terpaksa berhenti terbabit aktiviti itu.

Orang ramai yang bersimpati terhadap nasib mereka boleh menghulurkan sumbangan di atas nama pesakit dan dikirimkan kepada Bahagian Kewangan dan Unit Kebajikan NSTP, Jalan Riong, di sini.