19 September 2012

Polis, ROS 'jenguk' pejabat Suaram

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) ditekan dengan siasatan untuk pendakwaan, kini NGO yang berkait dengannya pula Suara Rakyat Malaysia (Suaram) diberi tekanan sama.

Hari ini sekumpulan anggota polis dan juga pegawai dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tiba di pejabat Suaram pagi tadi bagi mendapatkan maklumat berhubung kegiatan NGO tersebut.

Difahamkan seramai enam orang pegawai ROS bersama polis tiba di pejabat Suaram di Petaling Jaya pada sekitar 11:50 pagi tadi.

Bagaimanapun kakitangan Suaram yang berada di situ bersama peguam Fadiah Nadwa Fikri dan Latheefa Koya dilaporkan tidak membenarkan 'rombongan' pegawai itu masuk ke premis tersebut.

"Mereka cuba untuk masuk ke pejabat untuk menggeledah pejabat, tetapi kami tidak benarkan kerana mereka tidak mempunyai waran geledah," kata Fadiah dipetik The Malaysian Insider.

Pegawai berkenaan bagaimanapun tidak membuat serbuan tetapi menyerahkan satu borang "Laporan Pemeriksaan Pertubuhan" kepada Suaram.

Borang berkenaan antara lainnya meminta NGO tersebut memberi maklumat berhubung kegiatan mereka.

Pegawai berkenaan dilihat beredar pada kira-kira jam 12.30 tengahari.

Semalam, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyerahkan kertas siasatan membabitkan SISB kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut pertuduhan yang disediakan berlandaskan undang-undang.

Ia berikutan dakwaan SISB menerima dana asing dan dikatakan mempunyai "akaun yang meragukan".

Suaram sebelum ini terlibat secara langsung dengan pendedahan penyelewengan wang bernilai berbillion ringgit untuk membeli dua buah kapal selam Scorpene.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: