14 Ogos 2009

51 korban H1N1, 29 lagi di ICU

kemaskini 3.07pm Tujuh lagi kematian berkaitan influenza A (H1N1) disahkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 51 orang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mereka adalah dari kalangan kumpulan berisiko tinggi sama ada penghidap darah tinggi, penyakit jantung, imuniti rendah dan penyakit kongenital.

Katanya, mereka termasuk pesakit berumur antara empat bulan hingga 92 tahun.

"Pada masa ini, terdapat 51 kes di wad, 29 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 daripada 29 dalam ICU adalah kumpulan berisiko tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan Persatuan Bagi Kajian Obesiti Malaysia (MASO) di Kuala Lumpur hari ini.

Liow berkata pesakit dengan simptom penyakit serupa Influenza (ILI) dan masalah jantung, mereka yang demam kuat secara berterusan lebih dua hari dan sesiapa yang positif dengan Influenza A atau B melalui ujian pantas akan diberikan rawatan antiviral dengan segera.

Beliau berkata bagi kumpulan ini, mereka tidak perlu menunggu pengesahan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) atau Hospital Sungai Buloh.

"Saya telah arahkan semua hospital dan klinik untuk merawat kumpulan pesakit ini dengan segera," katanya.

Liow turut meminta agar doktor memberi cuti sakit (MC) selama tujuh hari kepada mereka yang didapati mengalami selesema supaya mereka boleh meneruskan rawatan di rumah selain tidak mendedahkan diri kepada orang ramai.

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya rakyat di negara ini tidak panik kerana daripada pesakit yang menghidapi penyakit H1N1 itu, 98 peratus telah disahkan sihat.

Katanya, apa yang dikhuatiri adalah kumpulan yang berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekiranya menunjukkan simptom-simptom dijangkiti H1N1.

"Sekiranya semua bertanggungjawab mengikut arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan, maka kita yakin dapat membendung wabak ini dan ia tidak akan merebak lagi," katanya.

Sementara itu, Liow berkata situasi di negara ini ekoran wabak H1N1 masih belum memerlukan kerajaan mengeluarkan perintah darurat kesihatan walaupun berada di peringkat serius ekoran peningkatan kadar kematian.

"Untuk mengisytiharkan darurat kesihatan saya perlu buat kuarantin
keseluruhan komuniti di mana kerajaan perlu menyekat pergerakan orang secara keseluruhan. Kita belum sampai ke tahap itu," katanya.

Mengenai cadangan mengawal penutupan sekolah, beliau berkata Kementerian Kesihatan meminta supaya pihak sekolah menjalankan pengawasan rapi khususnya terhadap murid-murid yang tidak sihat supaya diarahkan pulang dan berehat di rumah.

Katanya, ibu bapa juga perlu bekerjasama memastikan anak-anak mereka tidak pergi ke sekolah sekiranya menunjukkan tanda-tanda gejala H1N1 dan mendapatkan rawatan segera daripada doktor.

"Kita tutup sekolah seminggu, lepas itu kita buka semula. Kemudian ada lagi kes H1N1 dan arahan tutup akan dikeluarkan. Ini bukan caranya kita hendak menguruskan wabak ini kerana ia bukan hanya merebak di sekolah-sekolah sebaliknya di kawasan komuniti, pasar malam atau pasar raya," katanya. BERNAMA

MalaysiaKini/-

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

iyela yg ko xarah kuarantin kat sekolah atau asrama nape...budk uitm kena..yg lain kena balik...kuarantin kat umah konon..nama pun manusia...bkn nye ikut pun. merata tempat dia pg...sebar kat org kg lak tue...tu yg byk mti....sume org tua kat kg mati...hish..hish...

Tanpa Nama berkata...

dasar 1 Malaysia, rakyat didahulukan mati H1N1, pemimpin BN biar selamat... tidak pantas bertindak dan tak perihatin dengan rakyat....kalau pakatan perintah, insyaallah H1N1 dah dapat di atasi...

serupasekala berkata...

Kebanyakan blog yang saya lawati terdapat amaran saperti ini ( WARNING : VISITING THIS SITE MAY HARM YUR COMPTER ) DARIPADA MALWARE DETECTED.

HAI AGAK AGAK SUDAH KENA SELSEMA BABI h1n1 KE.

AINA berkata...

RAMAI ORG MASIH TAK ENDAH DENGAN PEMAKAIAN FACE MASK. INI PENTING TERUTAMA JIKA BERADA DI KLINIK, HOSPITAL, PASAR RAYA DAN PASAR MALAM, . HARAP ORG RAMAI LEBIH PRIHATIN TENTANG PERKARA INI. SAYA PERHATIKAN JUGA TAK SEORG PUN PEMIMPIN BAIK KERAJAAN ATAU PAKATAN YANG PAKAI FACE MASK...MEMANG LA SIHAT, TAPI BUKANKAH KEPIMPINAN MELALUI TELADAN...? BILA RAKYAT TENGOK PEMIMPIN PAKAI, MEREKA PUN LEBIH BERKESEDARAN UNTUK PAKAINYA...CEGAH LEBIH BAIK DARI MERAWAT...