17 Jun 2009

Sekretariat Pakatan Rakyat perlu ditubuhkan segera - Tuan Ibrahim

TEMERLOH, 15 Jun :- Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan berpendapat, Pakatan Rakyat perlu menyegerakan penubuhan sekretariat tetap bagi menangani segera isu berbangkit di kalangan anggotanya.

Menurutnya, dengan adanya sekretariat tetap beliau percaya ia akan dapat memantapkan dan meningkat hubungan dua hala antara parti gabungan serta menjadi pusat pengumpulan maklumat terkini sebelum disalur dengan lebih cepat kepada kepimpinan parti tanpa menunggu lama.

Menurutnya, serangan gerak saraf pihak lawan terhadap mana-mana anggota Pakatan Rakyat mampu ditangkis dengan cepat oleh sekretariat berkenaan.

Beliau memberi contoh bagaimana serangan bertubi-tubi lawan terhadap PAS dalam isu Kerajaan Perpaduan. Sepatutnya isu berkenaan dapat ditangani dengan mudah jika Pakatan Rakyat mempunyai sekretariat tetap yang dibekalkan dengan maklumat lengkap isu berkaitan untuk dirujuk oleh semua pemimpin Pakatan Rakyat.

"Tidak timbul lagi isu kenyataan bercanggah para pemimpin ketika mengulas sesuatu isu kerana maklumat lengkap telah disedia pihak sekretariat," katanya.

Tuan Ibrahim berkata beliau kesal kerana ada di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat mengulas seuatu isu berkaitan tanpa mendapatkan maklumat lengkap sehingga bercanggah dengan hakikat sebenar.

"Kita tahu agenda utama media arus perdana ialah untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat, justeru jika pihak media bertanya sesuatu soalan ia harus dijawab dengan cermat dan teliti supaya tidak terperangkap dengan agenda Umno-BN," ujarnya.

Harakahdaily.

1 ulasan:

zackeye berkata...

Ini cadangan yang baik dan perlu disegerakan. Kalau boleh lantik terus jawatan kuasa kerja supaya orang ramai tahu siapa ketua PR dan saluran yang betul untuk menyalurkan maklumat dan sungutan.