04 Mac 2011

Apa lagi mahu diharap pada kerajaan BN

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 4 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, negara tidak memerlukan pemimpin yang jahat dan bodoh tetapi mahukan individu yang baik akhlak, amanah dan bijaksana dalam mengatur peluang untuk memajukan negara.

Tambahnya lagi, kepimpinan yang ego, rakus dan gilakan kuasa pastinya merugikan pembangunan negara kerana bertindak bukan berdasarkan kehendak rakyat sebaliknya mengikut kepala atau arahan pihak ketiga walaupun tahu setiap arahan itu rakyat yang menanggungnya.

"Negara tidak memerlukan seorang pemimpin yang jahat dan bodoh kerana sikap tersebut tidak menguntungkan pentadbiran negara. Bertambah parah kalau individu itu tidak berakhlak, melakukan penyelewengan dan bersikap ego," ujarnya ketika berucap pada majlis Karnival Penang Harmoni di Dewan Millenium, di sini malam tadi.

Kerakusan dan kezaliman ketika memerintah, tegasnya, bukan sahaja dirasai oleh rakyat bahkan pelabur juga terasa bimbang untuk meneruskan usaha menaman modal di negara ini.

Sebab itu, hari ini ekonomi Malaysia semakin mengucup setelah kebanyakan pelabur lari.

Bagaimanapun, katanya sejak kebelakangan ini apabila empat negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor menunjukan prestasi ekonomi membanggakan berbanding negeri di bawah Barisan Nasional (BN).

Katanya, untuk mencapai tahap negara maju, rakyat harus menolak pemimpin jahat yang merampas harta rakyat dan gagal merencanakan pembangunan mengikut acuan sebenar, bukannya program 'mi segera' yang akhirnya menguntungkan kroni.

Sekarang ini, ujarnya kepimpinan negara seakan filem 'Ali Baba dan 40 orang penyamun' kerana menipu dan ditipu.

“Apa tidaknya, di era kepimpinan Tun Dr Mahathir, beliau yang dianggap pandai merampas hak rakyat akhirnya ditipu pula oleh Menteri Pengangkutan ketika itu,” katanya.

Begitu juga dengan Perdana Menteri kelima, Tun Abddulah Ahmad Badawi juga menjadi mangsa penipuan Menteri Pengangkutan.

"Apa lagi nak harapkan BN memerintah nanti semua harta rakyat dikebas satu persatu. Melainkan rakyat bangkit jadi 'Marjinah' hasil lakonan Seniwati Negara, Sarimah yang mengajak rakannya menuang air panas ke dalam tong yang ada penyamun," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

Turun berceramah pada malam tadi ialah Ketua Wanita DAP, Choong Eng dan penulis lirik, Bob Lokman.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said.

Najib tidak tolak kemungkinan pilihan raya umum awal

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Najib di Melbourne hari ini.

MELBOURNE, 4 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pilihan raya umum awal, yang disebut-sebut bakal diadakan tahun ini.
Bagaimanapun tegas Najib beliau tidak memerlukan mandat baru menerusi pilihan raya umum ke-13 untuk meneruskan pembaharuan-pembaharuan seperti memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan.

Dalam temu bual dengan Reuters sempena lawatan ke Australia hari ini, Najib berkata, prestasi yang baik pada pilihan raya negeri Sarawak akan membantu menilai tanggapan orang ramai dan kemungkinan akan memberikan petanda ke arah pilihan raya umum awal.

Mandat semasa kerajaan pusat hanya berakhir April 2013.

Di DUN Sarawak, BN kini memiliki 63 daripada 71 kerusi.

Najib, yang perikatan pimpinannya Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan prestasi buruk tiga tahun lalu, berjanji untuk memulihkan keyakinan pelabur di Malaysia dengan melaksanakan pembaharuan termasuk memperkenalkan cukai tertangguh berganda.

Ketika pilihan raya umum 8 Mac 2008, Najib merupakan timbalan perdana menteri. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri Najib April 2009.

“Ia persoalan mengenai penilaian di akar umbi, bagaimana rakyat fikir tentang kerajaan, sama ada kita boleh ada faktor rasa selesa dan rakyat ada keyakinan ke atas kerajaan dan kedudukan pembangkang,” katanya.

“Saya tidak menolak apa jua kemungkinan. Kemungkinan awal atau kemungkinan kemudian. Saya masih menilai situasi. Sarawak akan menjadi sebahagian daripada penilaian (saya), sudah pasti,” kata Najib yang juga pengerusi BN.

Najib merujuk kepada kejayaan BN dalam empat daripada lima pilihan raya kecil yang lalu, mengatasi Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut berhadapan dengan kes liwat kedua dalam hidupnya.

BN berhadapan dengan dua pilihan raya kecil serentak iaitu DUN Merlimau dan Kerdau dengan pengundian pada Ahad ini.

“Setakat ini ia (kedudukan, sokongan) nampak baik. Setakat ini laporan dari lapangan agak menggalakkan tetapi kami tidak boleh memandang ringan, kerana pembangkang akan lebih bersungguh-sungguh kali ini untuk menerokai laluan di Sarawak,” kata beliau.

Katanya perkembangan-perkembangan itu adalah usaha ke arah membentuk keyakinan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun Najib mengakui bahawa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri bukan segala ukurannya jika mengambil kira keputusan akhir pilihan raya umum.

TheMalaysianInsider/-

Persediaan Sebelum Tidur

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Hadith:

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW.

Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (at-Tirmizi)

Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur.

Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.

Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula.

Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Pembangkang Libya tolak Chavez sebagai orang tengah

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BENGHAZI: Kumpulan pembangkang dan pemberontak di Libya hari ini menolak pembabitan Presiden Venezuela, Hugo Chavez sebagai orang tengah dalam rundingan bagi membawa semula keamanan serta meleraikan krisis politik di negara itu.

“Kami mempunyai kenyataan yang jelas. Ia sudah terlambat. Sudah banyak darah mengalir," kata Mustafa Gheriani, jurucakap pembangkang yang mengisytiharkan penubuhan Majlis Kebangsaan di bandar timur Benghazi, sebelum ini.

Chavez, yang menjadi rakan pemimpin rapat dengan Presiden Libya, Muammar Gaddafi mencadangkan agar satu misi pengaman antarabangsa diwujudkan di kalangan negara yang menjadi rakan baik Libya bagi mengadakan rundingan bagi mengelak perang saudara. “Kami tidak akan berunding dengan sesiapa mengenai rakyat kita yang sudah terkorban.

"Salah satu jalan untuk kami berunding dengan Chavez ialah jika Gaddafi meninggalkan negara ini ke Venezuela.

“Selepas itu kami akan meminta Gaddafi dihantar semula ke Libya untuk dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Berita Harian/-

ADUN Lenggeng didapati bersalah rasuah

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Negeri Sembilan, Mustafa Salim didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang kontraktor bertujuan mengeluarkan surat sokongan berkaitan dengan projek pasir, lebih dua tahun lalu.

Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendapati ADUN Barisan Nasional itu bersalah terhadap dua tuduhan menerima suapan daripada M Manimaran untuk tujuan itu. Dia didakwa di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Anti-Rasuah 1997, menerima wang suapan di sebuah restoran di Mantin pada 31 Ogos 2008 dan boleh dikenakan hukuman penjara antara 14 hari dan 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau minimum RM10,000. Hakim Mahkamah Sesyen, Amran Jantan dijangka menjatuhkan hukuman terhadap Mustafa pada jam 2.45 petang ini

Kapal misi hantar makanan ke Libya berpatah balik

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

ROM: Sebuah kapal yang membawa muatan 1,000 tan tepung ke bandar Benghazi di timur Libya dilaporkan berpatah balik semalam selepas menerima laporan kawasan itu terdapat pengeboman udara.

Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kapal itu berpatah balik tanpa menurunkan semua muatan tepung yang sepatutnya dihantar ke negara bergolak itu.

“Keputusan itu dibuat pemilik kapal berkenaan kerana ia berisiko. Kami juga peka terhadap operasi pengemboman dari udara di kawasan berkenaan," kata Greg Barrow, jurucakap Program Makanan Dunia PBB yang beribu pejabat di Rom, Itali.

Berita Harian/-

Pengeboman untuk takutkan pemberontak: Anak Gaddafi

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

LONDON: Serangan bom ke atas bandar pelabuhan Brega hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan pemberontak Libya ke atas Presiden Muammar Gaddafi, kata anaknya, Seif Al-Islam kepada stesen televisyen Britain, Sky News, lewat malam tadi.

“Operasi pengeboman udara itu hanya untuk menakut-nakutkan mereka supaya menjauhi kawasan berkenaan. “Sebenarnya tiada bandar di sana. Bandar Brega terletak berbatu jauhnya. Saya bercakap mengenai pelabuhan yang mempunyai pusat penapisan minyak," katanya. Seif berkata, rejim pemerintahan tetap akan mempertahankan pelabuhan itu daripada jatuh ke tengan pemberontak.

"Ini adalah hub minyak dan gas di Libya. Kepada kami semua, kami makan, kami hidup kerana Brega. Tanpa Brega enam juta rakyat tidak mempunyai masa depan kerana kita eksport semua hasil minyak kami dari sana," katanya.

Berita Harian/-

Kejadian rusuhan kian buruk, 180,000 tinggalkan Libya - PBB

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GENEVA 4 Mac - Sekurang-kurangnya 180,000 orang telah meninggalkan Libya akibat daripada kejadian rusuhan yang semakin buruk ketika ini, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), hari ini.

Kebanyakan individu yang meninggalkan negara yang sedang bergolak itu adalah pekerja dari Mesir dan Tunisia termasuk pekerja dari beberapa negara lain.

Utusan Malaysia/-

PM Mesir pula letak jawatan, Essam Sharaf jadi PM baru

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KAHERAH 4 Mac - Perdana Menteri Mesir, Ahmed Syafiq meletakkan jawatannya berkuat kuasa semalam, satu lagi sambutan kegembiraan bagi penunjuk perasaan yang mahukan sisa pemerintahan rejim Presiden Hosni Mubarak dibersihkan.

Bekas Menteri Pengangkutan, Essam Sharaf dilantik untuk menggantikan Shafiq dan membentuk kerajaan baru.

Angkatan bersenjata memerintah negara itu sejak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 18 Februari lalu ekoran protes selama 18 hari di seluruh negara tersebut.

Utusan Malaysia/-

Pemberontak minta PBB matikan serangan tentera

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BREGA - Pemberontak Libya meminta pertolongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan udara tentera upahan Afrika yang diarah pemimpin Muammar Gadaffi untuk menyerang rakyatnya sendiri, semalam.

Pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan, kelmarin terhadap pemberontak melalui darat dan udara sebagai amaran jika ada negara Barat mahu campur tangan dalam krisis negara itu.

Askar Gaddafi dilaporkan berjaya mendapat semula Brega selepas seminggu ditawan pemberontak dan mereka akan bergerak ke ibu negara Libya jika beliau tetap enggan meletak jawatan.

Terdahulu, Gaddafi mengecam bahawa ribuan rakyatnya akan terbunuh jika Amerika Syarikat atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) campur tangan dalam krisis negaranya.

Serangan bom turut berlaku berdekatan terminal minyak kelmarin, di mana sekurang-kurangnya 14 orang terkorban.

Sinar Harian/-

Cerai setiap 15 minit

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan perceraian berlaku dalam kalangan umat Islam dicatatkan setiap 15 minit pada tahun 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama dalam kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia yang disertai 1,200 penjawat awam.

Anggota panel pada seminar itu terdiri daripada pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah, Datuk Dr Fatma Zahrah Mohd Ramadan.

Mashitah berkata, Jakim akan memperbanyakkan lagi program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.

Setakat ini katanya, Jakim menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga.

Dalam perkembangan lain Mashitah berkata, Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai ‘Sidang Parlimen Roh’ selepas kematian pengasasnya, Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lalu.

“Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu,” katanya.

Sinar Harian/-

9.4 juta saman belum dijelas

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail memberitahu sebanyak 9.4 juta saman masih belum dijelaskan pesalah trafik sehingga kelmarin.

Hussin berkata demikian selepas merasmikan perasmian kaunter saman trafik Polis Diraja Malaysia di Pos Malaysia Berhad di pejabat Pos Besar di sini semalam.

Menurutnya, pesalah trafik kini boleh menjelaskan saman di 703 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan untuk orang ramai menyemak serta membuat pembayaran selain daripada 153 kaunter yang sedia ada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), lima di pusat membeli belah dan portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
“Dengan adanya perkhidmatan itu, orang ramai terutamanya penduduk luar bandar tidak perlu untuk ke IPD bagi menjelaskan saman malah boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan pejabat pos yang terdekat.

“Bagi mereka yang ingin membuat bayaran di IPD, polis akan membuka kaunter setiap hari dari jam 8 pagi hingga 10 malam sehingga Khamis depan,” katanya.

Sinar Harian/-

Kempen BN di Merlimau bertentangan slogan 1Malaysia

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau sangat kotor dan bertentangan dengan slogan 1Malaysia yang dilaungkan BN.

Beliau yang kesal dengan beberapa perbuatan khianat termasuk penyebaran risalah fitnah dipercayai dilakukan Umno BN berkata, Umno BN harus bertanggungjawab dalam perkara ini.

"Kempen ini mahu menonjolkan 1Malaysia yang sepatutnya menunjukkan perpaduan dan satu kempen yang bersih.

"Tapi sangat sedih apabila melihat kempen yang sangat kotor. Ada fitnah, dusta, risalah-risalah dan gambar lucah, tuduhan-tuduhan tidak berasas dan siapa yang bertanggungjawab?

"Tentulah Barisan Nasional. Tak boleh lari daripada itu," kata beliau pada sidang media di bilik gerakan DAP, pekan Merlimau dekat sini, petang ini.

Hadir sama ialah calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Merlimau, Yuhaizad Abdullah.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga berkata, Umno harus memberi peluang kepada pengundi-pengundi untuk memilih calon daripada mana-mana parti tanpa menggunakan wang sebagai umpan.

"Siapa menang siapa kalah terpulang kepada pengundi-pengundi.

"Berkempenlah secara bersih dan hormati keputusan rakyat. Tak perlu ada insiden-insiden seperti pecah kereta, pentas DAP cuba dibakar.

"Ini semua tidak patut berlaku dan semua bertentangan dengan slogan 1Malaysia.

"Politik wang sangat jelas dan ini bukan satu pertandingan yang sihat dan sangat dikesali," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi Pakatan Rakyat untuk menang pada PRK ini, beliau berkata, kalah atau menang bukan keutamaan tapi perkara yang lebih penting adalah melihat perubahan yang dilakukan pengundi-pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kita tahu tempat ini memang sukar untuk menang, mungkin tak boleh menang tapi apa yang mustahak dapat sambutan pengundi-pengundi di kawasan ini yang menunjukkan sokongan lebih kuat kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Ujarnya juga, selepas pilihan raya umum 2008, semakin ramai rakyat yang mahukan politik baru.

"Sejak tsunami politik tiga tahun dahulu kita lihat ada perubahan bukan sahaja di negeri Melaka tapi di Malaysia dan apa yang berlaku di Mesir,Tunisia dan Timur Tengah, kita lihat perkembangan politik baru dan rakyat mahu menuntut perubahan termasuk di Malaysia," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

Merempat..? Harga Rumah Mahal!

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MIRI, 3 Mac 2011 – Sering kita diperdengarkan dengan kenyataan keluar dari mulut pemimpin negara seperti dibawah;

"Selaras dengan gagasan 1Malaysia, kerajaan komited dan akan terus memberi keutamaan dalam penyediaan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki atau disewa mengikut keperluan golongan tertentu” – sumber Utusan Malaysia

tetapi amat malang sekali rakyat masih dibebani dengan harga rumah yang mahal dan segelintir masih merempat terbiar di kawasan setinggan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan Dasar Perumahan Negara (DRN) telah digubal dan ianya akan memenuhi keperluan asas rakyat, iaitu tempat tinggal yang selesa dan mampu dimiliki bagi memperkasakan pilihan dan autonomi rakyat.

Menurut beliau, bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan telah mensasarkan pembinaan sebanyak 78,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan penempatan semula setinggan.

Begitu juga dengan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pelaksanaan (DRN) di Sarawak akan memastikan kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti mengikut piawaian ditetapkan untuk kumpulan sasaran.

Menurut beliau, di bawah pelaksanaan (DRN) harga rumah mampu milik negara telah disemak semula dengan harga rumah kelas itu di Semenanjung Malaysia meningkat daripada RM30,000 kepada RM42,000 manakala di Sarawak daripada RM42,000 kepada RM50,000 seunit. Pada masa sama kerajaan akan membina 8,000 unit Rumah Mampu Milik untuk dijual di seluruh negeri dan kedua-dua projek ini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)

Apa yang lebih mengecewakan sekarang ini ialah kerajaan persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPP) telah memperkenalkan Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mampu Milik (RMM), Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) dan sebagainya yang berharga RM40,000 hingga RM80,000 seunit tetapi masih ada lagi segelintir rakyat tidak mampu untuk membeli dan memiliki rumah.

Lain ceritanya pula dengan pemaju perumahan konglomerat seperti Naim Cendera, Miri Housing dan lain-lain di Sarawak ini harga rumah (single & double storey/terrace/corner/intermediate) boleh mencecah sehingga RM150,000 ke RM600,000 seunit dan kebiasaannya harga rumah terus melambung naik secara mendadak dalam tempoh masa kurang setahun dengan alasan pemaju bahawa minyak, harga tanah dan bahan binaan dikatakan telah menaikkan kos binaan.

Keadaan ini boleh mengakibatkan rakyat yang berpendapatan sederhana dan pertengahan tidak mampu membeli rumah idaman mereka.

Kini, trend pembinaan rumah mewah nampaknya semakin tidak terkawal oleh pemaju perumahan. Dengan mencecah setengah atau suku juta ringgit, berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding purata pendapatan isi rumah di Sarawak. Masalah peningkatan melampau nilai hartanah dan rumah kebelakangan ini memang telah lama dirasai dan jika diteliti pemilik rumah-rumah mewah di pinggir Bandaraya Miri khususnya di perumahan Luak, Piasau dan Permyjaya kebanyakan pembeli asing iaitu warganegara Brunei.

Memang tidak dinafikan kehadiran pembeli asing khususnya warganegara Brunei akan memberikan impak positif kepada ekonomi negara atau negeri tetapi ia tidak harus memperjudikan hak dan nasib rakyat tempatan.

Sekarang ini masih ada lagi rakyat berkeluarga miskin, tiada berpendapatan tetap, pendapatan kurang RM1000 sebulan, papa kedana, dengan keadaan rumah yang usang dan dengan keadaan hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang merempat di bumi sendiri.

Apa nasib rakyat, anak cucu kita 10 tahun lagi? Berapakah harga hartanah dan rumah di Sarawak ketika itu nanti? Masihkah ingat kenyataan lawak baru-baru ini oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Alfred Jabu ak Numpang?
“kerajaan negeri sedang berusaha mengeluarkan rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini keluar dari belenggu kemiskinan dengan mendapat pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan bagi satu keluarga dalam tempoh 10 tahun akan datang.” – sumber The Borneo Post

…dan rakyat nak jawab dan tanya balik Tan Sri Alfred Jabu ak Numpang pula…
Apa yang Tan Sri boleh nampak pada nilai wang RM1,200 untuk keluarga pada 10 tahun akan datang??? jika itulah sasaran dungu kamu wahai sang pemimpin; sudah pasti rakyat masih ‘meNUMPANG’ di bumi sendiri…

oleh : masalahrakyat

Pesta rasuah di Kerdau dan Merlimau

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Salah guna kuasa/sogokan/rasuah/pancing/beli undi dan penyelewengan pihak BN mengiringi sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau. Kes-kes berikut telah dicatatkan berlaku menjelang penamaan calon sehingga kempen 2 Mac 2011:

1. Pada Seminar Kecemerlangan Institusi Keluarga di Sekolah Kebangsaan Chenderah di Kampung Chenderah di Merlimau, Rabu (2 Mac) - Mohd Ali, Ketua Menteri Melaka menyogok 70 basikal kepada murid sekolah SK Chenderah (MstarOnline 3 Mac) dengan taktik memancing undi ibu bapa pelajar terbabit.

2. Muhyiddin dalam lawatannya ke DUN Merlimau (1 Mac), memancing undi dengan menjanjikan peruntukan geran pembinaan sekolah agama rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berjumlah RM1.5 juta (Utusan online 3 Mac).

3. Pihak Felda turut membantu BN di PRK Kerdau membeli undi melalui pengumuman bayaran ses di bawah Skim Insentif Tanam Semula yang diberi kepada 433 peneroka dengan bayaran wang insentif RM1,000 sehektar atau bersamaan RM4,000 seorang yang kesemuanya bernilai RM1.8 juta. Majlis membeli undi itu dijadualkan pada Jumaat ini (4 Mac), dua hari menjelang pengundian (Umno online 2 Mac; Utusan online 3 Mac).

4. Umpan untuk beli undi ibu bapa pelajar telah dilakukann oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan memberi sumbangan kepada seramai 34 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu termasuk 29 pelajar dari Sekolah Menengah Dang Anum. Majlis mengumpan itu diadakan di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Jamuan Rakyat DUN Merlimau (dlm. Sinar Haroiana online - http://www.sinarharian.com.my/merlimau/).

5. PAS menerusi Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki telah mengadu secara rasmi kepada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melibatkan penggunaan jentera kerajaan/premis awam pihak BN di Kerdau sebagai tindakan salah guna kuasa dan penggunaan melampau premis Sekolah Rendah Batu Sawar, Padang Awam Teluk Sentang dan Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23 serta Balai Raya Kuala Tekal. Di situ telah didirikan khemah dan menaikkan bendera parti serta aktriviti kempen.

6. Tan Sri Muhyiddin telah berjanji bersifat menyogok 300 seramai ibu bapa merupakan pengundi Dun Kerdau sedia meluluskan pembinaan blok tambahan untuk bengkel kemahiran hidup dan makmal bernilai RM5 juta di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau dan turut mempengaruhi pengundi sebagai pancing undi dengan sanggup dimasukkan cadangan dalam projek Rancangan Malaysia ke-10. Di samping turut berjanji untuk menyiapkan 18 sekolah di parlimen Kuala Krau yang akan diberikan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM1.9 juta (Malaysiakini 1 Mac).

7. Berlaku pengedaran kotak barangan kepada pengundi Cina di Kerdau dan dilihat menyogok dan merasuah pengundi apabila peenerima diarahkan memasang pelekat BN pada rumah masing-masing dan dibuktikan lagi (sogokan dari BN) kerana pada kotak itu ada gambar wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil. Setiap kotak mengandungi nasi, Milo, biskut, susu tepung dan sardin dalam tin (Malaysiakini 28 Februari).

8. Datuk Seri Najib Razak mengumumkan satu nilai sogokan untuk memancing undi berjumlah hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menjelang hari penamaan calon. Pengumuman itu dibuat di dua majlis perjumpaan berasingan di hadapan pengundi di Batu Sawar dan pengundi Cina, India dan Orang Asli di Kampung Baru Kerdau. Sogokan sebanyak RM10 juta itu dalam bentuk sogokan projek mengganti paip bernilai RM9.25 juta, gelanggang serbaguna masyarakat Cina RM400,000, membina kuil Hindu RM100,000, dan Balai Bomba sukarela RM150,000 (Malaysiakini 27 Februari).

9. Kehadiran Mohd Najib dan isterinya Rosmah menaiki helikopter berkempen sebelum penamaan calon di sekitar daerah mengundi Kerdau dan 'kawasan 3+1' – gugusan Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, Felda Jengka 25 dan Felcra Rumpun Makmur dilihat sebagai salah guna kuasa kerana menggunakan wang kerajaan. Helikopter itu tidak dibiayai oleh Umno Kerdau (Malaysiakini 28 Februari).

10. Masjid as-Sujjah Merlimau (premis awam) juga digunakan sebagai pentas menyampaikan kempen oleh pengkuliah antara waktu maghrib-isyak (pada Isnin, 2 Feb). Antara ucapan pengkuliah yang sempat dicatatkan ialah "Yahudi menguasai ekonomi di Amerika Syarikat kerana ia adalah negara mereka, dan di Malaysia, orang Melayu tidak menguasai ekonomi, tetapi sebaliknya mereka menguasai politik. Jadi, anda mesti menyokong parti yang melindungi dan mempertingkatkan martabat Melayu... Saya berharap rakyat akan membuat keputusan yang betul dalam pilihan raya supaya martabat kita dapat dipertahankan." Memahami konteks itu, jelas pengkuliah itu adalah berkempen untuk BN atas masjid (Malaysiakini 2 Mac).

11. Tan Sri Muhyidin mengumumkan akan membina sekolah agama rakyat di Taman Muhibah dekat Masjid as-Sujjah Merlimau berjumlah RM1.5 juta di majlis perjumpaan pegawai agama masjid yang dihadiri sama calon BN Roslan (Berita Harian 2 Mac). Pengumuman itu satu sogokan dan mempengaruhi pengundi dari kalangan pegawai masjid seluruh Dun Merlimau.

12. Satu majlis di SMK Dang Anum, Merlimau (premis awam) pada hari Isnin (28 Februari) Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengeluarkan kenyataan, berikutan pengumuman kenaikan gaji para guru oleh Tan Sri Muhyidin, lalu beliau meminta 311 orang guru di Merlimau dapat membalasnya dengan mengundi BN (Malaysiakini 2 Mac).

13. Agensi kerajaan Pusat, Biro Tata Negara Negara (BTN) turut menyertai kempen pilihan raya kecil Merlimau dengan mengadakan tiga ceramah setiap hari bermula Ahad (27 Mac) lalu. Misinya ialah memburuk-burukkan DAP yang kononnya ‘menentang Islam dan mengancam orang Melayu’ (Malaysiakini 1 Mac).

14. Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari telah membuat laporan SPRM berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbrian di bawah Mohd Ali Rustam melibatkan projek dan dana Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM13.85 juta. Penyelewengan didakwa berlaku dalam kes pembinaan kompleks MAIM dan penyerahan milik lot PT 83 kepada kontraktor dan penjualan lot 106 dan 106 oleh kontraktor terbabit kepada pihak ketiga serta kelewatan jadual pembinaan kompleks yang tidak diambil sebarang tindakan (Berita Harian 2 Mac). Atas kes ini ada isu amalan kronisme, subhat dan semacam melindungi penyelewengan oleh MAIM dan Mohd Ali selaku Ketua Menteri.

15. Mohd Ali Rustam juga diketahui umum oleh para kontraktor yang menyertai tender projek negeri Melaka, sebagai ketua menteri yang mengamalkan kronisme dan rasuah. Mana-mana kontraktor yang ingin mendapatkan projek dan kelulusan tender perlu mendapat surat akuan daripada runnernya dan perlu berjumpanya terlebih dulu, kemudian membuat beberapa komitmen untuk kepentingannya (Laporan menerusi SMS 3 Mac).

Perkara yang sama turut dilaporkan oleh seorang profesor dari salah sebuah universiti di USA yang membuat kajian berkaitan pembangunan negeri Melaka.

Berdasarkan pendekatan BN yang tidak bermoral, tiada integriti dan mencabar amalan demokrasi di PRK Merlimau-Kerdau, maka by hook or by crook BN akan menang!

Ini kerana, pihak pengundi sedia terperangkap dengan segala janji manis, takut dengan ugutan dan terpukau dengan sogokan berjuta-juta ringgit. Itulah pengundi BN.

Harakahdaily/-
Oleh : Wan Nik Wan Yussof .

03 Mac 2011

Tulisan Yusuf Qardhawi sanggah Harussani.

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Berhubung dengan kenyataan dari Mufti Perak, Harussani Zakaria (Gambar), disini kami terbitkan satu petikan daripada kitab Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi mukasurat 222 - 224, cetakan pertama 1998 oleh Maktabah al-Qardhawi.

Petikan ini menunjukkan betapa seriusnya soal memilih pemimpin dan ianya sesuatu ajaran dari Islam. Sebagaimana yang saya tulis dalam Facebook dimana jika masih ada yang berpandangan bahawa mengaitkan undi dengan agama adalah salah maka selayaknya pandangan ini hanya sepatut keluar sari mulut seorang mufti di negara yang mengamalkan ajaran komunis kerana komunis memang menganggap bahawa agama itu adalah bahaya dan candu kepada masyarakat.

Mengundi Adalah Satu Bentuk Daripada Kesaksian

Jika kita melihat kapada sistem-sistem seperti pilihanraya atau pungutan suara, ia pada pandangan Islam adalah satu bentuk kesaksian terhadap kelayakan calon. Oleh itu seorg saksi iaitu adil dan latar belakangnya yang baik seper apa yang di Firmankan Allah yang bermaksud:

"Adakanlah dua saksi yg adil di antara kamu".

- [At-Talaq 65: 2]

Firma Allah lagi yang bermaksud:

"Dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi".

- [Al-Baqarah 2: 282]

Kita boleh meringankan syarat adil dan sifatnya di sini mengikut kesesuaian keadaan yang memungkinkan seramai mungkin rakyat memberikan kesaksiannya. Tidak akan digugurkan hak ini melainkan mereka yg telah disabitkan oleh Mahkamah jenayahnya yang mencemarkan kehormatan atau yang seumpamanya.

Sesiapa yang bersaksi kepada seorang yang tidak soleh bahawa dia adalah yangg soleh, maka sesungguhnya dia telah melakukan satu dosa yang besar iaitu persaksian dusta yangg telah digandingkan oleh Allah dengan dosa syirik menyekutukan Allah sebagaimana firman-Nya yg bermaksud:

Maka jauhilah kekotoran syirik yg disebabkan penyembahan berhala serta jauhilah perkataan yang dusta.

- [Al-Hajj 22: 30]

Sesiapa yg bersaksi kepada seorang calon bahawa dia adalah seorang yang baik dan sesuai untuk sesuatu jawatan hanya disebabkan dia adalah kerabatnya, anak negerinya, atau untuk kepentingan peribadi yang diharapkannya maka dia telah melanggar perintah Allah.

Firman Allah yg bermaksud:

Dan sempurnakan persaksian kerana Allah.

- [At-Talaq 65: 2]

Sesiapa yang meninggalkan kewajipannya dalam pilihanraya sehinggalah calon yg amanah dan sesuai kalah, dan ia dimenangi secara majoriti oleh orang yang tidak mempunyai sifat kuat lagi amanah, maka sesungguhnya dia telah melanggar perintah Allah yang menyuruh memberikan kesaksian sedangkan dia telah dipanggil untuk melakukannya lalu dia menyembunyikan persaksiannya ketika seluruh umat Islam amat memerlukan persaksiannya.

Firman Allah yg bermaksud:

Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila dipanggil menjadi saksi.

- [Al-Baqarah 2: 282]

Firman Allah lagi yg bermaksud:

Dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikan , maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya.

- [Al-Baqarah 2: 283]

Sifat2 dan syarat-syarat sedemikian adalah lebih utama bagi sifat dan syarat seorang calon.

Dengan kita menambah syarat-syarat dan petunjuk-petunjuk tersebut kepada sistem pilihanraya, kita akhirnya akan dapat menukarkannya menjadi satu sistem Islam walaupun pada asalnya ia diambil daripada orang lain.

Muka tak malu ?, Badrul Hisham akan hadir persidangan DUN Selangor

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PELABUHAN KLANG 3 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata, beliau akan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadualkan hujung bulan ini.

Beliau berkata, sebanyak 10 soalan telah dikemukakannya untuk dijawab pada persidangan DUN itu nanti.

Pada 24 Januari lepas, Badrul Hisham dihalang menyertai persidangan khas DUN Selangor berikutan keputusan Speaker Datuk Teng Chang Kim mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong pada 16 Januari lepas dengan alasan ADUN itu gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Namun, pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Badrul Hisham kekal sebagai ADUN dan kerusi Pelabuhan Klang tidak kosong.

21 mengaku tidak bersalah sertai HINDRAF

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seramai 16 lelaki dan lima wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyertai pertubuhan haram iaitu HHINDRAF di Little India Brickfields di sini dua minggu lalu.

Berita Harian/-

Notis pemberhentian 13,000 guru sandaran dibatalkan

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TONGOD: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengumumkan berita gembira untuk 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian tahun lalu bahawa notis itu ditarik balik.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan.

"Saya minta Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di sini.

Beliau mengulas masalah 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak dan terdapat pemintaan termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, agar kontrak mereka ini disambung semula.

Muhyiddin berkata beliau sudah mengeluarkan arahan sejak dua bulan lalu bagi menarik balik surat pemberhentian itu dan mengekalkan khidmat GSTT terbabit.

Katanya, keputusan mengekalkan GSTT adalah bagi memberi mereka peluang menjadi guru yang terlatih.

"Jika mereka hendak diserapkan kepada guru terlatih dan tidak cukup kelayakan, pendekatan yang sesuai diambil adalah memberi mereka peluang mengikuti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan GSTT meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang mata pelajaran pilihan bukan am seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik.

Muhyiddin mengingatkan GSTT supaya bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar bertugas semula di sekolah asal.

"Pengambilan GSTT yang baru jangan diisi dahulu tetapi disemak dahulu dengan Pengarah Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran," katanya.

Berita Harian/-

Kekayaan terkumpul 40 orang terkaya Malaysia meningkat

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SINGAPURA 3 Mac – Kekayaan terkumpul 40 orang paling kaya di Malaysia berjumlah AS$62.1 bilion, meningkat sebanyak AS$11.1 bilion berbanding tahun lepas, demikian menurut senarai kekayaan terbaharu yang disiarkan oleh Forbes Asia.

Forbes Asia dalam satu kenyataan hari ini berkata, gabungan kekayaan itu naik hampir 22 peratus daripada senarai pada 2010.

"Sumber kewangan yang lebih baik itu datang daripada sokongan kekukuhan ekonomi negara yang berkembang 7.2 peratus tahun lepas, kadar tertinggi sejak 2000,” kata Forbes.

Dua tempat teratas pertama masih dipegang oleh Robert Kuok Hock Nien dan Ananda Krishnan.

Robert, 87, menerajui kedudukan pertama sejak 2006 apabila Forbes Asia mula menyenaraikan 40 orang paling kaya di Malaysia.

Kekayaan beliau bernilai AS$12.5 bilion, naik sebanyak setengah bilion daripada tahun lepas.

Sumber terbesar kekayaannya ialah pegangan beliau dalam Wilmar International, syarikat minyak sawit tersenarai terbesar di dunia.

Ananda, 72, berada di kedudukan ke-2 dengan kekayaan bernilai AS$9.5 bilion, naik daripada AS$8.1 bilion tahun lepas Maxis Communications Bhd miliknya merupakan penyedia perkhidmatan telefon selular terbesar di Malaysia.

Baru-baru ini beliau telah menjadikan tiga syarikatnya sebagai syarikat persendirian: syarikat penyiaran satelit Astro All Asia Networks plc, syarikat kuasa dan perjudian Tanjong plc, dan pengendali satelit Measat Global Bhd.

Senarai 10 orang paling kaya Malaysia ialah: 1) Robert Kuok Hock Nien (AS$12.5 bilion); 2) Ananda Krishnan (AS$9.5 bilion); 3) Puan Sri Lee Kim Hua (AS$6.6 bilion); 4) Tan Sri Lee Shin Cheng (AS$5 bilion); 5) Tan Sri Quek Leng Chan (AS$4.8 bilion); 6) Tan Sri Teh Hong Piow (AS$4.7 bilion); 7) Tan Sri Yeoh Tiong Lay (AS$2.7 bilion); 8) Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (AS$2.5 bilion); 9) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (AS$1.25 billion); dan, 10) Tan Sri Tiong Hew King (AS$1.2 bilion).

Utusan Malaysia/-

Gaddafi benarkan siasatan antarabangsa diadakan

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 3 Mac - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menyatakan beliau akan membenarkan satu siasatan antarabangsa diadakan kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membuat keputusan berdasarkan laporan-laporan palsu berhubung keadaan di negara itu.

Bagaimana PBB boleh membuat keputusan berdasarkan 100 peratus laporan palsu,’’ katanya dalam satu ucapan.

Beliau berkata, Libya juga perlu menyiasat kejadian yang berlaku dari al-Bayda sehingga ke Benghazi di mana kedua-dua bandar itu berada di timur negara ini telah jatuh ke tangan pemberontak.

Utusan Malaysia/-

Mayat bayi baru lahir ditemui dalam tren komuter

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KLANG 3 Mac – Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru lahir ditemui ditinggalkan dalam tren komuter yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusop berkata, mayat bayi malang yang masih bertali pusat itu ditemui orang awam kira-kira pukul 8 pagi.

“Mayat bayi ini dibungkus dengan kain dan diletakkan dalam beg plastik sebelum ditinggalkan di dalam tren,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat.

Utusan Malaysia/-

PRK DUN Kerdau: Pengundian pos bermula hari ini

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH 3 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada pukul 10 pagi di Plaza Majlis Perbandaran Temerloh di sini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, sejumlah 50 kertas undi pos dikeluarkan, masing-masing 14 untuk pengundi terdiri daripada anggota polis dan 36 petugas SPR.

"Kita sudah keluarkan semua kertas undi itu, dan proses pengundian bermula pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, SPR menyerahkan kertas-kertas undi anggota polis kepada Pegawai Penyelaras Undi Pos Polis, Cif Insp Mohd Irwan Ismawi Sapawi untuk dibawa ke pusat pengundian polis di Balai Polis Kerdau di sini.

"Semua anggota kita sudah bersedia, dan kami jangkakan ia akan selesai sebelum pukul 5 petang ini,” kata Tarif.

Utusan Malaysia/-

PENDUDUK KAMPUNG PUJUT 7 DIARAHKAN PINDAH SECARA PAKSA

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Baru-baru ini rombongan PAS kawasan Miri telah melawat 7 buah keluarga di Kampung Pujut 7, yang telah diarahkan berpindah oleh pihak berwajib dalam tempoh 60 hari ke suatu tempat yang agak terpencil dan tiada kemudahan asas yang sepatutnya telah disediakan. Kisah sedih komuniti kecil itu, yang tinggal di pinggiran sungai Pujut dan berhampiran Jambatan Permyjaya,

telah beberapa kali dilaporkan dalam akhbar sebelum ini dan dalam berita yang berkaitan setinggan Miri, namun tiada usaha dari pihak berwajib untuk membantu meringankan bebanan mereka untuk memindah barang-barang rumah mereka. Mereka berharap ada bantuan dari pihak yang berwajib tetapi sehinggalah arahan pindah dikeluarkan baru-baru ini tidak ada seorang pun dari wakil pihak berwajib datang menolong menyelesaikan masalah mereka, menurut kata mangsa yang diarah berpindah.

Surat arahan berpindah masih ada di Pejabat Tanah dan Ukur (Land and Survey) Miri. Mereka yang terlibat diarahkan berpindah ke Tanah Lot, Desa Indah di Permyjaya, berhampiran dengan EMart. Namun, apa yang menyedihkan mereka tidak diberi sebarang pampasan perpindahan, malah, tanah penempatan baru mereka juga merupakan tanah hutan berpaya yang masih belum sesuai untuk dijadikan tapak perumahan.

Selain itu, segala kos perpindahan rumah dan pembinaan rumah baru tidak dibantu oleh kerajaan. Segala kerja dan kos mengangkut, barang keperluan rumah, kayu, zink dan papan rumah ditanggung sendiri oleh penduduk yang rata-rata merupakan penduduk berpendapatan rendah dan miskin. Ini amat membebankan mangsa yang terlibat terutama sekali mereka yang ramai keluarga serta kurang pendapatan.

Pada 27 Feb yang lepas, suatu lawatan prihatin oleh YB Firdaus Jaafar, Ahli Parlimen Jerai telah diadakan. YB Firdaus, yang ketika itu sedang dalam lawatan kerja beliau di Miri, telah menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terlibat. Turut hadir dalam lawatan tersebut Yang diPertua PAS Miri Hj Jofri Jaraiee, Pengerusi dan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Saudara John dan penyelaras Seketariat Menuntut HAK Tanah Rakyat (HAK) saudara Arif.

Mangsa yang ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dengan lawatan tersebut. Rombongan menyatakan kesungguhan mereka untuk membantu mangsa dengan membawa kes mereka ke peringkat atasan. PAS dan Pakatan Rakyat Miri sentiasa prihatin tentang masalah rakyat yang kurang berkemampuan serta yang dizalimi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.



PAS Miri

Bankrap: Alasan MB ibarat Pak Pandir

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 3 Mac: Kenyataan Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa Pahang berhutang sejumlah 2.17 billion dengan kerajaan pusat adalah biasa dan sama seperti negeri-negeri lain ibarat alasan 'Pak Pandir', kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Watak dongeng Melayu itu sinonim dengan kenyataan 'bukan anak kita sahaja mati, anak orang lain pun mati juga' kata Tuan Ibrahim, hanya untuk melepaskan diri dari dia dilihat lemah atau bersalah.

Katanya, menteri besar Pahang itu sepatutnya melihat peningkatan hutang tahunan negeri kepada kerajaan pusat telah sampai ke tahap membimbangkan.

"Apa yang mendukacitakan, bilamana anggaran hasil negeri hanya RM532 juta sedangkan belanja mengurus sahaja RM600 juta, pembangunan RM270 juta menjadikan jumlah bajet keseluruhan RM871 juta.

"Ini bermakna lebih dari RM300 juta bergantung kepada hasil pinjaman dari kerajaan Pusat," katanya pada sidang media harian PAS di pusat media PRK Kerdau di sini.

Semalam, Adnan terpaksa menafikan dakwaan PAS bahawa kerajaan negeri hampir bankrap ekoran defisit bajet 13 tahun berturut-turut dan hutang dengan kerajaan pusat makin meningkat.

Beliau berkata, kerajaan negeri hanya defisit dua kali.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah pilihan raya PAS bagi PRK Kedau berkata, kegagalan kerajaan negeri pimpinan Adnan meningkatkan hasil adalah kerana pengurusannya yang lemah dan tidak terkawal.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri sanggup menghabiskan wang negeri bagi membeli nombor plat kereta CCC9 dengan nilai RM48 ribu," katanya.

Lebih pelik ujarnya, inden kenderaan yang sudah dilupuskan masih lagi dibayar dengan jumlah RM11,838 seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Selain itu, tuntutan melampau bagi projek Rumah Rehat Bentong turut dipersoalkan.

"Papan tanda 'Surau' yang harga pasaran RM60 dibayar kepada kontraktor RM542, lampu hiasan ruang tamu yang harganya hanya RM1,500 dibayar kepada kontraktor dengan harga RM38,700," tambahnya.

Sehubungan itu katanya, rakyat harus membuka mata disaat mereka berdepan masalah ekonomi, kerajaan negeri pula melakukan pembaziran.

Katanya, sekarang adalah masa terbaik untuk membuat perubahan memilih calon dari Pakatan Rakyat.

"Pemilihan calon BN pada pilihan raya ini hanya akan meneruskan keadaan selepas 12 kali pilihan raya umum, inilah hasilnya.

"Rakyat perlu memilih wakil rakyat yang akan mengangkat isu-isu ini kepada kerajaan negeri," katanya.

Petugas BN menyamar ahli PAS

Menyentuh suasana kempen yang masuk hari kelima, beliau mendakwa mendapat maklumat seramai 200 petugas BN menyamar sebagai ahli PAS.

Mereka ini katanya, bergerak bertemu pengundi dan cuba menimbulkan provokasi.

Beberapa kain rentang bersifat provokasi juga telah ditemui dipasang di merata tempat, dan beliau memaklumkan laporan polis akan dibuat hari ini.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang banner dan bendera kempen yang dipasang petugas PAS.

Insiden itu katanya berlaku sejak awal kempen dan terbaru awal pagi tadi.

"Sehingga kini sebanyak 16 kain rentang dan berpuluh bendera hilanh dan enam kain rentang lagi baru hilang pagi ini.

"Saya menyeru kepada kanak-kanak nakal ini untuk menghentikan tindakan ini," nasihatnya.

Insiden itu didakwa berlaku di beberapa tempat termasuk Desa Murni, Kampung Ketam dan Kuala Tekal.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah.

Pemimpin PR Tegakkan Keadilan, Bukan Jaja Politik Murahan

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 3 MAC : Pakatan Rakyat menentang Barisan Nasional kerana mahu menegakkan pemerintahan yang bersih dan tuntas kepada keluhuran undang-undang, dan bukan untuk mencetuskan serangan peribadi semata-mata, kata Penasihat DAP Lim Kit siang.

Justeru beliau menolak tanggapan Umno bahawa parti-parti Pakatan Rakyat mencalar sistem demokrasi apabila mendedahkan pelbagai kepincangan dalam pemerintahan Umno-BN.

“Kita tidak memusuhi parti atau rakyat tetapi individu atau pemimpin yang melakukan penyelewengan dan menyalahgunakan kuasa. Itu harus dibezakan.

Kit Siang menolak bahawa permusuhan politik antara Pakatan dan Umno-BN memberi kesan buruk kepada rakyat.

Beliau bersetuju dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan gagasan pembangkang itu menentang Umno-BN atas soal-soal prinsip dan
kepentingan awam demi membawa kebaikan kepada rakyat.

“Saya rasa itu satu trend yang tidak sihat. Kita mahu berikan satu demokrasi yang sihat, tulen dan bersih. Dakwaan yang tidak bersih mengotori politik yang sepatutnya memberi perkhidmatan kepada rakyat dan negara," tegas Kit Siang.

Anwar dalam siri ceramahnya di Merlimau kelmarin menegaskan beliau tidak pernah bermusuh dengan ahli Umno atas dasar peribadi.

Sebaliknya, apa yang ditentang ialah sikap pemimpin zalim Umno dan budaya rasuah yang masih menebal dalam parti itu.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menegaskan, PAS senantiasa berpegang teguh kepada asas perjuangannya dan tidak berpolitik untuk mencari musuh semata-mata.

“Inilah prinsip yang telah PAS laksanakan dalam sejarah perjuangan kita sejak kali pertama PAS ditubuhkan dan kita memang tidak pernah mencipta permusuhan dari segi peribadi tetapi apa yang kita perjuangkan adalah ketidakadilan dan dasar-dasar perjuangan Islam dan prinsip-prinsip kemanusian. Itu yang sebenarnya perkara yang kita bertentangan dengan mereka," jelas beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perjuangan Pakatan Rakyat berpaksi kepada agenda untuk menegakkan
pemerintahan adil dan saksama.

“Pakatan jelas tidak pernah bermusuh dengan Umno sebagai parti tetapi kita memusuhi penyelewengan, penipuan dan kezaliman yang dibuat pimpinan tertentu dalam Umno. Benda ini bukan perkara baru, kita sudah tegaskan berkali-kali, termasuk Datuk Anwar sendiri,"katanya.

Nik Nazmi berkata, realiti politik semasa adalah ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya dari Parti Keadilan Rakyat menjadi sasaran Umno dengan menggunakan pelbagai taktik kotor demi menghakis kekuatan pembangkang.

“Umno ini hidup dengan menggunakan khidmat pelacur-pelacur politik di mana mereka dibayar dan diberi ganjaran dan kepentingan dengan tujuan menyerang kembali dengan menabur fitnah kepada Keadilan dan Pakatan. Jadi pada pendapat saya itu merupakan amalan yang kolot, kotor dan tidak sihat. Tetapi ia menjadi amalan mereka,"katanya.

Tv Selangor/-


Empat Sifat Orang Mukmin Sidiq, Amanah , Tabilq dan Fatanah.

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Oleh : Abu Basyer

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap orang mukmin yang ingin menjadi para daie yang istiqamah perlulah mewarisi sifat para Nabi dan Rasul iaitu siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa kita tidak mampu mewarisi sepenuhnya sifat-sifat yang mulia ini kerana para Nabi dan Rasul bersifat maksum, tetapi sebagai asas akhlak yang mulia perlulah empat sifat ini menjadi pakaian dan perhiasan untuk para daie yang mukmin, yang berhasrat menjadi pewaris para nabi untuk menegakkan risalah Allah S.W.T.

Perwatakan seorang mukmin mestilah dihiasi dengan sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana juga diharumi dengan sifat mengasihi dan menyayangi serta sentiasa mengalirkan kegembiraan dalam perhubungan, menjadikan akhlaknya sentiasa menjadi ikutan masyarakat.

Dalam dirinya tercantum segala sifat-sifat mahmudah yang sejati. Pada waktu siangnya bekerja keras untuk mencari nafkah untuk keluarga dan pada masa yang sama menyampaikan mesej dakwah dan tarbiah kepada masyarakat. Di waktu malamnya solat tahajud, berdoa dan bermunajat sehingga menitiskan air mata penyesalan mengadap Tuhan Rabbul Jalil.

Sahabat yang dikasihi,

Di sini akan difokuskan kepada empat sifat dasar yang merupakan sifat yang perlu ada pada setiap orang mukmin yang menjadi pemimpin umat. Sifat-sifat tersebut adalah siddiq, amanah, fatanah dan tabligh. Apabila sifat sifat ini lahir dalam kehidupan maka ianya akan menjadi contoh kepada umat Islam lain yang mengharapkan keredaan Allah S.W.T.

Sifat-sifat tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Siddiq (Benar)

Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.

Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain.

Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as -Siddiq.

DariAbdullah bin Masud, Nabi S.A.W. bersabda bermaksud :

"Sesungguhnya siddiq (benar) itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan,dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

"Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama)Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar."(Surahal-Ahzab ayat 35).

Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.

Seorang mukmin akan sentiasa berkata benar tidak berbohong, mungkir janji dan lidahnya tidak suka mengumpat dan memfitah orang lain walaupun terhadap orang fasik yang menghina dan menyerang peribadinya. Setiap nasihat dan tunjuk ajarnya membuatkan seseorang tertarik untuk mendekatkan diri dengan Islam kerana tuturkata yang lemah lembut dan penuh hikmah.

Kedua : Amanah

Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan 'curi tulang', tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.

Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik. Oleh kerana sifat amanah suduh hilang atau berkurangan maka kesan daripadanya menyebabkan hutang negara bertambah kerana membazirkan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bangkrap akibatnya negara terpaksa menanggung hutang yang besar. Selain daripada itu kesan sifat tidak amanah ini juga maka kadar jenayah semakin meningkat kerana tidak ada amanah diperingkat penguasaan undang-undang.

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :

"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya. "

(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Ketiga : Tabligh

Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 67 yang bermaksud : ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya(dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. ”

Walaupun ayat ini arahan Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul pilihan-Nya untuk menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T., tetapi sebagai hamba Allah S.W.T. dan umat Nabi S.A.W. kita juga berkawajipan untuk menyambung perjuangan Nabi S.A.W. iaitu berdakwah dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia seluruhnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran ayat Ayat 104)

Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas)

Sifat keempat ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara lansung akan selalu terlibat dalam perbincanagan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam.

Kita dapati ada dikalangan para pendakwah yang cuba menyampaikan Islam dengan cara yang keras dan kurang hikmah hingga menyebabkan orang yang bukan Islam menganggap Islam itu ekstrim dan agama yang tidak ada toleransi. Ada setengahnya pula menyerang peribadi-peribadi tertentu untuk menjadi bahan ketawa. Perlulah diingatkan cara berdakwah yang berkesan adalah tidak mendedakkan keaiban seseorang dan berdakwah dengan cara lemah lembut dan penuh hikmah kerana inilah cara dakwah Rasulullah S.A.W. , betapa ramai orang kafir yang memusuhi Nabi S.A.W. tetapi akhirnya memeluk Islam kerana melihat ketinggian akhlak dan peribadai baginda.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah kita sama-sama mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang memiliki sifat siddiq, amanah, tabliq dan fatanah. Sifat yang mulia ini adalah sifat yang wajib dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Jika kita mempunyai sifat-sifat yang mulia ini barulah kita layak mendapat syafaat Rasulullah S.A.W dan termasuk dikalangan hamba yang dirahmati Allah S.W.T. dan akan layak memasuki syurga-Nya.

SUDAH LAMA PEMIMPIN UMNO KHIANATI BANGSA MELAYU.

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyatakan bahawa Pemimpin-pemimpin Umno merasakan hak istimewa orang Melayu tergugat tidak lain tidak bukan kerana bimbang kedudukan dan kuasa mereka tergugat disebabkan orang Melayu mula meninggalkan perjuangan Umno di samping kaum lain sudah tentu menjauhi perjuangan Barisan Nasional.

Menurut beliau, pemimpin tertinggi Umno mahu memecahbelahkan orang Melayu dengan alasan kaum Melayu semakin lemah dan hak istimewa orang Melayu akan tergugat jika Umno-BN kalah dalam pilihanraya akan datang. Dengan kata lain, Umno cuba mengugut orang Melayu agar tidak menolak Umno-BN dalam pilihanraya jika tidak mahu hak mereka hilang kepada kaum lain.

Beliau menyatakan , seluruh rakyat Malaysia mengetahui bahawa Umno tidak terlepas daripada isu perkauman. Kononnya umno sebagai penyelamat kaum Melayu, akan tetapi reality sebenar pemimpin umno yang telah menggadaikan keistimewaan bangsa melayu di Malaysia selama ini.

Memetik ucapan beliau “ Yang merosakkan Melayu sejak merdeka dulu adalah Umno. sudah 53 tahun merdeka, Melayu makin lama makin terpinggir,nasib orang melayu semakin tidak terbela, bukankah selama ini umno yang uruskan pentadbiran Negara?. Jadi siapa yang rosakkan Melayu sejak dari dulu kalau bukan Umno yang mengkhianati kaum sendiri?” umno salah guna kuasa selama ini, habis tanah rizab orang melayu digadaikan, hak keistimewaan orang melayu dihakis , bahasa melayu diketepikan”

“ Pemimpin umno juga mengamalkan prinsip rompak hasil mahsul negeri dan kemudian mengagihkan kepada kroni-kroni umno yang menjadi budaya Umno-Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun”

Selain itu beliau juga menyatakan, Islam tidak menyuruh kita anti kepada mana-mana kaum dalam negara ini atau dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Tetapi, Islam menekankan aspek keadilan sejagat untuk semua.

Justeru beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bangkit menghalang kezaliman yang selama ini dilakukan oleh umno kepada rakyat Malaysia,matlamat terdekat kita untuk memenangi PRU 13 ini dan banyak bukti umno telah gadaikan bangsa melayu demi kepentingan peribadi pemimpin mereka dan PAS bersama Pakatan Rakyat akan dedahkan sebanyak mungkin bukti-butki kezaliman yang dilakukan oleh umno selama ini kepada rakyat.

ustazabubakar.worpress.com


Mana pergi 1.3 juta hektar tanah rezab Melayu?

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 3 Mac : "Usah cakap banyak lagi.. Umno kena perjelaskan ke mana hilangnya tanah rezab melayu yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris sebelum berbicara tentang Umno pembela Melayu, " kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Anak Bukit, Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau yang berucap di majlis Karnival Penang Harmoni di Dewan Melinium, Kepala Batas malam tadi turut meletakan kesalahan tersebut di tangan Umno yang kononnya menjadi nadi perjuangan orang Melayu tetapi sebenarnya pengkhianat.

Selepas penjajah pergi, orang Melayu mempunyai 3 juta hektar tanah rezab melayu di seluruh Malaysia tetapi kenapa pada tahun 1995 ia berkurangan mendadak sehingga 1.7 juta hektar.

Kejadian itu sampai kini masih tidak dijawab oleh kepimpinan Umno sejak dulu sehingga sekarang, dakwa beliau.

Mereka bimbang jika diberikan jawapan secara ikhlas dan jujur maka tidak mustahil rakyat Melayu akan marah dan tidak lagi bergantung pada parti perkauman itu lagi.

"Jangan biarkan lagi Umno berkuasa kerana tanah milik melayu sendiri tergadai apatah lagi dulunya mereka asyik menang dan ingat kemenangan itu boleh menyembunyikan penyelewengan yang dilakukan, " tegasnya.

Sambungnya, itu di tahun 1995 kini tahun 2011 tentunya terus berkurangan ekoran kerakusan kepimpinan Umno melakukan pembangunan yang yang berat sebelah.

Sepatutnya mereka mengantikan tanah yang melibatkan tanah rezab Melayu bukan terus ambil dan mengaut keuntungan peribadi.

Umno bertanggungjawab memberikan penjelasan kenapa terjadi kehilangan 1.3 juta tanah rezab Melayu di waktu mereka berkuasa penuh terhadap pembangunan di setiap negeri, tegasnya.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said .

Sertai PAS: Umno Kuala Krau tolak menolak

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 3 Mac: Ketua Pemuda Umno Kuala Krau, Wan Salman Wan Ismail menafikan bekas Ketua Umno cawangan Jengka 25, Muzamil Mualif dan 11 ahli lain menyertai PAS namun beliau meminta meminta penjelasan lanjut dari Ketua Penerangannya pula.

“Kita (Umno) telah berhubung dengan Muzamil dan beliau tidak menyertai PAS,” katanya ketika dihubungi hari ini oleh laman web Free Malaysia Today (FMT).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemasukan bekas ketua Umno Jengka 25 ke dalam parti Islam itu malam semalam.

Muzamil bersama 11 ahli Umno cawangan berkenaan (gambar) telah menyerahkan borang penyertaan tersebut kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di rumahnya.

Wan Salman, bagaimanapun, enggan mengulas apabila diberitahu ada gambar yang menunjukkan Muzamil menyerahkan borang keahlian PAS kepada Abdul Hadi. Sebaliknya beliau mahu wartawan mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Penerangan Umno bahagian Kuala Krau, Datuk Mohamed Jaafar.

Bagaimanapun, usaha menghubungi Mohamed tidak berjaya. Seorang lagi ahli jawatankuasa Umno Kuala Krau, Mohd Ali Hanafiah Ahmad ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu perkara tersebut.

Selasa lalu, seramai 12 ahli Umno dari Felda Jengka 25 bertindak keluar parti untuk menyertai PAS.

Ahli-ahli Umno termasuk bekas Ketua Cawangan Umno Jengka Jengka 25, Muzamil Mualif menyertai PAS selepas dua hari Perdana Menteri mengadakan lawatan ke situ dengan mengumumkan projek pembangunan berjumlah jutaan ringgit.

Ahli-ahli Umno itu dikatakan kecewa dengan Najib ketika berkunjung ke Jengka yang disifatkan tidak serius mahu membantu masyarakat peneroka.

Satu majlis penyerahan borang keahlian PAS telah diadakan sempena kemasukan tersebut di rumah bekas Ketua Cawangan Umno itu sendiri, Muzammil Alif yang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Muzammil merupakan pengasas Umno di Jengka 25 dan menjawat jawatan ketua cawangan di situ selama 15 tahun.

Beliau juga merupakan pembantu kepada bekas Adun Sanggang, Allahyarham Datuk Abdullah Kia.

Harakahdaily/-

Umi Hafilda hanya tentera upahan - Halim

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN, 3 Mac: Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Dun Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyifatkan Ummi Hafilda sebagai askar upahan Umno BN untuk membantu kempen mereka.

Abdul Halim (gambar) tidak menolak kemungkinan Ummi dibayar Umno BN untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR.

"Dia ini dipanggil macam askar upahan, saya lebih percaya dia dibayar.

"Saya sifatkan Ummi Hafilda ini sebagai askar upahan," kata beliau pada sidang media di markas induk PAS, di sini hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa bagaimanapun berkata, Ummi digunakan pada waktu yang tidak tepat dan tidak memberikan impak yang besar kepada pada PRK di Merlimau ini.

Katanya, PRK ini melibatkan calon PAS dan BN, tiada kena mengena dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali yang sedang difitnah Ummi.

"Ini pilihan raya kecil, saya nasihatkan Ummi Hafilda kalau nak impak yang lebih besar di pilihan raya umum, Anwar tak bertanding sini, apa kena mengena dengan Anwarnya?

"Ini politik kotor yang digunakan Umno untuk mempengaruhi pengundi. Ini pilihan raya kecil antara calon dengan calon, ia tak tumbangkan kerajaan (negeri).

"Tiada kaitan pun dengan Azmin, ini adalah kempen yang kebudak-budakan, ia juga tak beri kesan pun pada kita," katanya.

Tambahnya, Umno BN harus mengetengahkan isu tempatan yang melibatkan kebajikan rakyat daripada membawa isu yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Bukan isu pun, di sini isu tempatan banyak...Ummi Hafilda (gambar) ini, kes sedang bicara di mahkamah buat apa dia bangkitkan.

"Sebab itu saya kata tak berapa masak cara politik Ummi Hafilda, mesti ada orang guna dia.

"Saya nasihat kalau nak guna, guna di pilihan raya umumlah bukan pilihan raya kecil...tiada kesan.

"Ini adalah satu taktik yang tidak masak dalam pilihan raya kecil, kalau kita buka rasuah kerajaan Melaka dan tak ada intergriti ketua menteri itu ada kesan.

"Datuk Seri Anwar sekarang sedang dibicara, jadi kita serah kepada mahkamah sahaja, tak tahu kalau Ummi Hafilda ini nak jadi hakim saya tak tahulah," sindir beliau.

Malam tadi, Ummi Hafilda menyampaikan ceramah dengan membawa fitnah yang sama mengenai Anwar dan Azmin di Kampung Chinchin, dekat sini.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

CAP Dakwa Harga Makanan Lonjak Sehingga 167 Peratus

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN 3 MAC : Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendakwa harga pelbagai makanan telah melonjak antara 20 peratus hingga 167 peratus sejak bulan lalu akibat kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata peningkatan harga makanan itu telah menyebabkan kesukaran yang amat sangat kepada kehidupan pengguna.

"Satu hidangan sayuran yang dijual pada harga 60 sen enam bulan yang lepas, kini dijual pada harga 80 sen hingga RM1.00 setiap hidangan, peningkatan 25 peratus hingga 66 peratus; udang (saiz sederhana) daripada RM1.50 hingga RM4.00 setiap satu, peningkatan 167 peratus," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut SM Mohamed, pengusaha restoran dan pemilik gerai makanan yang ditemubual oleh pegawai CAP, berkata kenaikan harga makanan dan minuman ringan adalah akibat daripada kenaikan harga barangan keperluan yang diimport seperti bawang, bawang putih, kacang dal dan rempah; ayam, daging, daging kambing, ikan, udang, sayuran, tepung beras, telur, susu pekat manis, biji kopi, serbuk teh daripada antara 20 peratus sehingga 200 peratus serta peningkatan dalam harga gas dan bahan api.

Katanya kajian yang dijalankan sekitar gerai-gerai di Pulau Pinang itu mendapati kenaikan bukan sahaja membabitkan kedai makanan orang Islam tetapi juga menjejaskan makanan orang Cina dan India.

"Harga char koay teow di gerai makanan Cina menunjukkan peningkatan 50 peratus daripada RM3.00 kepada RM4.50 sepinggan.

"Barangan makanan lain seperti moey daging atau bubur meningkat daripada RM3.50 kepada RM4.50; mee udang daripada RM4.50 kepada RM5.50; mee tomyam RM4.00 kepada RM4.50; nasi goreng daripada RM3.50 kepada RM4.00," katanya.

Menurut beliau bagi makan India pula, harga tosai yang dijual RM1.00 setiap satu kini meningkat RM1.20, peningkatan 20 peratus harga roti canai dan nasi lemak masih sama tetapi kandungannya telah dikurangkan.

"Harga kopi dan teh telah meningkat daripada 80 sen kepada RM1.00 hingga RM1.10 segelas; Nescafe, Horlicks dan Milo meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.30 segelas; minuman tin dan jus segar pula meningkat daripada RM1.50 kepada RM2.00, peningkatan 33 peratus.

"Di sesetengah tempat ais kosong telah meningkat daripada 20 sen kepada 40 sen segelas iaitu peningkatan 100 peratus," katanya.

Presiden CAP itu berkata memandangkan kenaikan kos, bayaran bagi perkhidmatan lain seperti pembaikan paip, elektrik, bengkel kereta, membaiki motosikal juga telah meningkat bayarannya daripada antara 20 peratus kepada 30 peratusdalam tempoh lebih enam bulan lalu.

Sehubungan itu, SM Mohamed menggesa kerajaan mempertimbangkan perkara ini dengan serius bagi mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kenaikan kos.

"Pengguna (perlu) berhati-hati dalam berbelanja dan untuk meminimumkan makan di luar dan jika mereka tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa makan di luar, maka pilihlah kedai yang mengenakan harga yang berpatutan.

"CAP juga menggesa peniaga supaya memainkan peranan mereka dalam membantu situasi kenaikan harga dengan mengurangkan pengambilan keuntungan bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan," katanya.

-Malaysiakini

"Dewa Puisi" Li Bai (7)

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Bandar Jinling sudah kehilangan suasana sebagai hab politik kebangsaan yang bercorak imperialis, menurut pandangan Li Bai. Ketika mengunjungi bandar itu, Li Bai mendapat layanan yang ramah dari rakyat tempatan. Pada saat makan jamuan perpisahan, ada penyanyi perempuan yang cantik diatur menemani Li Bai, sedangkan kawan-kawannya seorang demi seorang mengangkat cawan untuk minum arak dengannya sambil menyuarakan kata-kata berdoa. Kesemua layanan yang disediakan dalam suasana mesra itu memang sukar dilupakan oleh Li Bai.

Selepas meninggalkan bandar Jinjing, Li Bai memilih meneruskan perjelajahannya ke bandar Yangzhou melalui sungai Yangtze. Yangzhou merupakan satu bandar antarabangsa yang makmur ketika itu. Li Bai belum pernah melihat pemandangan bandar yang begitu makmur lagi riuh rendah. Beliau turut memutuskan bersama dengan kawannya menginap di sana lebih lama sedikit sehingga tibanya musim panas. Mereka bersiar-siar di bandar itu dengan menikmati pemandangan alam yang indah sebebas-bebasnya.

Setelah tiba musim gugur, Li Bai jatuh sakit di Huannan (satu tempat yang dibawah pentadbiran Yangzhou). Beliau berasa agak gelisah kerana terpaksa menerima rawatan di tempat yang jauh dari kampung halamannya, malah menghadapi harapan yang tipis bagi menubuhkan kerjayanya. Yang boleh membantu Li Bai meringankan penderitaannya dalam merindu kampung halamannya ketika itu hanyalah surat-surat sahaja yang dikirim dari kawan-kawannya.

Setelah sembuh di Huannan, Li Bai memutuskan menjelajah ke Gusu. Raja Fucai dari Negeri Wu, dan gundik yang paling dimanjakannya, Xisi, yang diikhtiraf sebagai seorang dari empat jelitawan yang paling tersohor dalam sejarah purba China, pernah makan, minum dan nonton secara semewah-mewahnya tanpa mengira malam atau siang harinya di sana.

Ketika mengenang kembali sejarah silam itu, Li Bai menghasilkan sebuah puisi yang bertajuk "Wu Qi Qu" yang berorientasikan rumusan terhadap sejarah. Puisi itu kemudiannya mendapat pujian tinggi dari He Zhizhang, seorang penyajak yang tersohor yang lebih senior daripada Li Bai ketika itu. Beliau menyifatkan karya ciptaan Li Bai tersebut "mampu mengharukan dewa-dewi."

Ini mencerminkan bahawa Li Bai ketika meneruskan penggunaan tajuk yang konvensional dalam menghasilkan sejumlah puisi untuk kegunaan Jabatan Muzik Diraja, tidak lupa menambah isi kandungan yang segar dalam karya-karya seumpama itu. Li Bai bukan sahaja berminat mengimbas kembali cerita-cerita yang romantik yang berlaku di Gusu pada zaman purba, tetapi juga berminat menikmati pemandangan yang indah di situ yang tentulah tidak lepas dari gadis-gadis tempatan yang cantik. Ketika mengunjungi Gunung Niaoluo yang pernah menyaksikan Xisi mencuci pakaiannya yang dibuat dari kain kasa, Li Bai tidak lupa menghasilkan puisi-puisi yang menggambarkan kehidupan gadis-gadis tempatan yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Selepas itu, Li Bai memutuskan menamatkan penjelajahannya di bahagian timur dan pulang kampung dengan berjalan menuju ke barat. Setelah tiba di Jingmen, bandar yang pertama yang beliau singgah setelah memulakan penjelajahan sebelum itu, Li Bai berasa malu jika terus pulang kampung kerana masih belum mencapai apa-apa pun jasa atau kemajuan dalam merealisasikan cita-citanya. Dihantui rasa ragu-ragu, Li Bai sedar tak sedar sudah tinggal di Jingmen selama tiga bulan. Akhirnya, beliau memutuskan untuk memulakan semula penjelajahannya, tak kira diseksa oleh rasa rindu terhadap kampung halamannya.

Kali ini, Li Bai terlebih dahulu bertolak ke pinggir Tasik Dongting di mana dikebumikan bangkai Wu Zhinan, rakan akrabnya, untuk memindahkan bangkai itu ke Jiangxia (Bandar Wuchang, Provinsi Hubei sekarang).

CRI/-