20 Oktober 2008

Keselamatan bahan makanan dunia hadapi cabaran baru

Hari ini merupakan Hari Makanan Sedunia ke-28. Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) menetapkan "Keselamatan Bahan Makanan Dunia: Cabaran Berikutan Perubahan Iklim dan Penggunaan Biotenaga" sebagai tema hari makanan tahun ini dengan harapan agar orang ramai memberikan perhatian yang lebih besar terhadap kedua-dua cabaran ini.

Perubahan iklim telah memberikan kesan yang besar kepada kehidupan harian setiap orang di dunia ini, terutamanya kaum tani, nelayan serta golongan yang mencari rezeki dari hutan. Cuaca yang melampau akibat perubahan iklim, seperti banjir dan kemarau, akan menjejaskan pengeluaran makanan, dan membawa cabaran terhadap keselamatan bahan makanan sedunia. Pihak FAO berpendapat bahawa aktiviti pertanian memainkan dwiperanan dalam proses perubahan iklim. Ia boleh mengakibatkan perubahan iklim menerusi pelepasan gas rumah hijau. Di samping itu, ia juga menjadi penyumbang kepada pengurangan pelepasan gas ini. Berdasarkan statistik FAO, jumlah pelepasan gas rumah hijau berikutan aktiviti pertanian dan penebangan hutan mencapai lebih 30% daripada jumlah keseluruhan pelepasan gas ini di dunia. Namun, jika kita menggunakan cara pengeluaran yang lebih mesra alam, seperti mengurangkan penebangan hutan, meningkatkan perlindungan terhadap kawasan hutan, dan mengawal aktiviti ternakan di padang ragut, maka kita boleh membekalkan makanan yang lebih daripada mencukupi.

Beberapa tahun kebelakangan ini, industri biotenaga di seluruh dunia telah berkembang dengan pesat. Biotenaga ini digunakan sebagai satu kaedah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Keadaan ini mengundang satu lagi cabaran kepada keselamatan bahan makanan sedunia. Mesyuarat Khas Peringkat Tinggi Keselamatan Bahan Makanan Dunia telah diadakan pada bulan Jun lalu. Dalam mesyuarat itu, hubungan antara biotenaga dan keselamatan bahan makanan telah menjadi topik yang diberi perhatian utama.

Laporan "Keadaan Makanan dan Pertanian" yang dikeluarkan oleh FAO baru-baru ini menyebut bahawa dasar-dasar yang berkaitan dengan biotenaga perlu dikaji semula untuk menjamin keselamatan bahan makanan sedunia, meningkatkan taraf hidup kaum tani yang miskin di samping mendorong pembangunan yang menyeluruh di kawasan desa dan pembangunan alam sekitar yang berterusan. Dalam laporan ini dinyatakan bahawa antara tahun 2000 hingga tahun 2007, jumlah pengeluaran bahan api biologi yang berasaskan produk pertanian telah meningkat 3 kali ganda. Kini, ia menyumbangkan 2% daripada bahan api untuk sistem pengangkutan di seluruh dunia. Kadar ini dijangka akan terus meningkat. Walau bagaimanapun, sumbangannya terhadap tenaga dunia tetap akan terhad. Namun, permintaan bahan api biologi terhadap bahan mentah pertanian dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini mungkin akan memberikan tekanan kepada harga bahan makanan. Laporan tersebut berpendapat bahawa permintaan terhadap bahan api biologi yang semakin meningkat ini akan menyebabkan kenaikan harga produk pertanian. Keadaan ini amat baik untuk membantu negara-negara membangun menjadikan pertanian sebagai pemangkin untuk menjana ekonomi dan mengurangkan kemiskinan.

Kini, krisis kewangan global pula kian meruncing. Krisis ini telah menambah kebimbangan orang ramai terhadap kenaikan harga bahan makanan dan bahan api. Maka, ia telah menjadi satu lagi cabaran kepada keselamatan bahan makanan sedunia. Ketua Pengarah FAO, Jacques Diouf menyatakan bahawa krisis kewangan ini akan memberikan tamparan hebat kepada ekonomi makro, lebih-lebih lagi sektor pertanian dan keselamatan makanan di negara-negara membangun. Dengan itu, perlu diingat supaya krisis bahan makanan tidak dilupakan. Untuk menangani masalah kelaparan dan kemiskinan, sektor pertanian juga perlu diberikan perhatian yang serius.