25 Julai 2009

Isu Wahabi mengapa masih berlarutan?

Oleh : Ahmad Baei Jaafar
(siri pertama)


Sewaktu saya kecil, sudah terdengar di hujung-hujung telinga saya orang tua-tua bercakap soal “kaum tua” dan “kaum muda”. Jelasnya, orang yang bercakap itu marah benar kepada “kaum muda” hingga melabelkan mereka sebagai “kaum mudah”. Saya masih belum memahami isu perbincangan mereka.

Tetapi setelah saya memasuki sekolah agama, dan sudah mula berminat membaca majalah, perbalahan golongan tua dan muda ini semakin jelas. Malah semakin memahami isu apabila membaca majalah al-Islah terbit di Pulau Pinang, majalah Warta terbitan Jabatan Agama Islam Johor, dan majalah Pengasuh terbitan Kelantan. Membaca majalah tersebut sedikit sebanyak dapat menilai siapa yang dimaksudkan dengan “kaum muda” dan “kaum tua”.

Tahun 70-an pengetahuan penulis bertambah apabila memasuki Yayasan Pengajian Islam Kelantan, Nilam Puri, (sekarang ini Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya). Di sini perbahasan tentang kaum tua dan muda tidak lagi kedengaran, tetapi dilanjutkan perbahasan seumpamanya atas isu Wahabi. Di sini juga pelajar diperjelaskan secara umum perbezaan fikiran itu dan puncanya.

Walaupun kini sudah memasuki tahun 2000, isu itu terus diperbesarkan. Sehingga hari ini saya tertanya-tanya mengapa isu ini terus dibahaskan tanpa ada keputusan yang masing-masing boleh mengakui kebenaran pihak lawan atau dalam kata lain menghormati pandangan orang lain. Dalam keadaan dunia yang berubah mengapa fikiran dan ilmu mereka masih tidak berubah?

Sejarah Wahabi di Malaysia

Setelah mengalami pengalaman, pergaulan, perbincangan dan sedikit kajian, saya dapati pergeseran antara “kaum tua” dan “kaum muda”, Wahabi dan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ini bukanlah isu besar. Isunya kecil sahaja tetapi dibesarkan kerana salah faham dan rasa ego dalam kalangan orang yang berkepentingan.

Dahulu sebelum merdeka, Sheikh al-Hadi (Syed Sheikh bin Ahmad Al-Hadi - 22 November 1867 - 20 Februari 1934) dan beberapa rakannya menubuhkan sekolah agama sistem moden, antaranya Madrasah al-Mashoor Penang, Madrasah al-Iqbal al-Islamiyyah di Singapura. Kewujudan sekolah ini menjadi alternatif kepada sekolah sistem pondok pada masa itu.

Beliau turut aktif dalam penerbitan dan menyebarkan pemikiran modennya melalui majalah. Mereka memulakan penerbitan Majalah Al-Imam pada 23 Julai 1906 di Singapura. Pada tahun 1927, beliau meninggalkan profesion perguruan dan membuka Percetakan Jelutong di Pulau Pinang yang merupakan penerbitan yang bersifat reformasi Islam.

Beliau menerbitkan Tafsir Al-Quran oleh Muhammad Abduh dan juga lain-lain penerbitan berkaitan artikel dan buka reformasi. Pada tahun 1926, beliau melancarkan jurnal bulanan, Al-Ikhwan dan pada tahun 1928, beliau menerbitkan akhbar harian, Saudara. Antara penulis untuk akhbar Saudara ialah Abdul Rahim Kajai.

Kewujudannya telah mencabar kewibawaan ulama pondok yang masih pada takuk lama dalam kaedah penyebaran dakwah. Sistem pembelajaran “umumi” di pondok tidak banyak membantu pelajar ke arah pemikiran kreatif dalam membina kemajuan ummah. Sistem dakwahnya sekadar di sekolah, surau dengan pendekatan ceramah dan mengajar golongan tertentu. Cara tersebut tidak banyak yang boleh mendidik masyarakat. Sedangkan apa yang dibawa orang-orang al-Hadi dapat difahami oleh orang ramai melalui pembacaan.

Di sinilah timbullah apa yang dikatakan kaum tua dan kaum muda. Golongan tua yang tidak senang dengan kehadiran “kaum muda” terus menyerang mereka dari jauh. Keadaan ini menyebabkan orang ramai menjadi keliru. Padahal kalau mereka bertemu dan berbincang mengambil pendekatan bertolak ansur, sudah tentu pergaduhan itu tidak berpanjangan.

Melihat perkembangan itu saya sekali lagi berasa pelik kerana walaupun pemikiran ini timbul di Pulau Pinang dan Singapura tetapi suburnya di negeri Perlis sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun sebahagian pemikirannya di sudut pembangunan umat Islam tidak dibawa bersama. Yang masih tinggal sekarang ialah perjuangan soalan furu’iyah yang sepatutnya tidak dipertikaikan oleh kedua-dua belah pihak.

Fahaman yang tinggal itulah yang dikatakan Wahabi iaitu fahaman yang suka membidaahkan segala amalan yang tidak ada hadis dan tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka bacaan qunut pada solat Subuh, talkin jenazah, dan tahlil dihukumkan bidaah dhalalah.

Asal Usul Wahabi

Sebenarnya kumpulan Salafi Wahabi diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab. Asas perjuangan beliau ialah membanteras khurafat dan bidaah kerana menganggap umat Islam setelah zaman salaf (zaman Rasulullah s.a.w. sehingga 300 Hijrah) mengalami kepincangan khususnya dari sudut aqidah dan terlibat dengan amalan bidaah.

Beliau beranggapan begitu setelah melihat fenomena umat Islam yang pada ketika itu terlalu mengagungkan para wali, sering menziarahi kubur mereka, dan pelbagai lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Bahkan sebahagian umat Islam pada musim haji, lelaki dan perempuan menangis-nangis pada sisi maqam Rasulullah dan para Sabahat.

Asas perjuangan Muhammad Abdul Wahab ini mendapat sokongan pemerintah Kerajaan Arab Saudi ketika itu. Pada ketika itu maqam Rasulullah terpaksa ditutup atau dipagarkan daripada dimasuki pengunjung. Kalau tidak, banyak lagi khurafat yang dilakukan oleh umat Islam.

Selain itu golongan Wahabi ini terpengaruh dengan fahaman Syeikh Ibn Taimiyah yang sedikit berbeza pegangan aqidahnya dengan pegangan Imam Al-Asy’ari dan Imam Al-Maturidiyah. Mereka berpegang kepada pendapat golongan salaf sedangkan yang lainnya mengikut pegangan khalaf.

Berdasarkan itu, golongan Wahabi dikatakan mempercayai bahawa Allah s.w.t. duduk di atas Arasy dan Allah s.w.t. sedang berada di atas langit. Mereka juga percaya bahawa Allah s.w.t. mempunyai rupa paras dan berjasad. Mereka berhujah demikian berdasarkan ayat-ayat al-Quran Mutasyabihat yang pada mereka kedudukan yang sebenar diserahkan kepada Allah, kerana kedudukan-Nya tiadalah menyerupai makhluk ciptaan-Nya.

Meneliti sejarah di atas, saya melihat fikiran umat Islam yang masih berbalah ini amat statik fikirannya baik golongan Wahabi mahupun golongan yang mendakwa Ahli Sunnah wal-Jamaah. Malah kejumudan fikiran ulama tersebut adalah antara sebab mengapa umat Islam kini masih ketinggalan dalam banyak bidang. Masa yang ada dihabiskan untuk berbalah.

Jalan Penyelesaian

Sebenarnya, jika kedua-dua golongan itu dapat menerima hakikat perubahan dunia pasti mereka boleh akur dan menerima semua itu dengan baik. Di sini saya akan membawa beberapa contoh:
1. Kemajuan yang diperjuangkan oleh al-Hadi hari ini telah diterima oleh golongan tua, malah mengakui baik. Antara perjuangan itu ialah mewujudkan sistem persekolahan, mencadangkan wanita turut belajar di sekolah, menerbitkan majalah, akhbar dan buku. Beliau juga antara pembakar semangat untuk mencapai kemerdekaan.
2. Khurafat yang mahu dibanterasnya kini sudah diterima oleh golongan tua. Kubur keramat di Melaka, Pulau Pinang, dan banyak lagi sudah tidak dipuja lagi.

Kalau pandangan itu diterima dengan baik oleh kaum tua suatu ketika dahulu sudah tentu negara lebih cepat maju berbanding sekarang. Bayangkan kalau sekolah Islam wujud dan menjadi saingan hebat dengan sekolah Kristian ketika itu, orang kita tidak banyak masuk sekolah Kristian. Tetapi oleh sebab asyik bergaduh bagi mempertahankan sistem pondok, kita terus ketinggalan dalam pendidikan.

Begitu juga dengan soal khurafat, dulu kaum tua menentang malah mereka menjadi tukang tolong baca doa untuk orang yang hendak membayar niat. Hendak lawat kubur keramat dibenarkan oleh golongan tua itu. Tetapi kini mereka sudah menolak khurafat itu. Kenapa tidak dari dahulu lagi? Kita tidak berfikir secara kreatif maka kita terus ketinggalan.

Selain itu golongan tua juga sudah dapat menerima bahawa baca Yassin pada malam Jumaat bukan wajib, tahlil arwah bukan wajib, dan talkin jenazah di atas kubur juga bukan wajib. Malah itulah pegangan mereka sebelum ini, cuma pada waktu itu sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Melayu hingga sukar dibuang.

Kalau begitulah pegangan golongan tua mengapa golongan muda tidak boleh bertolak ansur, kalau hendak baca Yassin atau tidak, terpulanglah. Kalau nak buat tahlil atau talkin sila lakukan, kalau tidak mahu tidak mengapa. Bukan wajib, tetapi daripada berbual kosong selepas solat, baca Yassin apa salahnya, bukankah baca al-Quran dapat pahala? Talkin di kubur kalau boleh dijadikan dakwah dan peringatan kepada keluarga si mati dan sahabat handai, bukankah dapat pahala daripada berbual kosong di atas kubur?

