23 Mac 2009

Muthu: Pengerusi cawangan diminta tandatangani dua borang

Bekas Naib Presiden MIC Datuk M Muthupalaniappan, yang gagal dalam percubaannya hari ini untuk bertanding jawatan tertinggi parti, mengisytiharkan bahawa demokrasi telah mati dalam MIC.

Beliau berkata ini berdasarkan hakikat terdapat banyak pencalonannya yang dibatalkan.

Muthupalaniappan mengemukakan 53 pencalonan bagi menyokong beliau untuk bertanding jawatan presiden parti di ibu pejabat MIC pagi ini.

Sejumlah 48 daripada 53 pencalonan itu ditolak kerana tidak mematuhi perlembagaan dan undang-undang kecil pemilihan presiden MIC, lapor Bernama.

Kesudahannya, beliau hanya mempunyai lima pencalonan yang sah berbanding penyandang jawatan presiden Datuk Seri S. Samy Vellu iaitu 455. Samy Vellu diisytiharkan presiden parti untuk penggal ke-11 berturut-turut.

Mengikut perlembagaan parti, seseorang yang berhasrat bertanding jawatan presiden perlu memperoleh 50 pencalonan, dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan lima penyokong, bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Semua pencadang dan penyokong mestilah pengerusi cawangan. Presiden MIC akan dipilih oleh kira-kira 3,700 pengerusi cawangan di seluruh negara jika ada pertandingan.

Muthupalaniappan mendakwa usahanya untuk bertanding jawatan presiden tidak disenangi oleh Samy Vellu 'sejak mula lagi' kerana beliau (Samy Vellu) mahu memenangi jawatan tertinggi parti tanpa bertanding bagi menunjukkan kepada rakan MIC dalam Barisan Nasional (BN) bahawa beliau menguasai parti dan anggota parti mahukan pemimpin berusia 73 tahun itu sebagai presiden.

Beliau mendakwa pengerusi cawangan yang telah menandatangani borang pencalonannya juga diminta supaya menandatangani borang untuk Samy Vellu, lantas menjadikan kedua-dua pencalonan itu batal dan tidak sah.

Beliau, yang telah menjangkakan perkara itu, meminta pengerusi cawangan yang mencalonkannya supaya membuat akuan bersumpah bahawa mereka mencalonkan beliau untuk jawatan presiden tetapi jawatankuasa pemandu pemilihan menolak akuan berkenaan.

"Dalam demokrasi sebenar, pertandingan mesti digalakkan dan bukan dipendamkan. Ini adalah peluang terakhir. Demokrasi sememangnya telah mati dalam MIC," katanya.

Muthupalaniappan turut mendakwa beliau diberikan hanya 65 borang pencalonan oleh ibu pejabat MIC manakala Samy Vellu pula diberikan lebih 550 borang.

Beliau berkata menurut perlembagaan MIC, pengerusi bahagian dan negeri menjadi pegawai pengurus dalam pemilihan presiden dan mereka sepatutnya dilarang daripada membabitkan diri dalam sebarang tindakan melobi namun perkara itu tidak dilaksanakan. Malaysiakini

2 ulasan:

Reformis Jalanan berkata...

Saya menjemput cina Islam ke laman blog http://reformisjalanan.blogspot.com

TQ.

Tanpa Nama berkata...

Muthu kata demokrasi sudah mati dalam MIC? Demokrasi sudah lama mati di Malaysia angkara BN.