22 Julai 2009

INDUSTRI GERAGAU

Posted in bebas by Rudy

http://www.bluehikari.com/nikki/2009/07/13/larut-matang-1-industri-geragau/

Selama 3 hari bermula 10-12 Julai 2009, aku berkesempatan mengiringi Ketua Jabatan ke lawatan penyelidikan ke Daerah Larut Matang dan Kerian, Perak. InsyaAllah bermula dengan entri pada hari ini, aku akan menyelitkan apa yang menarik di daerah tersebut. Mana yang baik ambillah ia dijadikan contoh. Manakala yang tidak dijadikan ingatan sepanjang hidup.

Aku pasti, bila ditanya tentang udang geragau. Pasti kalian rasa teruja dengan rasanya. Udang geragau ini apabila dimasak dengan nasi goreng memang menyelerakan. Itu belum lagi di tambah dalam masakan-masakan lain dan ada sesetengah mereka menjadikannya bahan utama utama untuk resipi sambal dan kuah bagi mee.


Aku terjumpa secara tidak sengaja industri ini ketika hari terakhir selepas tiba di jeti Kuala Gula, Kerian semalam. Aku lihat masyarakat Cina di sini yang merupakan nelayan kebanyakannya, menjadikan udang geragau sebagai hasil pendapatan mereka. Aku agak terkejut dengan penemuan ini. Lihat sajalah udang yang dijemur itu hanya diletakkan di atas kanvas di atas tanah. Selalunya bagi mereka yang arif, penjemuran seperti ini dibuat di atas pangkin khas.

Udang geragau yang basah dijemur. Kemudian pekerja Indonesia membalik-balikkan udang itu supaya ia cepat kering. Apa yang tidak sepatutnya berlaku ialah, pakaian pekerja berkenaan.

Lihatlah mereka hanya berpakaian seluar pendek sahaja. Rambut dan peluh bila-bila masa sahaja boleh tercampur sekali dengan geragau tersebut.

Lihat juga kasut yang mereka pakai. Kasut itulah juga digunakan untuk memijak tanah di luar kanvas. Sedap bukan udang geragau yang kita makan?

Ini pula penemuan yang lebih mengejutkan! Tiba-tiba aku ternampak dua ekor anjing berkeliaran di kawasan jemuran tersebut.

Anjing-anjing tersebut dengan selamba melalui kawasan kanvas jemuran. Manakala pekerja industri itu hanya membiarkan anjing-anjing itu tanpa dihalau.

Lihatlah betapa enaknya geragau yang bakal tiba di rumah kita dikongsi bersama dengan anjing-anjing ini. Malah dapat dilihat anjing-anjing berkenaan memijak geragau yang sedang dijemur tersebut.

Aku semakin teruja melihat gelagat anjing-anjing tersebut dan terus menghalakan D60 untuk meneruskan kerja-kerja mengambil gambar. Dan…..

Gambar di atas menjadi finale kepada industri geragau yang aku lihat! Lihatlah kelibat sang anjing di kiri gambar yang sengaja kencing hanya beberapa sentimeter sahaja dari kanvas jemuran! Astagfirullah! Jadi kalian, masih mahu makan udang geragau lagi? Entah mengapa aku geleng kepala. Dalam keadaan kita gegak gempita dengan isu makanan halal di Malaysia, kita masih terlupa melihat perkara syubhah seperti ini. Aduhai!

Tiada ulasan: