24 Mac 2009

Majlis Anwar di Bukit Selambau diserang gas pemedih mata FRU

BANTU... Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din (kiri) membantu seorang penyokong Pakatan Rakyat dan PAS yang terkena gas pemedih mata ketika tindakan Unit Simpanan Persekutuan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah malam tadi.


Tinggal kurang seminggu menjelang hari penamaan calon Bukit Selambau, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan himpunan hampir 5,000 orang di Sungai Petani, yang datang untuk mendengar ceramah Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Lebih 18 penyokong Anwar dan orang awam dilaporkan telah ditahan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Muda.

Mereka termasuklah beberapa pembantu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan ketua staf Anwar, Ibrahim Yaacob.

Exco Kerajaan Selangor, Dr. Xavier Jeyakumar yang dipetik Malaysian Insider berkata, "saya sangat marah kerana FRU menggunakan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan 5,000 orang yang berhimpur untuk mendengar ucapan Anwar."

Ketua PKR Bahagian Merbok, Datuk Rashid Din ketika dihubungi mStar Online pula mengesahkan sejumlah penyokong dan orang ramai ditahan dalam tindakan FRU itu.

"Mereka yang ditahan telah dibawa ke IPD Kuala Muda," kata beliau kira-kira pukul 11.50 malam tadi.

Penamaan calon kerusi Bukit Selambau diadakan Ahad ini manakala pengundian dijadual 7 April.

Bagaimanapun calon Pakatan Rakyat kerusi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, S. Manikumar menafikan beliau turut ditahan.

Manikumar ketika dihubungi berkata: "Saya OK, saya OK... saya berada dalam keadaan baik."

Kata beliau, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat memang telah ditahan termasuk dari PKR dan DAP.

Jelas beliau, segala-galanya bermula apabila Anwar mula menyampaikan ucapan sempena majlis pelancaran bilik gerakan Pakatan Rakyat dan PKR di sini malam ini.

"Sebaik sahaja Anwar mula berucap, gas pemedih dilepaskan menyebabkan ramai yang melarikan diri ke bangunan dua tingkat.

"Mereka hanya meninggalkan apaila FRU beredar," kata beliau sambil menambah, majlis tersebut bermula pukul 9.30 malam.

Laporan portal terdahulu melaporkan Manikumar turut ditahan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

takpe lah anggaplah ni sebagai traning menghadapi serangan FRU... harap2 lepas ni kita semua jd kebal dengan gas pemedih mata...