Di sini saya lihat orang-orang kaum muda masih berfikiran statik, beku dan tidak pernah melihat perubahan zaman yang sudah banyak berubah kini. Ingatlah bukan semua yang tidak disebut oleh Rasulullah dan tidak dilakukan oleh Baginda tidak boleh dilakukan oleh umat akhir zaman. Ingatlah juga, kalau kita boleh beri pandangan, orang lain juga boleh memberi pandangan, malah lebih bernas.

Begitulah juga yang berlaku pada amalan doa qunut dan azan dua kali pada waktu solat Jumaat. Kenapa hendak dibidaahkan kalau hukum itu telah diputuskan oleh ulama yang berijtihad. Bukankah Rasulullah telah memberi jaminan bahawa sesiapa yang ijtihadnya betul dapat dua pahala, kalau salah dapat satu pahala. Ertinya Allah iktiraf pendapat itu. Siapakah kita untuk menolak pengiktirafan Allah?

Jadi, masing-masing boleh beramal mengikut apa yang telah dilakukan selama ini segala tidak bercanggah dengan syariat. Mana-mana hukum yang terdapat sedikit perubahan, seharusnya mereka menghormati.

Akhir sekali, “pegangan Wahabi tentang Allah dengan berdasarkan salafi” akan saya bentangkan pada siri akan datang.

**************
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah di 7/23/2009 02:27:00 PM

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hamba pengikut ahli sunnah wal jamaah.

Tanpa Nama berkata...

Sungguh bermanfaat penulisan saudara!
Pertentangan Wahabi dan Ahli Sunnah yg ketara adalah dlm aqidah..mane yg betul aqidahny..adakah yg menyatakan tuhan bertempat atau Allau wujud di mana2 shj tanpa tempat?
cuba kita fikir sejenak..kalau benar pe yg Wahabi bawak yg Allah tu duduk di atas langit..
sedangkan langit ni adalah antara ciptaan baru yg ALLAH jadikan yg mana Allah telah wujud sebelum ia dijadikan...
di mana Allah tinggal sblm Dia jadikan langit??

Marul berkata...

Katakan TIDAK pada WAHABI

Tanpa Nama berkata...

Salam

Secara terbuka saya menyatakan tentang kemuakan sesetengah pihak, seperti saya sendiri tentang isu puak2 dalam islam,hizbut tahrir, wahabi,tabligh,pas,ikhwan dan sengkatannya kini seolah menjadi barah dalam masyarakat kita hinggakan persaudaraan islam terputus dan terjejas berlainan "kumpulan" , itu tidak masuk lagi beberapa kumpulan kecil lainnya yang mendakwa membawa perjuangan sama, pelbagai hadis dan ayat quran diqunakan untuk menhalalkan dan meng"qoute" perbuatanmereka itu atas pelbagai alasan, BARANGKALI INILAH BALA DARI ALLAH UNTUK SEMUA umat islam di malaysia khususnya dan dunia umumnya. Lemahnya islam kerana kita sendiri kerana maksiat kita sendiri hingga menyebabkan kita buta pandangan dan hati tentang persaudaraan islam yang lemah longlai dan hancur, kengakuhan kita sesama ummat islam lah yang menjahanamkan kita biarpun kita beralasan bagai untuk menegakkan islam, apatah lagi dengan mereka yang tida tahutentang islam secara menyeluruh.

Tanpa Nama berkata...

Katakan TIDAK pade wahabi saudara...
meme wahabi @ kaum muda ni keras kapala...
payah nak terima...
ingat dia saje yang BETUL!
orang lain salah semua...
skali lagi..
SAY NO TO WAHABI!

Tanpa Nama berkata...

Wahai saudaraku, untuk menanggani masalah ini perlu mendalami ilmu mustholah hadis(istilah ilmu hadis). Yg dipegang oleh golongan muda adalah hadis2 sahih. Golongan tua, masih lagi berpegang dgn hadis dhaif dan yg paling teruk hadis palsu. Perjuangan golongan muda ini adalah utk menghidupkn kembali sunnah Rasullullah dan salafu soleh.

Tanpa Nama berkata...

Apa2 masalah dlm Islam, rujuk Quran dan Hadis sahih sebagai hujah. Jgn berhujah dgn hadis lemah dan palsu. sbb agama Islam diturunkn oleh Allah semuanya benar. Jgn belajar tafsir Quran shj, kena belajar ilmu hadis sbb hadis ni org boleh tipu dgn disandarkn kpd nabi. Tujuan kaum muda adalah utk menghidupkn kembali sunnah nabi.

bro.izzat berkata...

Perlu dibetulkan sedikit kenyataan yang silap dlm artikel ini. Antaranya, kaum salaf tidak mengatakan Allah berjasad.

Terima Kasih