12 Oktober 2008

Kadar Faedah Bank Diturunkan untuk Kekalkan Pertumbuhan Ekonomi China

Bank Rakyat China menyertai tindakan menurunkan kadar faedah yang diambil oleh bank pusat pelbagai negara di dunia semalam, dengan menurunkan kadar faedah simpanan dan pinjaman sebanyak 0.27%, manakala nisbah rizab simpanan diturunkan sebanyak 0.5%. Pakar ekonomi China berpendapat bahawa tindakan tersebut bertujuan menjaga trend pertumbuhan ekonomi China, di samping membuktikan kesediaan China untuk menangani krisis kewangan global yang berlaku sekarang bersama-sama dengan negara lain.

Keenam-enam bank pusat terbesar di dunia, termasuk Rizab Persekutuan A.S. dan Bank Eropah masing-masing menurunkan kadar faedah secara besar-besaran semalam untuk mengurangkan beban yang dibawa oleh krisis kewangan kepada ekonomi sejagat. Walaupun sistem kewangan ekonomi China masih belum dipengaruhi oleh pergolakan sejagat, tetapi sektor pengeksportan terjejas oleh kekurangan permintaan pasaran luar. Dengan itu, maka perkembangan ekonomi China juga berdepan dengan kesan negatifnya.

Naib Ketua Institut Kewangan Universiti Ekonomi dan Perdagangan Luar China, Encik Ding Zhijie menyatakan bahawa dengan keadaan sekarang, Bank Rakyat China mengambil tindakan selaras dengan bank utama yang lain di dunia khususnya untuk menggalakkan peredaran mata wang, mengurangkan kos pengumpulan dana bagi syarikat dan menjaga trend pertumbuhan ekonomi. Beliau berkata:

"Penurunan kadar faedah pinjaman menguntungkan syarikat kerana dapat mengurangkan kos pengumpulan dana, manakala penurunan nisbah rizab simpanan pula baik untuk memastikan syarikat memperolehi modal yang diperlukan. Tindakan tersebut membantu usaha pembaikan pengurusan syarikat pada masa depan dan menambah semula keuntungan syarikat yang sering menurun sejak awal tahun ini."

Penurunan kadar faedah yang dilaksanakan oleh China sebelum ini tidak sampai sebulan lamanya. Hal ini menggambarkan kebimbangan kerajaan China terhadap tekanan inflasi berkurangan. Bidang utama dalam dasar mata wang pula beralih kepada "memastikan pertumbuhan ekonomi". Beberapa tahun yang lalu, Bank Rakyat China pernah menaikkan kadar faedah beberapa kali secara berturut-turut untuk mencegah pertumbuhan ekonomi yang terlalu pesat dan mengurangkan tekanan inflasi.

Pakar yang berkenaan menyatakan bahawa sejak tahun ini, harga barang penggunaan penduduk China terus menurun, tekanan inflasi semakin ringan dan harga barang di pasaran antarabangsa turut menurun. Maka, penurunan kadar faedah kali ini tidak akan menyebabkan kenaikan semula harga barang.

Bank Pusat China juga mengumumkan akan menghapuskan cukai faedah wang simpanan untuk sementara. Tindakan ini akan mengimbangi kerugian faedah pelanggan daripada penurunan kadar faedah simpanan.

Profesor Zhao Xijun daripada Institut Kewangan dan Sekuriti Universiti Rakyat China menyatakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan China itu bukan sahaja bermanfaat bagi memastikan penduduk mendapat faedah daripada wang simpanan, bahkan akan menggalakkan penggunaan dalaman China. Beliau berkata:

"Kerajaan menurunkan kadar faedah simpanan sebenarnya adalah untuk merangsang penggunaan, dan pertambahan penggunaan tentu akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan mantap dan pesat."

Berdepan dengan krisis kewangan sejagat, jurucakap Bank Rakyat China pernah menyatakan bahawa China bersedia meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dengan A.S.. China juga berharap negara-negara lain berusaha bersama-sama mengatasi kesukaran ini dan memastikan kestabilan pasaran kewangan global. Penyelidik daripada Institut Kewangan Akademi Sains dan Sosial China, Yi Xianrong berkata:

"Kerajaan China mengambil tindakan tersebut dengan tujuan untuk menyelaraskan pendirian dengan pelbagai negara lain demi mencegah krisis kewangan menjadi semakin runcing dan menstabilkan pasaran kewangan sejagat."