24 Julai 2009

Majoriti Tipis Bukan Makna Rakyat Tolak PAS - Nik Amar

KOTA BAHARU, 21 Julai :- PAS berkata kemenangan tipis parti itu ke atas Barisan Nasional (BN) dengan majoriti hanya 65 undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai lepas, tidak bermakna sokongan rakyat terhadap parti itu semakin merosot.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata keputusan itu bersifat sementara dan tidak menggambarkan apa yang akan berlaku pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Bedah siasat keputusan pilihan raya kecil itu masih belum selesai tapi kita percaya kemenangan tipis di Manik Urai bukan gambaran awal kepada pencapaian kita pada pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima lawatan rombongan pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Nasr, Mansourah, Mesir di kediaman Menteri Besar, JKR 10, di sini Selasa.

Mohd Amar berkata pencapaian tersebut yang jauh merosot berbanding yang diperoleh PAS sebelumnya, hanya bersifat sementara disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran yang berlaku pada parti itu kebelakangan ini.

Pilihan raya kecil itu dimenangi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50, yang memperoleh 5,348 undi manewaskan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39, yang mendapat 5,283 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Manik Urai, Ismail Yaacob daripada PAS pada 22 Mei lepas akibat sakit jantung.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Macam mana tidak mengurangkan undi, berapa banyak duit yang telah ditaburkan?????