KOTA BHARU, 18 Mei: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin telah mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan hari ini.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyambut kedatangannya bersama 10 orang deligasi lain kira-kira pukul 12.30 tengahari tadi di kediaman rasmi JKR 10, di sini.
Turut hadir dalam majlis makan tengahari itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasharuddin Daud, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun dan lain-lain pimpinan.
Nizar dalam rangka lawatan kerjanya turut ditemani Pengerusi Jawatankusa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, Chen Fook Chye, Adun Selising, Husin Din, Adun Semanggul, Ramli Husin, Setiausaha Politik dan akhbarnya, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Anuar Hashim.
Dalam rangka lawatan selama empat jam ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Nizar turut diraikan pada majlis makan tengahari bersama Anggota Exco kerajaan negeri dan Adun sebelum mengadakan pertemuan rasmi dengan Tuan Guru di pejabatnya.S
Selepas itu, beliau turut menghadiri majlis pertemuan rasmi dengan anggota exco kerajaan negeri dan Adun yang diadakan di Bilik Gerakan Suk.
Kehadiran Nizar buat pertama kali ke negeri itu, menjadi perhatian para media termasuk RTM, tv3, tv9 untuk membuat liputan.
Nizar ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaannya yang baru dibentuk lebih dua bulan itu akan mengutamakan konsep kebajikan dan amanah sebagaimana yang diingini rakyat.
Menurutnya, selama itu rakyat Perak dan seluruhnya begitu ‘haus’ dengan kebajikan dan amanah dari kerajaan baru.
“Untuk kita, pihak kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk memikul amanah itu sebaiknya dan akan melaksanakan konsep kebajikan dan beramanah sebagaimana yang rakyat inginkan.
“Dalam masa yang sama, Perak memerlukan sokongan semua pihak termasuk rakyat seluruhnya mendoakan kesejahteraan kerajaan kita agar sentiasa berada di bawah lindungan Allah,”ujarnya.
Tegasnya lagi, kerajaan Perak juga akan menjadikan Kelantan sebagai model dalam semua hal termasuk pentadbiran memandangkan kejayaan negeri itu telah menerajui perubahan sejak 18 tahun lalu.
Turut berucap pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob.
Sumber: http://siasahdaily.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan