19 September 2012

Hujan berterusan sebabkan tanah runtuh di Batu Ferringhi, Tanjung Bungah

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN: Hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak 2.30 pagi ini mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohamad Noor Ismail berkata kejadian tanah runtuh pada jam 8.40 itu turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan merentangi Jalan Batu Feringghi.

"Kita sudahpun membersihkan laluan yang terlibat dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan keadaan dilaporkan terkawal," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, petugas bahagian penyelenggaraan JKR yang nyaris dihempap pokok, Suhaimi Samsudin, 44, berkata pada mulanya beliau dan petugas lain mendapat arahan untuk membersihkan tanah runtuh di Jalan Lembah Permai.

Katanya dalam perjalanan ke Jalan Lembah Permai secara kebetulan beliau melihat kejadian tanah runtuh kecil di Batu Feringghi.

"Pada mulanya tanah runtuh sikit sahaja jadi kami buat keputusan untuk bersihkan kawasan itu dahulu.

"Sedang kami bekerja, kebetulan ada bas pelancong yang lalu di situ, jadi saya dari jauh lagi, lari tahan bas berkenaan dan beberapa minit selepas saya dan rakan tinggalkan lokasi itu berlaku lagi sekali tanah runtuh diikuti pokok tumbang," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur nyawanya dan puluhan penumpang warga asing yang menaiki bas pelancong itu selamat.

Tinjauan mendapati trafik bermula dari Persiaran Gurney menuju ke Batu Feringghi mengalami kesesakan luar biasa sehingga jam 12.00 tengah hari ini. - Bernama

Tiada ulasan: