07 April 2013

PKR dakwa BN cedok manifesto Pakatan

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa manifesto BN yang dilancarkan pada malam tadi dicedok daripada manifesto Pakatan Rakyat.
Penyandang kerusi parlimen Lembah Pantai itu berkata ia tidak disalin bulat-bulat daripada tawaran Pakatan tetapi cuba mengetengahkan tawaran “populis, tanpa perubahan fundamental”.

NONE“Ini adalah plagiarisme dalam definisinya yang jelas. Manifesto itu populis, tetapi tercicir perkara yang lebih utama, iaitu reformasi fundamental,” katanya dalam ucapan selepas acara pemeriksaan kesihatan di kawasan Lembah Pantai hari ini.

BN dalam manifesto yang dilancarkan pada malam tadi antara lainnnya berjanji untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun jika mendapat mandat baru dalam pilihan raya umum tidak lama lagi.

Pakatan dalam manifesto Pakatan yang dilancarkan pada Februari berjanji untuk menghapuskan duti eksais untuk semua kenderaan dalam usaha untuk mengurangkan harga kereta secara signifikan di seluruh negara.

Malaysiakini/-

Mahkamah benarkan Husam injuksi blogger Parpukari

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan injunksi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ke atas blogger mesra Umno, “Parpukari”.


Parpukari atau nama sebenar Mohamad Salim Iskandar difahamkan rakan rapat dengan blogger Umno, Papagomo.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, dengan perintah injunksi tersebut Khamis lalu, Parpukari dilarang daripada menulis apa-apa berkaitan Husam sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

Pada prosiding sebelum ini Hakim Datuk Yazid Mustaffa menolak permohonan peguam Parpukari, Jasbeer Singh Kaura untuk meminda penyata pembelaan.

Malah mahkamah juga menolak permohonan Parpukari memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Blogger terbabit pada 19 Februari 2012 menulis dan menggunakan gambar-gambar secara tidak tepat dan tidak benar yang dikaitkan dengan plaintif.

Rencana tersebut disiarkan dalam blog; http://parpukari.blogspot.com bertajuk “parpukari productions mempersembahkan kisah cinta terlarang 2 benua!”.

Dalam writ saman plaintif mendesak defendan memohon maaf secara bertulis kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf dalam blognya dan memadam artikel berkaitan.

Selain itu mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian berbahasa Melayu, gantirugi sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.  Kes tersebut akan dibicara pada 19 dan 20 Jun hadapan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Husam memberitahu beliau tidak akan memohon maaf kepada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ekoran dakwaan menteri terbabit melulus saham FGVH lebih besar kepada syarikat Bumiputera berbanding peneroka.

"Siapa kroni yang diberi keistimewaan itu, syarikat mana yang diluluskan MITI untuk memiliki saham Felda. Kita minta menteri terbabit mengeluarkan senarai syarikat berkenaan dan menjawab isu-isu berkaitan," katanya pada ceramah Kelantanku Hijau di Padang Kemahkotaan, Jeli malam tadi.

Baru-baru ini Mustapa dilaporkan menuntut Husam memohon maaf berhubung dakwaan fitnah berkaitan saham FGVH yang diberi kepada kroni atau berdepan dengan tindakan saman.

Husam berkata, beliau bersedia menjawab isu tersebut di mahkamah dan tidak perlu menunggu notis 48 jam seperti diberi pemimpin terbabit.

Harakahdaily/-

Pencerobohan Sabah: Pengganas bersikap pelik

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Pencerobohan Sabah: Pengganas bersikap pelik
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek (kanan) bersama Ketua Setiausaha Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman (tiga dari kanan) melakukan lawatan ke FELDA Sahabat yang musnah terbakar akibat kumpulan pengganas di Lahad Datu, semalam.
Kuala Lumpur: Sistem brek bas tidak berfungsi ketika membawa keluar pengganas Sulu yang ditahan di kawasan pertempuran di Kampung Tanduo serta menyaksikan pengganas yang tidak mati walaupun ditembak bertalu-talu adalah antara pengalaman yang sukar dilupakan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat. 

Berkongsi pengalaman dan kisah pelik dengan media, pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lebih sebulan terbabit dalam Ops Daulat di Pantai Timur Sabah berkata, bas berkenaan disahkan sempurna bahagian teknikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum membawa naik pengganas berkenaan. 

Masalah mula dikesan selepas pengganas dibawa keluar menuju ke Balai Polis Cenderawasih, FELDA Sahabat kira-kira 30 kilometer dari Kampung Tanduo. 

Seorang anggota JSJ yang enggan dikenali memberitahu dia mengesan perlakuan pelik beberapa pengganas terutama yang berumur lewat 60-an ketika membawa mereka ke balai polis sehingga pemandu bas sukar mengawal stereng selain bas menghadapi beberapa masalah teknikal.

Berasa pelik

“Saya berasa pelik melihat mulut mereka terkumat-kamit seolah-olah membaca sesuatu sambil meludah ke lantai manakala sebahagian lagi menghantukkan kepala ke dinding berulang-kali dengan perlahan sambil menyanyikan sesuatu yang tidak kami fahami.

“Tidak lama selepas itu bas kami gagal dikawal seolah-olah ada satu kuasa ghaib yang mengendalikannya sehingga sistem brek bas gagal berfungsi dan memaksa pemandu merapatkan bas ke kiri jalan kawasan berbukit bagi mengelak kami terjunam ke kawasan gaung di kanan jalan,” katanya ditemui pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira Negara, di sini, kelmarin. 

Tukar kenderaan

Masalah brek berterusan walaupun kami menukar bas dan keadaan hanya kembali pulih apabila semua tahanan kemudian dibawa menaiki lori ke Balai Polis Cenderawasih.

Bagi Superintendan Fadil Marsus, yang juga antara ketua operasi JSJ dalam Op Daulat berkata, pengalaman memastikan kelancaran perjalanan siasatan kes dalam Op Daulat sangat berbeza dengan tugasan membanteras penjenayah seperti sebelum ini.

Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkata, tugas setiap pegawai dan anggota JSJ adalah sebagai pasukan sokongan untuk memastikan keadaan selamat ketika mengiringi tahanan pengganas Sulu ke mana-mana lokasi selain memastikan kelancaran operasi pemeriksaan pasukan forensik. 

Bagi Sarjan Zumet Ibok, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, tugas mengiringi beberapa pemimpin tertinggi PDRM juga dianggap sebagai satu tugas mencabar sepanjang Op Daulat. 

“Ini kerana semua orang-orang penting pasukan PDRM sentiasa menjadi sasaran musuh (pengganas Sulu) untuk dijadikan tebusan,” katanya.

Berita Harian/-

Asrama pekerja terbakar

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Asrama pekerja terbakar

Abdul Halim (kiri) meneliti kesan kebakaran pada salah satu suis di rumah kedai di Pusat Bandar Tambahan Parit Buntar, semalam.
PARIT BUNTAR - Sebuah rumah kedai yang dijadikan asrama penginapan pekerja sebuah gerai makan di Pusat Bandar Tambahan, di sini hampir musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, hampir 80 peratus tingkat tiga bangunan tiga tingkat yang diduduki lima pekerja tempatan sejak sebulan lalu itu musnah.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar berkata, Abdul Halim Mansor berkata, seramai lapan anggota membabitkan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan telefon.

“Sebaik tiba, kita dapati api sedang marak dan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran.

“Bagaimanapun, kebakaran hanya melibatkan tingkat tiga bangunan berkenaan, semua pakaian dan peralatan elektrik yang berada di dalamnya musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Halim berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kesemua penghuni asrama keluar bekerja sejak awal pagi.

Jelasnya, hasil siasatan, kejadian berpunca daripada salah satu suis yang terbakar setelah dibiarkan terbuka untuk menghidupkan radio.

“Kealpaan penghuni rumah yang tidak menutup suis radio apabila keluar bekerja menyebabkan kebakaran yang memusnahkan kediaman berkenaan.

“Anggaran kerugian ditaksirkan sebanyak RM2,000 termasuk kerosakan bangunan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang penghuni asrama, Mohd Halim Abdul Rahim, 29, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat kerja, sebelum terdengar bunyi bising dari luar kedai.

Katanya, dia segera keluar dan melihat orang ramai menjerit ada api di bangunan sebelah kedai tempatnya bekerja.

“Orang ramai segera menghubungi bomba bagi mengelak kebakaran merebak ke kedai lain.

“Saya cuba naik ke atas untuk menyelamatkan barangan berharga termasuk wang tunai melebihi RM500, namun gagal apabila keadaan api semakin marak,” katanya.

Sinar/-

Sembunyi di enjin kereta

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Sembunyi di enjin kereta

Biawak besar bersembunyi di bahagian enjin sebuah kereta berjaya ditangkap anggota oleh JPAM.
IPOH – Seorang lelaki tidak menyangka, tindakan membuka bonet enjin kereta di kediamannya di Taman Pengkalan Jaya, di sini mengundang detik cemas apabila secara tiba-tiba diserang seekor biawak liar.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, Hassan Ar-Rashid, 59, nyaris cedera apabila haiwan seberat 30 kilogram yang dikatakan menyorok di bahagian enjin kereta model Toyota berkenaan cuba menggigit tangannya.

Hassan berkata, pada mulanya dia dimaklumkan oleh jiran yang ternampak kelibat biawak berhampiran kawasan rumah itu.

Bagaimanapun, menurutnya, usaha mencari reptilia tersebut di sekitar rumah gagal sebelum mendapati biawak sepanjang 1.8 meter itu bersembunyi di bahagian enjin kereta.

“Saya tergamam apabila haiwan itu cuba untuk menggigit tangan, mujur saya sempat mengelak dan segera menutup kembali bonet sebelum biawak tersebut bertindak lebih agresif,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, Hassan segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mendapatkan bantuan.

Dia tidak menolak kemungkinan haiwan itu tersesat dan mencari tempat perlindungan memandang kawasan perumahan berkenaan terdapat banyak anjing liar.

Bagaimanapun, reptilia berkenaan berjaya ditarik keluar dari bahagian enjin kereta kira-kira jam 8 pagi oleh anggota JPAM.

Sementara itu Pegawai Daerah Pertahanan Awam Daerah Kinta, Muhammed Ameen Salleh berkata, reptilia berkenaan adalah spesies biawak terbesar yang pernah ditangkap.

Katanya, haiwan itu kini dalam simpanan JPAM sebelum dilepaskan ke lokasi lebih selamat.

Sinar/-

Lapan jam dilanda banjir kilat

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lapan jam dilanda banjir kilat

Keadaan laluan utama di Bagan Jermal dinaiki air dalam kejadian banjir kilat, kelmarin.
BUTTERWORTH - Hujan lebat berterusan selama empat jam sejak lewat malam kelmarin,  mengakibatkan banjir kilat di Kampung Bagan Jermal dan laluan utama serta kawasan sekitarnya dinaiki air.

Kejadian yang disedari berlaku kira-kira jam 3 pagi itu menyebabkan berlaku kesesakan jalan apabila pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan untuk mengelak mengharungi banjir.

Pengguna juga terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi yang dituju kerana bimbang kenderaan mereka rosak jika terus meredah air setinggi paras lutut itu.

Difahamkan, beberapa rumah penduduk di kawasan berdekatan turut dimasuki air dalam kejadian banjir kilat yang berlarutan lebih lapan jam.

Bagaimanapun, tiada kerugian dan kerosakan besar dialami penduduk kerana mereka sudah membuat persiapan awal menghadapinya melalui pengalaman sebelum ini.

Seorang pemilik kenderaan, Mat Mohamad Sutan, 45, yang selalu menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja di Perai berkata, kejadian banjir kilat ini bukan kali pertama berlaku pada tahun ini.

“Kawasan ini dikategorikan antara kawasan rendah yang mudah dinaiki air menyebabkan laluan kenderaan di sini terdedah kepada banjir kilat.

“Malah, longkang besar kiri dan kanan jalan juga sering tersumbat, sekalu gus memudahkan air bertakung dan mengganggu kelancaran trafik,” katanya.

Sementara itu, mangsa banjir kilat, M Kanapathy, 56, berkata, biarpun kali ini banjir kilat itu tidak lama masanya namun kekerapannya mengundang pelbagai masalah.

“Setiap kali hujan lebat saya dan beberapa orang penduduk kampung terpaksa membersihkan longkang besar untuk memudahkan saliran air.

“Ini dilakukan bagi mengelak air melimpah memasuki rumah dan laluan di sini,” katanya.

Sehubungan itu, mereka meminta pihak berkuasa memantau keadaan laluan, termasuk meningkatkan ketinggian permukaan jalan dan longkang besar untuk memudahkan pergerakan air dari bertakung yang dikesan menjadi punca kepada kejadian banjir kilat di situ.

Sinar/-

PRU13: Senario menarik, saingan sengit

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menjanjikan sesuatu yang menarik serta persaingan sengit antara calon parti-parti yang bakal bertanding di negeri ini bagi mendapatkan mandat untuk membentuk kerajaan memerintah.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Neilson Ilan Mersat berkata, parti-parti politik sama ada komponen Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) masing-masing dilihat bakal mengemukakan calon-calon yang berkeyakinan tinggi serta berpotensi menang.

Malah, ada di kalangan parti-parti yang bakal bertanding begitu berani memberikan bayangan awal tentang jumlah kerusi yang mampu dimenangi pada PRU13.

“Saya melihat pertarungan kali ini akan dibayangi oleh harapan untuk meneruskan tsunami 2008 di satu pihak serta usaha untuk mengekalkan status Sarawak sebagai ‘fixed deposit’ (deposit tetap) di satu pihak.

“Kawasan luar bandar akan terus didominasi dengan isu-isu seperti keperluan asas berbeza dengan kawasan yang lebih maju di mana isu-isu yang bersifat abstrak seperti hak asasi, ketelusan, sistem penyampaian berkesan akan menjadi perhatian.

“Semua ini akan mewarnai senario yang bakal berlaku di negeri ini menjelang PRU13 yang menjanjikan sesuatu yang menarik serta persaingan sengit antara parti pembangkang dan penyandang kerajaan memerintah,” katanya dipetik Utusan Borneo.

Tambah Neilson, kewujudan media sosial akan memperhebatkan proses kempen bagi meraih sokongan di kalangan calon-calon yang bakal bertanding.

Oleh kerana pengundi-pengundi lebih terdedah kepada media sosial dan disajikan dengan pelbagai pandangan serta ulasan dari pelbagai perspektif, ia akan menjadikan PRU13 lebih menarik.

“Tetapi semua ini akan menjadikan mereka (pengundi) lebih bijak dalam membuat pilihan untuk sistem demokrasi yang lebih matang,” kata Neilson.

Sinar/-

Botak beri risiko kesihatan

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Paris: Lelaki botak dikatakan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung koronari.

Tetapi, satu kajian terbaru menyatakan risiko itu dihadapi oleh mereka yang botak di bahagian tengah kepala. 


Lelaki yang mengalami botak depan dikatakan tidak memiliki risiko tambahan bagi penyakit arteri tersumbat yang juga boleh menyebabkan serangan jantung, menurut laporan jurnal BMJ Open. 

Penyelidikan

Ia berdasarkan penemuan penyelidik dari Bahagian Penyakit Metabolik dan Diabetes Universiti Tokyo.

Mereka menganalisis enam kajian mengenai perbezaan botak di kalangan lelaki dan penyakit koronari jantung yang dijalankan antara 1993 dan 2008 membabitkan hampir 40,000 responden di Amerika Syarikat dan Eropah.

Analisis berkenaan menunjukkan bahawa lelaki yang kehilangan banyak rambut berkemungkinan lebih satu pertiga untuk mendapat penyakit arteri koronari berbanding mereka yang berambut lebat. 
Lebih teruk keadaan botak akan mempengaruhi peringkat risiko tetapi sekali lagi ia hanya membabitkan mereka yang botak di bahagian tengah kepala.

“Hasil kajian ini menunjukkan bahawa botak di bahagian tengah adalah lebih dikaitkan dengan systemic atherosclerosis (penyakit jantung koronari) berbanding mereka yang botak bahagian depan.

“Faktor risiko kardiovaskular berkenaan perlu dikaji dengan lebih teliti di kalangan lelaki yang botak tengah kepala terutama golongan lelaki muda dan mereka yang mungkin digalakkan untuk melihat risiko profil kardivaskular masing-masing,” menurut kajian berkenaan.

Pun begitu, kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini. - AGENSI

Menggeletar tersepak wang

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Menggeletar tersepak wang

Yusri Awang menunjukkan duit ditemuinya bersama isteri di sebuah pasar raya di bandar Kuantan, Khamis lalu.
KUANTAN - “Menggeletar kaki saya lihat seikat duit yang saya sepak sejurus keluar dari pasar raya tersebut,” kata Liza Alias, 41, yang menemui sejumlah wang ketika keluar dari sebuah pasar raya dekat bandar Kuantan, Khamis lalu.

Menurutnya, akibat panik, dia bersama suami mengambil wang itu dan masuk semula ke dalam pasar raya untuk mengenal pasti pemiliknya.

“Sehingga kini, saya dan suami masih menyimpan wang itu dan nekad untuk menyiarkan dalam akhbar bagi mencari pemiliknya.

“Jika saya bertanya pada orang lain, mungkin ramai mengaku dan jalan terbaik adalah saya akan pulangkan duit ini sendiri sekiranya ia dituntut,” katanya.

Suami Liza, Yusri Awang Muhammad, 38, berkata, dia sememangnya tidak menyangka akan terjumpa wang sebanyak itu.

“Seminggu lalu, saya pernah kehilangan RM50 dan saya tahu betapa sedihnya kehilangan wang kerana saya bukannya orang kaya.

“Tambahan pula, saya baru sahaja mengalami kemalangan dan memerlukan wang untuk membaiki kereta yang rosak," katanya.

Menurutnya, jika imannya tidak kuat, sudah tentu dia akan menggunakan wang mereka temui itu.

Wang ditemui pasangan suami isteri tersebut masih diikat rapi seperti ketika ditemui.

Yusri Awang berkata, jumlahnya hampir RM1,000.

Bagaimanapun katanya, jika dalam masa seminggu masih tidak dituntut, ia mungkin akan dimasukkan ke dalam tabung masjid.

Bagi sesiapa kehilangan wang di sebuah pasar raya dekat bandar Kuantan, boleh berhubung terus dengan Yusri Awang menerusi talian 014-8347036.

Sinar/-

Tendang pintu selamat mangsa

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tendang pintu selamat mangsa

Wan Kamarul Zaman sedih melihat rumah pusaka peninggalan orang tuanya musnah dalam kebakaran di Kampung Laut.
TUMPAT – Tindakan pantas penduduk kampung menendang pintu bilik tidur menyelamatkan seorang pesakit mental, Mohd Rizal Ramli, 44, daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Laut di sini, awal pagi semalam.

Ketika kejadian, Mohd Rizal tidur bersendirian di rumah itu sebelum dikejutkan oleh penduduk kampung dan kemudiannya bergegas keluar menyelamatkan diri kira-kira jam 6 pagi.

Mohd Rizal adalah yatim piatu yang tinggal di rumah itu bersama bapa saudaranya, Wan Kamarul Zaman Wan Abdul Majid, 56.

Wan Kamarul Zaman berkata, ketika kejadian, dia ke rumah saudaranya di Thailand bersama isteri, Siti Sunaidah Salleh, 45, serta empat anak pada hari Khamis.

“Terkejut saya apabila menerima panggilan mengatakan rumah saya terbakar.

“Saya terus bertolak pulang dari Thailand dan sampai di sini kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya merupakan peniaga kedai makan.

Menurutnya, berdasarkan cerita penduduk, Mohd Rizal terselamat dalam kebakaran itu apabila ada penduduk kampung naik ke rumah menendang pintu bilik tidurnya.

“Mujur anak saudara saya terselamat, namun agak terkilan kerana harta benda tidak dapat diselamatkan.

“Kami tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia 56 tahun hangus termasuk perabot, wang tunai RM3,000 dan barang kemas,” katanya yang memaklumkan kerugian RM100,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Ya’cob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.21 pagi.

“11 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Pengkalan Kubor ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 7.23 pagi,” katanya.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sinar/-

Jerung kepala dua pertama dunia

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Jerung kepala dua pertama dunia

Pengimbas MRI mendedahkan anak jerung ini memiliki sistem hati dan perut berlainan tetapi berkongsi badan serta ekor.
JURNAL Biologi Ikan melabelkan penemuan seekor anak jerung berkepala dua adalah yang pertama di dunia selepas seorang nelayan di teluk Mexico menjumpainya pada 2011.

Dipetik MailOnline, menurut saintis Universiti Negeri Michigan (MSU), Amerika Syarikat, anak jerung itu dijumpai di dalam rahim jerung dewasa susulan insiden tumpahan minyak di kawasan gerudi minyak Deepwater Horizon.

Jerung Yu adalah spesies tunggal jerung yang menyerang manusia selain ia amat popular di kalangan nelayan kerana sifat agresifnya.

Penolong profesor perikanan dan hidupan liar MSU, Michael Wagner berkata, hidupan akuatik berdarah panas itu berkemungkinan mati selepas dilahirkan.

"Kebanyakan haiwan yang dilahirkan berkepala dua tidak akan hidup lama sejurus dilahirkan dan dalam kes ini, anak jerung ditemui nelayan mati ketika ditemui," katanya sambil mengakui bangkai anak jerung itu kini disimpan di jabatan sains marin di Kolej Komuniti Florida Keys.

Sinar/-

Dikapak 15 kali

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Dikapak 15 kali

Sebahagian otak Meena hancur akibat ditetak abang kandung dengan kapak.
KABUL - Akibat melarikan diri daripada perkahwinan paksa, seorang wanita Pakistan dikapak sebanyak 15 kali oleh abang kandung sebagai hukuman yang digelar pembunuhan kehormat.

Dipetik CNN, Gul Meena, 17, bagaimanapun masih hidup selepas insiden pada pertengahan 2008 yang turut mengorbankan teman lelakinya.

Menurut Pengarah Eksekutif Kebajikan Kabul, Manizha Naderi, wanita itu kini tidak mampu untuk menyuap makanan sendiri dan terpaksa memakai lampin kerana kecederaan otak.

"Meena dipaksa berkahwin pada umur 12  tahun dengan seorang warga emas berumur 60 tahun sepanjang perkahwinan, dia dipukul," katanya.

Jelas Naderi, Meena turut dipukul oleh ibu bapanya selepas mengadu tindakan suaminya itu.

Pada November lalu, Meena bertindak melarikan diri bersama kekasihnya sebelum ditemui oleh abang kandung Meena di Jalalabad, Aghanistan, lima tahun kemudian.

"Mereka dikapak dan sebahagian otak Meena hancur," kata Naderi.

Setakat ini, seramai 14 wanita Afghanistan berlindung di pusat perlindungan kerana dibuang keluarga.

Sinar/-

Maut jatuh lubang lif

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Maut jatuh lubang lif

Mayat Faridah Hanum dibawa keluar dari tempat kejadian.
GEORGETOWN - Malang sungguh nasib seorang wanita warga Indonesia yang maut selepas tersangkut dalam lif, sebelum mayatnya ditemui di dalam lubang penyelenggaraan lif di pangsapuri BJ Court, Bukit Jambul di sini, kelmarin.

Polis menemui mayat Faridah Hanum, 41, kira-kira jam 9 malam dan siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian tulang rusuk kiri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, lif yang dinaiki mangsa bersama 20 orang lain dipercayai tersangkut menyebabkan mereka terperangkap di dalamnya.

“Ketika kejadian, mangsa cuba keluar dari lif itu namun gagal apabila dipercayai terjatuh di dalam ruang penyelenggaraan lif sedalam kira-kira dua meter.

“Sejurus kejadian, anggota  Bomba dan Penyelamat dari Jalan Perak membantu mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kong Meng berkata, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar/-

Budak maut jatuh kondo

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Budak maut jatuh kondo

Pegawai perubatan memeriksa mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat 17.
SELAYANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di sini dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin.
Mangsa meninggal serta merta selepas mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian anggota badan termasuk kepala.

Sumber memaklumkan, ketika kejadian, kanak-kanak tersebut berada di rumah bersama abangnya berusia 14 tahun.

“Mangsa dilaporkan hilang sewaktu abangnya ke tandas dan sebelum itu di lihat sedang bermain di rumah.

“Risau sesuatu berlaku, abangnya kemudian mencari adiknya di luar rumah dan menjumpai mangsa berbaring tidak bernyawa di bahagian lapang di kawasan pekarangan bawah rumah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sewaktu ambulans tiba, mangsa telah meninggal dunia.

Mayat dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Sinar/-

Pada Dr M, Umno itu alat permainan sahaja — Aspan Alias

26 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Umno ini selalu menjadi mangsa pemimpin mereka sendiri. Dalam Umno sedang lemah dan hampir lemas Dr Mahathir pernah berkata Umno itu sudah busuk sampai ke ususnya. Dr Mahathir pernah dengan lantang berkata “yang pandai masuk PAS, yang cerdik masuk PKR dan yang bijak masuk DAP”. Dr Mahathir sedar itu semua. Begitu juga Daim yang mengatakan hanya tiga negeri sahaja yang akan kekal dengan BN, yang lain semuanya kalah.
Sekarang kedua-duanya mundar-mandir memberikan sokongan dan berkempen untuk parti yang Dr Mahathir anggap sudah busuk sampai ke usus itu. Daim pula bertukar angin dan kembali menyokong Najib yang beliau pandang rendah itu. Sekarang Najib pula yang mampu untuk membawa pembaharuan untuk negara. Saya selalu berkata yang mereka berdua ini tidak boleh dipercayai kata-kata mereka.
Kalaulah mereka ini nakhoda kapal kita sebagai penumpang akan mabuk laut dan muntah-muntah kerana kapal yang mereka nakhodakan itu tidak tentu arah hala-tuju nya. Tetapi sebagai orang politik, kita tidak perlu menjadi seorang yang pandai untuk mengetahui sebab kedua-duanya ini bertukar menyokong parti dan pimpinan yang mereka anggap sebagai tidak berguna dahulu. Yang tidak berguna dahulu sudah menjadi berguna sekarang.
Dr Mahathir dan Daim itu adalah pemimpin yang tidak mahukan Umno itu kuat agar mereka sentiasa menjadi orang penting di mata parti dan pimpinan yang ada sekarang. Semasa Umno itu dianggap kuat, maka Dr Mahathir akan memberikan segala perkara buruk terhadap Umno dan isu yang dimainkan oleh Dr Mahathir terhadap Umno itu bukannya isu yang kecil bahangnya kepada parti itu. Jika Umno kuat Dr Mahathir merasakan beliau akan tidak diperlukan lagi. Jika Umno lemah, maka beliau akan menjadi penting dan berharap pimpinan Umno akan sentiasa bersandar kepada beliau.
Sekarang ini Umno sudah tidak boleh diperbaiki lagi dan salah seorang orang penting kepada kekusutan dalam Umno itu adalah dicipta oleh Dr Mahathir. Sekarang beliau menjadi penting dan beliau sendiri sudah menjadi “panic” kerana kekalahan Umno itu adalah satu kejadian yang tidak mustahil lagi sekarang ini. Dalam keadaan sekarang Dr Mahathir terus berlegar di setiap peringkat menyanyikan lagu Umno itu sebagai penyelamat bangsa dan negara.
Jika kita cuba hendak selarikan dengan komen beliau yang Umno itu sudah busuk sampai ke ususnya tahun lepas, bagaimana pula beliau boleh mendesak rakyat untuk kembali menyokong Umno yang beliau sendiri merasakan parti yang sudah busuk sampai ke ususnya itu? Pimpinan Umno semasa beliau menganggapnya sebagai busuk dahulu masih memegang kuasa parti itu.
Ini adalah dalil yang pemimpin seperti Dr Mahathir itu hanya memerlukan parti yang memerlukan beliau sahaja yang memerintah walau sebusuk mana pun parti itu. Yang penting bagi beliau, Dr Mahathir hanya memerlukan pihak mana yang boleh memberikan dan memenuhi kehendak beliau sahaja untuk memerintah.
Dr Mahathir akan mempersetankan kehendak dan harapan rakyat. Harapan yang perlu dipenuhi hanyalah harapan beliau sahaja dan menjadikan pimpinan Umno sebagai buah “DAM” sahaja dan boleh ditolak dan disorong ke depan dan ke belakang mengikut kehendak dan kemahuan beliau sahaja.
Jika parti ini masih mentadbir kita, apakah harapan rakyat ramai pada masa depan? Parti ini sudah dijadikan alat permainan oleh Dr Mahathir yang tidak puas-puas dengan kemahuan keluarga dan kepentingan kroni-kroni beliau.
Sebenarnya Dr Mahathir mahukan Umno menang tipis kerana beliau hendak terus menjadi orang penting dan kali ini beliau akan memulakan proses pengambil-alihan kuasa dari Najib untuk diserahkan kepada Muhyiddin. Beliau merasakan permainan beliau ini akan terus berjaya lagi kali ini.
Itu sebabnya saya tidak dapat mengalihkan persepsi saya terhadap Dr Mahathir yang selagi Umno lemah selagi itulah pimpinan Umno akan “digomeng” kepala mereka sekehendak hati beliau.
Dr Mahathir tidak pernah mahukan kepimpinan Umno yang kuat untuk kepentingan beliau sehinggakan Umno itu tidak lagi mempunyai harapan untuk pulih dan parti itu tidak mungkin pulih sampai bila-bila.
Justeru itu, tidak salah ahli-ahli Umno itu memberikan sokongan kepada pihak lain kerana mereka hanya menjadi alat untuk kepentingan mereka yang sudah ketagih dengan kuasa melakukan apa-apa jua terhadap rakyat.
Dr Mahathir sedang menggunakan saki-baki pengaruh beliau dengan sepenuhnya untuk melaga-lagakan rakyat jika perlu, semata-mata untuk kepentingan beliau selama beliau masih hidup. Beliaulah orang yang paling sibuk sekarang ini. Tidak ada sesiapa yang lebih penting dalam negara ini selain daripada Dr Mahathir.
Dr Mahathir membuatkan Umno berperang sesama sendiri, harta rampasan perang beliau dan Daim yang kumpul. — aspanaliasnet.blogspot.com
The Malaysian Insider/-