25 Julai 2009

Hizbullah bangunkan semula Lebanon

Oleh : HELMI MOHD. FOAD

kawasan perkuburan syuhada yang menempatkan mangsa kekejaman Israel di Beirut, Lebanon.

ABU HASSAN Musulmani dan isterinya, Ummu Hassan Musulmani sayu menatap foto dua anak lelaki mereka - Hassan, 24, dan adiknya Ali, 22. Kedua-dua anak kesayangan mereka ini tiada lagi di sisi kerana terkorban di perbatasan selatan Lebanon ketika menentang tentera rejim Israel pada perang yang meletus pada Julai 2006.

Namun di sebalik garis wajah kesayuan itu, kedua-duanya tidak menyesal dengan pemergian Hassan dan Ali buat selama-lamanya itu. Malah pemergian kedua-dua anak lelaki yang menjadi harapan dan tunggak keluarga, menjadi kebanggaan keluarga syuhada itu yang mendiami sebuah pangsapuri sederhana di pinggir Beirut.

Kunjungan penulis ke rumah keluarga syuhada itu, Februari lalu terasa masih segar apatah lagi bulan ini (Julai) genaplah tiga tahun serangan dahsyat rejim Israel itu ke atas Lebanon.

Ternyata emosi pasangan suami isteri itu amat kuat, apabila tiada setitis air mata pun yang membasahi pipi ketika mengimbau kisah dan detik-detik kematian kedua-dua anak mereka itu.

Abu Hassan yang sudah menjangkau usia 50-an sebaliknya dengan bersemangat memberitahu: "Kalau Israel menyerang lagi, saya bersama tiga lagi anak, semua akan turun sekali lagi untuk melawan rejim itu. Menang atau kalah bukan soalnya lagi".

Kata-kata semangat yang sama turut dilafazkan isterinya, yang sama sekali tidak gentar untuk menyertai peperangan pada masa depan sekali pun menghadapi risiko kehilangan anak-anaknya buat kali kedua atau dirinya sendiri.

Seluruh keluarga tersebut merupakan 'anggota-anggota tentera' yang berperang dalam Perang Tammuz termasuk Ummu Hassan bertugas sebagai tukang masak kepada para pejuang Hizbullah.

Ketika ribuan warga Lebanon termasuk mereka yang sudah mendapat kewarganegaraan asing menyelamatkan diri keluar dari negara itu, Abu Hassan sekeluarga pulang ke kampung halaman mereka di Selatan Lebanon bagi mempertahankan negara daripada serangan Israel.

"Kami bertiga berada di barisan hadapan bersama-sama para pejuang Hizbullah yang lain, bertempur berdekatan sempadan wilayah Palestin yang dijajah (Israel), selama 30 hari.

"Sepanjang tempoh itu, pertempuran begitu sengit sehinggakan kami terkepung tanpa bekalan makanan dan air bersih," kata Abu Hassan dengan penuh emosi.

Dalam pertempuran itulah, Abu Hassan bertukar nada perlahan memberitahu, anaknya Hassan mengalami cedera parah.

"Saya begitu pilu melihatkan keadaan Hassan namun sempat memberikannya minum sedikit air. Namun anak saya itu meminta saya segera pergi menyelamatkan diri kerana merasakan dia akan menemui syahid.

"Walaupun sedih dengan permintaannya itu namun saya terpaksa 'keraskan hati' meninggalkan Hassan yang sempat berpesan agar saya meneruskan perjuangan dan itulah kata-kata akhirnya yang sehingga kini masih segar dalam ingatan.

"Jenazah anak saya itu terpaksa dibiarkan di medan perang sehinggalah perang tamat. Selepas tamat, barulah kami bawa jenazah Hassan ke Beirut untuk dikebumikan, " ujarnya dalam nada berbaur pilu.

Menurut bapa yang tabah ini, setelah gencatan senjata, ramai jiran dan saudara mara menangisi kesyahidan kedua-dua anak lelakinya yang gagah berani itu.

"Tetapi mujurlah Allah anugerahkan saya ketabahan hati sehinggakan saya pula yang berusaha menceriakan tetamu yang menziarahi rumah saya itu.

"Kami mencintai syahid kerana ia adalah garisan perjuangan ahlul bait (ahli syurga), pengalaman kesyahidan sebagaimana yang dilalui oleh Imam Hussein," katanya sambil jari jemarinya perlahan-lahan mengusap foto kedua-dua anak kesayangannya itu.

Kisah Abu Hassan dan keluarganya melambangkan ketabahan rakyat Lebanon ketika menghadapi kekejaman Israel yang hingga kini terus menjadi ancaman kepada keamanan negara-negara Asia Barat itu.

Ternyata pengorbanan mereka tidak sia-sia apabila Israel malu besar setelah gagal mencapai matlamat perang pada 2006 itu.

Rejim itu tidak dapat menguasai hatta seinci pun tanah Lebanon. Meskipun mereka sempat sampai di sekitar Sungai Litani dan jauh sekali berjaya melumpuhkan sistem pertahanan Hizbullah.

Sebaliknya hanya menyaksikan tentera Israel meraung-raung bagaikan bayi yang kelaparan di Bint Jbeil, iaitu salah satu medan pertempuran paling sengit dalam perang itu.

Hizbullah berjaya memusnahkan 38 Merkava dan merosakkan 82 kereta kebal yang menjadi kebanggaan Israel selain menghancurkan kapal perang rejim itu di perairan laut Lebanon.

Sedangkan Israel dengan segala kekuatan yang ada sanggup membunuh lebih 1,000 rakyat Lebanon yang tidak berdosa. Ia melalui serangan udara semata-mata untuk mendapatkan semula dua tentera Israel yang ditawan Hizbullah dalam operasi dinamakan 'Janji yang Benar' di selatan Lebanon.

Janji yang benar itulah yang sering dilaung-laungkan berulang kali oleh Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah.

Beliau dijadual menyampaikan pidatonya secara langsung hari ini (Jumaat) bagi meraikan ulang tahun ketiga perang itu dalam apa yang disifatkan sebagai kejayaan Operasi 'Haji Redwan'.

Ini kerana hasil perang Julai 2006 itu, Hizbullah berjaya melunaskan janjinya kepada rakyat negara itu untuk membebaskan para pejuang termasuk Shamir Kuntar yang telah merengkok kira-kira 30 tahun dalam penjara Israel.

Seperti biasa, Sayyed Hassan tidak muncul di khalayak, sebaliknya akan berucap dari lokasi yang dirahsiakan

Pidato beliau yang pastinya lantang berapi-api itu, dipancarkan melalui skrin-skrin besar dan disiarkan secara langsung oleh Stesen Televisyen al-Manar.

Sebelum ini, Stesen TV al-Manar pernah menjadi sasaran Israel malah turut mengadakan sekatan dan menghalang liputan media asing ke atas kekejaman rejim itu dalam perang di Genting Gaza, Disember lalu.

Pengurus Besar Stesen TV Al-Manar, Abdullah Qasir berkata, sekatan ke atas media itu ternyata gagal kerana beberapa unit stesen televisyen termasuk al-Manar telah lama beroperasi dari dalam wilayah Gaza yang dikuasai pergerakan Hamas.

"Sekatan itu tidak berjaya bahkan terdapat stesen televisyen yang lain seperti al-Aqsa dan al-Jazeera, ia ternyata memberikan sumbangan dalam mendedahkan keburukan dan wajah sebenar Israel.

"Ia juga telah mengubah pandangan dunia tentang konflik di Palestin," katanya.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Lebanon berkata, al-Manar menjadi sasaran Israel sehingga ibu pejabatnya ranap dibom dalam serangan udara pada 2006 berikutan berita-berita yang disiarkan tidak menyenangkan rejim tersebut.

"Kami jadi sasaran kerana menyiarkan laporan tentang para syuhada yang terkorban, kapal terbang dan kereta kebal Israel yang berjaya dimusnahkan, itu semua tidak menyenangkan Israel," katanya sambil menambah siaran al-Manar turut ditonton di wilayah haram Israel.

Di sebalik cabaran berkenaan, Abdullah menegaskan, al-Manar akan terus berusaha meneruskan siarannya mengenai laporan berkaitan penentangan terhadap kekejaman Israel selain rancangan agama, keluarga dan remaja serta berita semasa.

"Sekiranya Hizbullah mengambil inspirasi perjuangan cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussein maka kami berperanan sebagainya adiknya, Sayyidah Zainab yang bertanggungjawab memberikan penerangan bagi mencetuskan kebangkitan.

"Meskipun ada cabaran dan halangan, kami akan terus membuat liputan," tegasnya.

