13 Februari 2013

Beruk serang tuan

Foto2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Kuala Lumpur: Seorang lelaki cedera selepas diserang beruk jantan peliharaannya dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Panas, Setapak, di sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 20-an cedera di tangan kanan akibat digigit haiwan itu yang mengamuk selepas melepaskan diri dari sangkar.

Mangsa memelihara haiwan itu sejak enam tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, mamalia berkenaan tidak bertindak agresif.

Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Dang Wangi Leftenan Muda Nurul Nadirah Samsul Liani berkata, binatang itu dipercayai memecahkan sangkar sebelum menyerang mangsa.

Katanya, mangsa bergelut dengan haiwan itu beberapa minit sebelum dibantu ahli keluarga menghubungi JPAM yang tiba untuk menangkap beruk berkenaan.

“Ketika tiba, kami mendapati beruk itu berada di dapur dengan kesan kecederaan di bahagian belakang dan bertindak agresif.

BERUK yang mengamuk berkeliaran di rumah mangsa sebelum ditangkap.
“Kami mengambil masa dua jam untuk menangkapnya menggunakan perangkap haiwan,” katanya 10 anggota terbabit dalam operasi itu.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dirawat unit perubatan JPAM sebelum dihantar ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, beruk itu diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut.

sinar/-

'Pulangkan tanah kami'

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Minah
Minah di rumah usang yang didiaminya.
Maznun
Maznun (kiri) menunjukkan telaga yang digunakan sebagai sumber air di rumahnya.
Kamariah
Kamariah berhajat membina rumah yang lebih selesa jika tanah di situ diserahkan kepadanya.
BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA - Beberapa pemilik rumah yang menetap di kampung Melayu bandar ini atau juga dikenali sebagai Matau merayu pihak berwajib mengembalikan semula tanah yang mereka teroka dan diami sejak lebih 40 tahun lalu.

Penduduk, Kamariah Othman, 69, berkata, mereka mahukan hak milik tanah itu supaya dapat membina penempatan yang lebih selesa.

“Sekiranya tanah ini diserahkan kepada kami, dapatlah kami membaiki rumah kami yang uzur ini.

“Kalau dapat diberikan walaupun hanya satu lot tanah, sudah memadai memandangkan di sinilah tempat kami mencari rezeki sejak sekian lama,” katanya.

Kamariah berkata, isu penempatan di Matau sudah beberapa kali disiarkan media termasuk akhbar ini, malah sebahagian penduduk juga telah membuat bantahan selain turut mengambil tindakan mahkamah.

Katanya, penduduk sebelum ini ada ditawarkan rumah untuk dibeli, namun mereka tidak mampu kerana pendapatan tidak seberapa.

“Memang kami tidak mahu berpindah dari sini kerana ini adalah tanah yang kami teroka ketika mula-mula sampai di sini, jadi ia adalah milik kami,” katanya kepada Sinar Harian.


Tinggal dalam rumah daif

Kamariah turut membawa Sinar Harian mengunjungi beberapa rumah daif di kawasan terbabit dan menerusi tinjauan yang dilakukan,  rata-rata penduduk tinggal dalam rumah kayu yang buruk dan tidak sempurna.

Malah, majoriti rumah masih menggunakan air telaga sebagai sumber air, termasuk rumah milik Maznun Abdul Karim, 33.

Menurut Maznun, rumahnya sekarang didiami tiga keluarga terdiri daripada18 orang semuanya dan sejak lahir lagi dia sudah dibesarkan di situ.
 “Sudah terlalu lama kami menetap di sini, tapi kenapa masih tidak dapat memberikan kami hak milik tanah ini?
"Kalau diberikan pampasan sekali pun, ia tidak setimpal dengan apa yang telah kami usahakan di tanah ini,” katanya.
Bagi Minah Saad, 76, dia berharap masalah itu dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan penduduk hilang kepercayaan kepada kerajaan.
“Saya juga berharap mereka yang bertanggungjawab turun menjenguk keadaan kami di sini yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya sudah tidak mampu bekerja dan hanya mengharapkan pendapatan tidak menentu anak saya yang cacat untuk membela nasib kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Roniah Mat Ali, 64, berkata, dia pernah beberapa kali cuba membuat pinjaman bagi membeli rumah yang ditawarkan kepada mereka.

“Saya tinggal di sini bersama sembilan anak dan tujuh cucu. Saya pernah menghantar tiga nama anak saya untuk membuat pinjaman, termasuk nama saya, namun kesemuanya tidak lulus.

“Jika tidak diberikan hak milik tanah ini, di mana lagi kami hendak tinggal? Dapat sebuah tapak rumah pun jadilah,” katanya yang mengharapkan masalah itu selesai.

SINAR/-

PM: BR1M 3.0 jika terus sokong BN

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KULAIJAYA – Kerajaan menjanjikan lebih banyak bantuan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) jika ia mendapat mandat untuk meneruskan program transformasi ekonomi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan pelbagai program transformasi ekonomi itu bukan sahaja telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi semasa tetapi turut menambah pendapatan negara.

“Dengan pendapatan yang bertambah, hasilnya kerajaan akan pulangkan semula kepada rakyat seperti yang kita lakukan menerusi BR1M 1, BR1M2.0 dan BR1M 3.0,” katanya kepada lebih 10,000 yang menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika mahukan agenda transformasi ekonomi negara yang memberi pelbagai manafaat kepada rakyat itu diteruskan, maka kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu diberikan mandat untuk terus memerintah negara ini.

“Jikalau mandat itu diberikan (kepada kerajaan BN) untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat, Malaysia akan mempunyai masa depan yang cukup hebat dan cemerlang,” katanya yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Turut hadir pada majlis sambutan itu termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Ahli Parlimen Kulai, Tan Sri Ong Ka Ting, beberapa menteri kabinet dan pemimpin parti komponen BN.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi program transformasi ekonomi telah berjaya meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia daripada AS$6,700 (RM20,759) pada penghujung 2009 kepada AS$9,750 (RM30,210) pada penghujung 2011.

Perkara itu adalah bertepatan ke arah usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, kejayaan pengurusan ekonomi negara itu turut meyakinkan agensi pelaburan Qatar untuk membuat pelaburan bagi membina Hotel Harrods yang pertama di dunia di Kuala Lumpur.

Selain Hotel Harrods itu, katanya, pelabur yang berkeyakinan terhadap program transformasi ekonomi Malaysia turut akan melabur berbilion ringgit bagi membina Hotel Four Seasons setinggi 65 tingkat di ibu negara.

Perdana Menteri berkata Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2006 sehingga akhir tahun lepas juga telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM106 bilion dari dalam dan luar negara.
Pada 19 Februari ini, Najib berkata, beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong akan melawat Iskandar Malaysia dan merasmikan projek ikonik ‘Wellness Township’.

“Program transformasi ekonomi negara sedang berjalan dengan pantas dan rakyat telah pun menerima faedah serta manfaatnya. Bukti kejayaan program transformasi itu boleh dilihat di sekeliling kita,” katanya.
Beliau memberi contoh Johor Premium Outlet (JPO) yang terletak di Kulaijaya yang akan memulakan projek pembesaran fasa keduanya, walaupun pembukaannya baru sahaja dirasmikan tidak lama dahulu.

Perdana Menteri berkata di bawah projek fasa kedua itu pihak pengurusan JPO akan menambah 70 lagi kedai.

Beliau berkata pasaran sedang menunggu mandat yang jelas daripada rakyat kepada kerajaan, yang akan menyaksikan ia melonjak ke suatu tahap yang lebih tinggi dan keyakinan pelabur melambung.

“Semua akan menerima faedahnya jika kita membuat keputusan yang tepat,” kata beliau.

Menurutnya manfaat demi manfaat yang diterima oleh rakyat hasil kejayaan program transformasi ekonomi yang dilaksanakan itu membuktikan kerajaan menepati segala janji yang dibuatnya.

“Kita tidak menjual janji demi janji sebagaimana yang dilakukan oleh pembangkang. Kerajaan melaksanakan ‘Janji Ditepati’ terhadap segala yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri pada majlis yang sama turut menyampaikan bantuan BR1M 2.0 kepada 20 penerima daripada kawasan Parlimen Kulai. – Bernama

Bekas komando AS dedah cara dia bunuh Osama

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


WASHINGTON - Seorang bekas anggota komando SEAL Amerika Syarikat (AS) kelmarin mendedahkan buat kali pertama cara dia membunuh bekas ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden.
Dia mendedahkan cerita itu menerusi satu temu bual yang disiarkan agensi berita AFP bahawa tiga das tembakan dilepaskan ke arah Osama di rumah persembunyiannya di Abbottabad, Pakistan pada Mei 2011 selepas sekumpulan komando AS membuat serbuan.

Bagaimanapun, dia kini berhadapan masalah kewangan kerana tidak lagi bekerja.

Dia merahsiakan identitinya semasa ditemu bual oleh pemberita majalah Esquire.
Namun, buat pertama kalinya dia mendedahkan peranan yang dilakukannya dalam satu serbuan di rumah persembunyian Osama.

Bekas anggota komando tersebut mendedahkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarganya.
"Dia (Osama) kelihatan keliru. Tubuhnya lebih tinggi berbanding jangkaan saya," katanya tentang Osama.
Pasukan komando itu melakukan serang hendap ke atas Osama di tingkat tiga rumah tersebut.
Ketua Al-Qaeda tersebut meletakkan tangannya di bahu isteri termudanya ketika itu.

Osama menolak badan isterinya itu ke depan dan terdapat selaras senjata AK-47 berdekatannya.
"Saya tidak tahu sama ada isterinya mendapatkan jaket dan dia kemudian ditolak untuk mati syahid. Dia (Osama) mendapatkan senjata dekat dengannya. Dia (Osama) merupakan satu ancaman.

"Saya perlu melepaskan tembakan tepat ke kepala Osama agar dia tidak berpeluang untuk meletupkan dirinya," kata bekas komando tersebut.

"Saya menembaknya, dua kali di dahi. Bap! Bap! Dia terjatuh di atas lantai di depan katilnya dan saya menembaknya sekali lagi.
"Bap! tempat yang sama," katanya.

"Dia mati. Tidak lagi bergerak. Lidahnya terkeluar," tambahnya.

Menurut artikel majalah itu, pembunuhan ke atas Osama mengambil masa selama 15 saat.
Menjelang musim panas pada tahun lalu, selepas bersara daripada tentera, dia menjadi gementar tentang kemungkinan serangan balas terhadap keluarganya.

Bekas anggota komando itu kini menjadi orang awam.

Disebabkan bersara daripada perkhidmatan ketenteraan selepas 16 tahun berkhidmat, dia tidak layak untuk mendapatkan pencen.

Pencen hanya diberikan kepada bekas anggota tentera yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun.
"Dia memberikan banyak khidmat kepada negaranya. Kini dia kelihatan hilang di dalam debu," kata isterinya.
"Saya berasa tiada sokongan, bukan sahaja untuk keluarga saya tetapi untuk keluarga lain di dalam komuniti.
"Secara jujurnya, saya tidak mempunyai tempat untuk mengadu," tambahnya lagi.

Jenazah Osama kemudian dikebumikan di laut oleh tentera AS selepas dia mati.
Osama mati ditembak dalam operasi tentera AS ketika negara itu berada di bawah kepimpinan Presiden Barack Obama. - Agensi


31 tahun peluru tertanam di dada

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Mohd Jonoh
Isteri Mohd Jonoh, Fatimah Adam ,53, menunjukkan kesan peluru yang masih tertanam dalam dada Mohd Jonoh sehingga kini.
Mohd Jonoh
Mohd Jonoh menunjukkan plak perhargaan diterimanya sewaktu dalam perkhidmatan kepada cucunya, Mohd Ismail Ilham Zamri.
Mohd Jonoh
Fatimah menunjukkan kesan tebukan di sebalah tulang rusuk kiri Mohd Jonoh bagi membuang darah daripada paru-paru.
 
HULU TERENGGANU - “Peluru masih tersusuk di dada sejak 31 tahun ini bukan sahaja memori tidak dapat dilupakan sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai tentera, tetapi juga kenangan sepanjang hidup kerana ia akan tetap tertanam di dada saya.

Demikian luahan Mohd Jonoh Mohd Noor, 56, seorang bekas askar yang terkena tembakan pengganas komunis ketika menjalankan operasi di Hutan Gubir bersempadan Malaysia-Thailand dan sehingga kini peluru tersebut masih kekal terbenam.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Mohd Jonoh berkata, petang hari kejadian Februari 1982 itu, dia dan enam rakannya menerima maklumat kehadiran pengganas komunis, lalu melakukan rondaan di sekitar 200 meter  dari pos kawalan.

“Dalam perjalanan kembali ke khemah, tiba-tiba kami diserang hendap sekumpulan pengganas komunis dan selepas 10 minit berbalas tembakan, saya terkena dua das tembakan iaitu di dada dan paha kiri. Pengganas komunis tersebut melarikan diri.

“Saya mulanya tidak menyedari terkena tembakan kerana tidak terasa sakit. Namun, apabila dada terasa sejuk serta kaki mulai kebas, saya mula sedar yang saya terkena tembakan apatah lagi darah mula mengalir.

“Semalaman saya berada di hutan dan esoknya bantuan diterima. Saya dibawa keluar dari kawasan operasi tersebut menggunakan helikopter, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan. Hampir tiga minggu saya berada di hospital berkenaan.

“Peluru yang terkena di dada tersusuk pada tulang tengah dada dan jika dikeluarkan bimbang risiko lain  berlaku. Selain tulang lambat bercantum, pembedahan juga boleh sebabkan pelbagai kesulitan lain termasuk lumpuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.


Bersyukur masih selamat

Tambah datuk tiga cucu ini, akibat kejadian itu juga, bawah tulang rusuk sebelah kirinya terpaksa ditebuk bagi membolehkan darah dari bahagian paru-paru dikeluarkan dan walaupun di dadanya masih tertanam peluru, namun dia bersyukur kerana pulih serta selamat sehingga kini.

“Umur saya masih panjang. Saya juga bernasib baik kerana tembakan terkena di bahagian paha hanya serpihan peluru pengganas komunis dan tidak mengakibatkan kecederaan serius seperti di dada. Ketika itu, saya baru dua tahun berkhidmat sebagai tentera.

“Selepas genap 10 tahun bergelar anggota tentera, saya mengambil keputusan berhenti dan kini bekerja di sebuah syarikat pembalakan. Walaupun tidak lagi berkhidmat, segala kenangan masih tersemat rapi dalam kenangan.

“Kesihatan saya tidak terjejas walaupun peluru itu masih tertanam di dalam dada, cuma kadang kala saya cepat letih dan berkemungkinan juga ia disebabkan faktor peningkatan usia. Selepas keluar hospital, saya tidak lagi terfikir untuk keluarkan peluru ini.

“Saya berbangga kerana peluru berada di dalam dada. Sekurang-kurangnya ini membuktikan saya cintakan tanah air serta sanggup berkorban demi mempertahankan negara. Apatah lagi tidak semua tentera berpeluang bertempur dengan pengganas komunis,” ujarnya.

Di sebalik rasa kecintaan itu, Jonoh turut melahirkan rasa terkilan kerana berasa pengorbanan askar sepertinya yang berjuang mempertahankan negara kurang diberi perhatian oleh pihak berkenaan.

sinar/-

3 lemas dalam jip

Foto2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Maran : “Ayah dah nak pergi.” Itu bisikan terakhir Abd Zahran Asran, 28, kepada anak sulungnya sebelum keluar rumah untuk menyertai aktiviti lasak dalam kawasan hutan di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, yang berkesudahan dia bersama dua rakan menemui ajal, malam kelmarin.

Abd Zahran bersama Hamzah Muhammad, 52, dan Roshaizad Abd Rashid, 29, terbunuh dipercayai lemas selepas terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda mereka yang jatuh dalam sungai.

Kejadian berlaku jam 11.30 malam ketika Jip Cherokee yang dipandu Hamzah hilang kawalan ketika melalui jambatan kayu merentangi Sungai Tekal di Jalan Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling.

Difahamkan jambatan kayu berkenaan setinggi 10 meter daripada permukaan sungai sedalam dua meter.
ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat mangsa dari pacuan empat roda terbabit.

Jip dinaiki tiga sahabat karib itu terbalik dalam keadaan keempat-empat tayar ke atas.

metro/-

Psy: TV Singapura ada laporan jujur untuk Najib

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Ketika TV Malaysia menyiarkan kononnya rakyat menyokong Datuk Seri Najib apabila membawa penyanyi pop Korea, Psy, TV Singapura, Channel News Asia (CNA) melaporkan sebaliknya.

TV Singapura itu juga menyiarkan rakaman bagaimana Najib dimalukan dengan ungkapan 'No' kepada pertanyaan Najib, 'Are You ready for BN?'.
Ia dilihat dengan jelas melalui laporan itu apabila CNA menyiarkan perkara itu di dalam sarikata di bawahnya. Untuk "Are you ready for Psy? "yes" tetapi untuk "Are you ready for BN? tidak ada jawapan yang ditulis.

TV itu juga melaporkan Najib membelanjakan RM2 juta untuk membolehkan BN membawa hampir 60,000 ke padang Sekolah Han Jiang High School di Pulau Pinang itu.


Sehingga berita ini ditulis, sudah 16, 444 sudah berkongsi video ini.

"Ia sepatutnya menjadi janji 45 tahun lalu ketika BN berkuasa di negeri ini," kata salah seorang penonton yang dipetik oleh CNA itu ketika mengulas janji-janji Najib itu.

Najib dalam ucapan di majlis itu berjanji akan membuat monorel untuk mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang dan rumah mampu milik untuk rakyatnya.

Seorang lagi penonton yang dipetik CNA berkata, "BN cuba membawa balik keyakinan pengundi."

Ketika ditanya, apakah Najib berjaya, penonton itu dengan penuh sindiran menjawab "Ya ya...mereka boleh membelanjakan sebanyak mungkin wang untuk orang Pulau Pinang."

HARAKAH/-


Wanita Ini Berjaya Islamkan 7 Profesor Barat Hanya Dengan Jilbab

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Kisah yang satu ini merupakan salah satu contoh dari sekian banyak potret kehidupan seorang wanita muslimah yang begitu bangga dan merasa terhormat dengan agama yang selama ini ia telah hadir mewarnai perjalanan hidupnya. Seorang muslimah yang di hatinya terdengar keras degupan syiar agama Allah.

Itulah hati yang mampu mengenal Allah dan Rasul Nya sehingga keraguan tak pernah lagi ditemui di dalamnya. Dialah peribadi seorang wanita muslimah yang hatinya selalu memikul tanggung jawab dakwah. Namun sayang watak semacam ini ternyata jarang untuk kita temui. Ya memang sangat jarang sekali.

Ummu Abdul Aziz, begitulah wanita ini biasa disapa dalam hariannya. Suaminya seorang doktor yang tinggal di bandar Riyadh, Saudi Arabia.

Pada satu kesempatan, Ummu Abdul Aziz harus menyertai suaminya untuk menghadiri salah satu persidangan perubatan yang diadakan di salah satu negara Eropah. Dengan langkah pasti ia iringi keberangkatan sang suami. Ya, ia sedar sekali bahawa Tuhan yang selama ini ia sembah di negaranya tak lain adalah Tuhan yang akan ia jumpai di negera Eropah tersebut. Tuhan yang satu, Allah. Demikian pula halnya kaum Lelaki yang ia jumpai nya di negara asalnya, Arab Saudi. Oleh kerana itu, sebaik tiba di negara destinasi, keadaannya tidak berubah sedikitpun.

Komitmen untuk sentiasa melaksanakan segala perintah Tuhannya ia selalu pegang dengan baik. Hal ini nampak kelihatan jelas dari cara ia berpakaian. Potongan kain yang dikenakannya menutupi seluruh anggota tubuhnya .. Ya Ummu Abdul Azis mengenakan pakaian secara lengkap sehingga tidak tak sedikitpun anggota tubuhnya yang boleh terpandang mata, walaupun ia berada di kawasan Eropah yang serupa dengan mode-mode pakaian masa kini.

Oleh kerana itu wajar apabila masyarakat Eropah yang menjumpainya merasa hairan dengan pemandangan yang sangat asing seperti yang ia tampakkan. Ia pun mula menjadi pusat perhatian, seakan-akan bertanya ‘”Makhluk apakah yang ada di balik kain hitam ini?” Benar-benar pemandangan yang sungguh aneh bagi mereka.

Pada suatu hari, beberapa wanita Eropah berkumpul mendatanginya. Rata-rata mereka adalah para profesor yang boleh dikatakan sudah cukup berumur. Dialogpun akhirnya berlangsung di antara mereka (Qadaralllah ummu Abdul Aziz mampu berbahasa Inggeris). Dengan begitu beraninya salah seorang daripada mereka mengajukan sebuah soalan, “Kamu pasti kelihatan seperti ini hanya untuk menyembunyikan kecacatan yang ada di tubuh kamu bukan? Atau mungkin sekadar menutupi wajahmu yang nampak tidak cantik??

Ya kiranya anggapan seperti itulah yang tertanam di benak mereka selama ini terhadapnya. Ummu Aziz terus membawa mereka ke salah satu sudut bilik, lalu membuka cadar yang selama ini menutupinya wajahnya. Ternyata ia nampak seperti wanita normal pada umumnya, tanpa ada cacat sedikitpun sebagaimana dugaan mereka. Bahkan mungkin parasnya lebih cantik dari wanita biasanya, insya Allah. Kesempatan ini tentu tidak ia biarkan berlalu begitu sahaja tanpa menyampaikan sesuatu kebenaran.

Setelah memperlihatkan wajahnya, Ummu Abdul Aziz terus bermula masuk ke pembicaraan asas. Ia jelaskan kepada mereka bagaimana Islam meletakkan wanita. Ia paparkan sejauh mana penghormatan agama Allah ini terhadap kaum Hawa selain ia berikan gambaran tentang ajaran agama Islam secara umum.

Tahukah apa yang berlaku selepas itu? Ya setelah tiga jam berlalu, sebanyak tujuh dari sepuluh Professor wanita tadi terus mengikrarkan keislaman mereka! Tak lain kerana Ummu Abdul Aziz atas izin Allah! Bayangkan tujuh orang Professor masuk Islam hanya dalam tempoh tiga jam selepas melakukan dialog.

Sebagai seorang muslimah Ummu abdul Aziz tidak merasa kecil sehingga menjadi asing dengan ajaran agamanya Kehadirannya di negara pengusung faham liberalisme yang jauh dari sistem nilai sosial tersebut. Ia tetap berpakaian muslimah sejati dan tidak mempengaruhinya untuk berganti pakaian ketat dengan hiasan murahan di sana-sini seperti perhiasan kejahiliyahan layaknya barangan murahan.

Tujuh orang professor wanita menyatakan keislaman mereka. Allah pun meninggikan darjat mereka dengan agama ini. Agama yang selama ini menjadi satu kebanggaan tersendiri bagi peribadi seperti Ummu Abdul Aziz. Akhirnnya dari seorang muslimah yang berusaha untuk mengajak umat ini kepada jalan Allah. Ia fungsikan dirinya sebagai media turunnya hidayah bagi siapa yang Allah kehendaki. Dengan cara seperti ini ia mampu merubah pandangan rendah mereka terhadap agama yang Allah redhai ini.

La ilaha ilallah ….semoga Allah sentiasa memberikan taufikNya kepada dirimu, Ummu Abdul Aziz. Allah jaga dirimu sehingga benar-benar bermanfaat bagi agama dan umat ini... Amiin

12 Februari 2013

Isu Haram Jadah: Najib Tak Sedar Beliau Yang Bakal Terima Padah

1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
Rata-rata rakyat menyifatkan makian "haram jadah" Najib kepada rakyatnya amat keterlaluan dan hanya akan memberi padah kepada Najib sendiri.

Najib dalam ucapannya di Majlis Sejahtera Peneroka bersama Perdana Menteri di Jengka 8 juga berkata dirinya tidak redha dan tidak rela pembangkang mengambil ‘durian runtuh’ RM15,000 itu selepas cuba menghalang penyenaraian FGVHB.

“Haram jadah mereka tu. Jangan terima kebaikan daripada penyenaraian (FGVHB). Saya nak tengok muka-muka mereka ni terima durian runtuh. Haram jadah,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengulas Najib sepatutnya bertindak adil terhadap peneroka kerana semuanya berhak menerima ‘durian runtuh’ selepas tanah mereka dicagarkan untuk penyenaraian FGVHB.

“Ini hak peneroka, tanah peneroka, apa isunya nak maki hamun…eh duit siapa ni? Cara ucapannya memang tak nampak langsung Perdana Menteri punya material,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, perkataan ‘haram jadah’ yang digunakan Najib langsung tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin, apatah lagi negarawan yang baik.

“Najib sangat terdesak dan panik dengan kebangkitan peneroka yang menuntut hak mereka hingga sanggup mencerca peneroka Felda.

“Ramai peneroka marah dengan kata-katanya. Adakah orang seperti ini masih mahu dipertahankan?,” katanya

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman kepimpinan Anak Negeri Johor telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulai,terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Kata Mazlan, ia ekoran ucapan Najib ketika mengumumkan 'Durian Runtuh' di Felda Jengka 8 di Pahang pada 8 Mei lalu.

Beliau berkata, ‘haram jadah’ dalam kamus DBP bermaksud 'Anak Luar Nikah' dan ia sangat bertentangan prinsip Rukunegara- Kesopanan dan Kesusilaan'; apatah lagi ajaran Islam yang menekankan ketinggian akhlak dan moral, lebih-lebih lagi pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan rakyat.

“Laporan polis mendesak PM menarik balik ucapannya dan meminta maaf secara terbuka kerana golongan yang tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia terlalu ramai,” ujarnya.

GB pernah menyatakan bahawa: Najib telah memulakan sesuatu yang tidak baik maka hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya, sesuatu yang tidak baik itulah bakal menimpa Najib semula. You get back what you give.

Apabila Najib memaki rakyatnya iaitu sesetengah peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, itu tanda-tanda akan berakhirnya tempoh Najib sebagai PM Malaysia... Percayalah!

Di dalam konteks masyarakat melayu ia dinamakan "buang tabiat".

Gejala buang tabiat lazimnya berlaku di saat-saat akhir kehidupan seseorang.

Najib telah gagal dengan ujian sepertimana seorang bapa memaki hamun lantaran gagal menghadapi rencamnya karenah anak-anak sendiri. Pendek umur ayah sedemikian kerana tidak berupaya menguruskan stress.


Seorang pengkomen di blog GB memberi komennya:

Aduhai Najib...mu satu orang kata HARAM JADAH kepada 1000 peneroka...maka 1000 peneroka akan kata HARAM JADAH kepada mu seorang...fikir fikirkan lah..!!

Kita sekadar ingin mengingat dan menyedarkan Najib agar jangan keterlaluan melalui peristiwa betapa Allah itu Maha Tinggi dan Maha Berkuasa, dan kita juga ingin mendengar kot-kot ada penafian dari Najib mengenainya atau jika ada pengakuan Najib bahawa beliau tidak takut dengan peringatanNya itu.

kelab grennboc/-

Ajal berbadan dua

1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Foto
Penampang: Kegembiraan seorang suami yang bakal menerima cahaya mata kelima berakhir dengan tragedi apabila isterinya yang mengandung dua bulan maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Papar-Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa Rhuhaifah Azhar, 29, tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan mati serta-merta akibat parah di kepala.
Difahamkan, kenderaan dipandu suaminya, Paisal Mohd Tutoh, 29, bersama empat anak mereka dan dua adik ipar dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Limbising, Putatan.

Mereka dipercayai baru selesai menghadiri kenduri di Kampung Pengalat Besar, Papar.

Namun, menurut sumber polis, setibanya di tempat kejadian, kenderaan jenis Proton Wira dinaiki mereka gagal dikawal lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan.
METRO/-

Lagi ‘janji tidak ditepati’ dikesan di Pontian

1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


image


PONTIAN - PAS Benut mangambil inisiatif sendiri menyiapkan projek memperbaiki sebuah rumah milik seorang ibu tunggal secara bergotong royong.

Menurut Yang Dipertua PAS Pontian, Raden Sarobo Pono, langkah ini dibuat berikutan peruntukan yang dijanjikan sejak tiga tahun lalu tidak ditunaikan oleh pihak berwajib sehingga sebahagian bahan-bahan binaan yang ada kian reput dan tidak boleh digunakan.

“Saya difahamkan, Zainon Salleh, 42, telah menerima bantuan membaiki rumah beberapa tahun lalu berjumlah RM5000, malangnya pihak terbabit gagal menyiapkan seperti yang dirancang,” katanya lagi.

Menurut Raden Sarobo lagi, PAS Cawangan Parit Mansor bersama kira-kira 50 orang dari kalangan Unit Amal serta penduduk kampung telah mengadakan aktiviti gotong royong selama dua hari bagi tujuan tersebut.

“Kami hanya menyempurnakan usaha ini dengan mengumpul kira-kira RM10,000 bagi menyiapkan ruang dapur, bilik air, lantai, dinding, bumbung dan lain-lain,” katanya lagi ketika ditemui di Parit Mansor, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Zainon berkata, dia kesal dengan pihak terbabit yang gagal menyiapkan rumah seperti mana yang dijanjikan.

“Saya kesal dengan dia. Bersimpatilah. Saya ada tiga orang anak. Semuanya masih bersekolah. Yang bongsu pula, kategori OKU (orang kurang upaya).

“Saya hanya dapat bantuan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Itupun khas buat anak. Saya tak dapat. Saya kecewa kerana pemimpin UMNO tak pernah datang menjengok apa lagi membantu.

“Terima kasih kepada PAS yang sudi buat bergotong royong menyiapkan rumah yang sudah tiga tahun terbengkalai,” katanya lagi.

Sehubungan itu, bagi meringankan beban ibu tunggal ini, pihak PAS Benut mengambil langkah membantu mendapatkan bantuan daripada agensi berwajib.

harakah/-

Mohon Umno P Pinang respons aksi politik RM2j

1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin mempersoalkan siapakah penaja yang sanggup membayar RM2 juta kepada Psy yang popular dengan lagu ‘Gangnam Style’ di Pulau Pinang semalam tetapi merahsiakannya.

“Bukankah penaja sepatutnya mahu tajaan mereka diketahui bagi tujuan promosi khidmat atau barangan mereka?” tanya beliau yang lebih dikenali Che’GuBard dalam satu kenyataan.

Katanya, inilah kali pertama dalam dunia penaja buang duit tetapi mahu merahsiakan.

harakah/-

Heret bakal menantu Najib ke muka pengadilan – Fariz

Najwa1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 11 Feb: Kemunculan Daniyar Nazarbayev, warga Kazakhstan bersama Perdana Menteri dan anaknya, Nooryana Najwa ketika menikmati nasi kandar di Pulau Pinang malam semalam bukti Datuk Seri Najib Razak sorok bakal menantunya itu di negara ini, kata Fariz Musa.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata, kehadiran Daniyar di khalayak mengesahkan dakwaan mengatakan Najib sembunyikan tunang Nooryana, penjenayah paling dikehendaki.

“Najib bukan sahaja menyembunyikan jenayah seperti kes pembunuhan Altantuya (Shaariibuu) tetapi turut melindungi penjenayah. Inilah sebenarnya Najib.

“Sikap diam diri Najib sebelum ini berhubung bakal menantunya sekarang terjawab apabila muncul makan nasi kandar di Pulau Pinang,” kata Fariz ketika dihubungi.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan seorang lagi anaknya, Ashman Razak, menjamu selera selama 40 minit di Nasi Kandar Beratur di Jalan Kapitan Kling, sempena lawatan kerja dua hari ke negeri itu.

Sebelum ini, Daniyar – mengikut laporan New York Post dan media antarabangsa lain, menipu bapa tirinya, Bolat Nazarbayez seunit kondominum mewah berharga AS$20 juta (RM60 juta).

Mengikut media berkenaan, ia berdasarkan dokumen mahkamah yang difail di Mahkamah Agung Manhattan, Amerika Syarikat manakala Daniyar kemudian dilapor menghilangkan diri.

Fariz menempelak tiada tindakan polis terhadap penjenayah itu walaupun media antarabangsa mendedahkan penipuan oleh beliau membabitkan puluhan juta ringgit.

“Selama ini, kita yakin beliau bersembunyi di Malaysia atau lebih tepat di kediaman Perdana Menteri.
“Kita syak beliau menggunakan kedudukan bakal bapa mertuanya itu untuk mengelak dari diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” ujar Koordinator Jingga 13 itu lagi.

Keadilan Daily sebelum ini juga melaporkan seorang lelaki menyerupai Daniyar sedang menjalani latihan ketenteraan dengan lengkap berseragam seakan-akan tentera Malaysia di kem askar Port Dickson.

Malah beliau turut muncul pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Pekan, Pahang, 26 Ogos lalu.

Menurut Fariz, Jingga 13 akan mengadakan perbincangan untuk membuat laporan polis dan menghubungi polis antarabangsa (Interpol) supaya mengambil tindakan lanjut.

“Ia menimbulkan kontroversi bagaimana seorang yang terpalit dengan jenayah antarabangsa seperti itu boleh bergerak bebas dalam negara, malahan di kediaman Perdana Menteri,” kata Fariz.

keadilandaily/-

Paksa penerima BR1M undi BN, k’jaan tak ikhlas bantu rakyat

RASUAH-POLITIK1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Feb: Memaksa penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mengundi Barisan Nasional (BN) bukti kerajaan Umno tidak ikhlas bantu rakyat, kata Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Hassan Abdul Karim.

“Kita tahu BR1M adalah rasuah kepada rakyat menjelang PRU 13, tetapi dengan memaksa rakyat untuk mengundi BN selepas menerima bantuan bukti mereka memang tidak ikhlas,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau mengulas arahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusa Jaya, Datuk Aziz Supian yang memaksa penerima BR1M 2.0 supaya mengundi BN.

Aziz yang juga Ketua Umno Bahagian Gelang Patah berkata, semua penerima BR1M, terutama di kawasan Nusa Jaya perlu menyokong dan mengundi BN dalam PRU 13 kerana wang yang diberikan itu adalah wang Barisan Nasional.

“BR1M adalah peruntukan yang dibentangkan secara rasmi oleh kerajaan dalam Bajet 2013 dan diluluskan Parlimen. Jadi tidak ada keraguan ia adalah wang kerajaan,” kata Hassan mengulas kenyataan Aziz.

“Justeru, BN tiada hak langsung untuk mengatakan wang BR1M adalah wang mereka apatah lagi memaksa rakyat untuk mengundi mereka sebagai balasan. Itu kenyataan tidak bertanggungjawab,” bidasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BR1M 2.0 semasa pembentangan Bajet 2013 di Parlimen pada 28 September dan mula diedarkan 2 Februari lalu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail sebelum ini mendedahkan BR1M 2.0 menggunakan RM2 bilion peruntukan wang luar jangka bagi tujuan itu.

Peruntukan wang luar jangka juga dikenali sebagai peruntukan kecemasan Perbendaharaan Nagara, yang sepatutnya digunakan pada masa-masa kecemasan seperti selepas berlaku bencana alam dan seumpamanya.

keadilandaily/-

Imej puting beliung landa Hattiesburg di AS

1 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
 

HATTIESBURG, Mississippi - Gambar angin puting beliung di sini berjaya dirakamkan oleh jurugambar Jordan Holliman pada Ahad lalu.

Beberapa pegawai kecemasan berkata, puting beliung itu menyebabkan sejumlah bangunan mengalami kerosakan.

Kampus Universiti Southern Mississippi turut mengalami kerosakan.

Satu rakaman video yang menunjukkan pergerakan puting beliung itu juga berjaya dirakamkan oleh Rynal Grant.
Sebanyak tiga orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu. - Agensi