Justeru ucapan Sayyed Hassan yang disiarkan oleh al-Manar hari ini amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Lebonan malah seluruh dunia termasuk musuh tradisinya, Israel.

Yang pasti, terdapat mesej penting untuk disampaikan. Ini mengingatkan penulis ketika Sayyed Hassan 'muncul' di Bandar Dauhiah, Selatan Beirut, berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Rafiq Hariri pada 16 Februari lalu.

Sebahagian besar penduduk Dauhiah - bandar yang dibangunkan oleh pelbagai organisasi Hizbullah, terpaku di depan kaca televisyen mendengar ucapan Sayyed Hassan pada satu majlis di Kompleks Syuhada.

Penulis ketika itu memilih untuk menonton sahaja melalui saluran al-Manar semasa singgah di sebuah kedai roti setelah dimaklumkan jalan ke pusat perhimpunan itu sudah penuh sesak.

Di hadapan puluhan ribu rakyat Lebanon , Sayyed Hassan ternyata mengambil kesempatan majlis tahunan 16 Februari setiap tahun iaitu hari memperingati para syuhada untuk menyampai mesej-mesej penting.

Mesej oleh Sayyed Hassan itu lebih menarik perhatian apabila Hizbullah kian mendapat tempat dari segi pengaruhnya dalam kerajaan dan sokongan politik serta moral daripada dunia Arab dan Islam.

Sebelum ini, di bawah pimpinan Sayyed Hassan, penentangan Hizbullah memaksa Israel mengundurkan tenteranya dari Selatan Lebanon pada tahun 2000.

Sayyed Hassan menganggap, kejayaan Hizbullah dalam tempoh lebih 20 tahun setelah penubuhannya pada 1982 adalah hasil sumbangan para syuhada mereka yang perlu diingati.

Tiga tokoh syuhada yang cukup dikenang antaranya ialah Sheikh Ragheb Harb yang terkorban pada 16 Februari 1984.

Lapan tahun kemudian Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Abbas Musawi terkorban dalam serangan Israel dan yang terbaru, pembunuhan komander tertinggi tentera Hizbullah, Imad Mughniyah di Damsyik, Syria pada 12 Februari 2008 yang dipercayai dilakukan oleh agen Israel.

Kata Sayyed Hassan, pengorbanan para syuhada itu telah memulangkan semula tanah dan rumah para penduduk Marjayoun, Hasbaya, Shebaa dan Bint Jbeil.

Paling memberi kesan adalah pembunuhan Imad atau 'Haji Redwan' yang disifatkan Hizbullah sebagai memberi kesan yang menakutkan bagi Israel.

Ini kerana Imad ialah tokoh yang diibaratkan sebagai 'tangan kanan' Sayyed Hassan. Imad dipercayai bertanggungjawab merancang strategi pertahanan Hizbullah sebelum tercetus perang 2006.

Selepas perang itu, Imad dikatakan meminta kebenaran Syed Hassan untuk turun padang membuat persiapan menghadapi serangan Israel akan datang dalam tempoh setahun.

Dalam tempoh itu, Imad dipercayai berjaya melengkapkan segala persiapan termasuk perancangan membabitkan Palestin dan kerjasama dengan Syria.

Meskipun Hizbullah dilihat tidak membantu pejuang Hamas dalam serangan ganas Israel selama 22 hari ke atas Genting Gaza, Palestin pada Disember 2008, namun dipercayai kemampuan Hamas mempertahankan kedudukannya mempunyai kaitan dengan perancangan oleh Imad.

Justeru, kematian Imad begitu digeruni Israel kerana ia boleh membuatkan Hizbullah meningkatkan penentangannya ke atas rejim itu.

Ini dapat dilihat apabila Sayyed Hassan secara terbuka menyatakan Hizbullah tidak lagi gentar dengan serangan-serangan udara Israel.

Bagi memastikan wujud keseimbangan dalam konflik akan datang, Hizbullah mempertahankan haknya mendapatkan senjata bagi mempertahankan diri termasuk sistem anti pesawat sebagai pelengkap pertahanan darat dan lautnya.

Pada saat ini, Hizbullah sedang bertungkus lumus membina semula rumah-rumah rakyat Lebanon yang musnah dan rosak teruk angkara bom tentera Israel pada perang 2006 itu

Tiada ulasan: