06 Ogos 2009

Najib gagal lihat mesej anti-ISA

kemaskini 1.36pm Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih gagal melihat mesej anti-ISA apabila mahu menyediakan tempat yang sesuai bagi penunjuk perasaan menyuarakan pandangannya, kata Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

"Pertama, beliau (Najib) patut lihat pada mesej yang dibawa (penunjuk perasaan), bukan tempat berhimpun. Kita berhak berhimpun di mana-mana pun.

"Kedua, bukan tidak pernah ada perhimpunan di stadium, tetapi tidak ada tindak balas kerajaan.

"Jadi, tidak timbul isu di mana (demonstrasi), tetapi apakah tindak balasnya (berhubung demonstrasi rakyat)," kata Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau diminta mengulas kenyataan Najib pada Ahad lalu yang berjanji menyediakan tempat yang bersesuaian bagi mengadakan perhimpunan bagi mengelak penunjuk perasaan "membuat kacau" di jalan.

Syed Ibrahim berkata, cadangan Najib itu hanyalah "perkara teknikal semata-mata".

"Soalnya, apa jaminan kerajaan akan mendengarnya? Mereka patut lihat tuntutan rakyat. Mereka (rakyat) datang dari setiap pelusuk negeri tanpa sebarang imbuhan.

"Soal (perhimpunan) di stadium atau tidak, itu pada saya persoalan teknikal semata-mata," katanya kepada Malaysiakini.

Buat masa ini, GMI belum berbincang bagi mengadakan demonstrasi susulan berhubung kesediaan Najib menyediakan tempat berhimpun itu, katanya.

Mengulas siasatan polis terhadap 11 individu, termasuk beliau sendiri, Syed Ibrahim berkata, sehingga kini beliau belum dihubungi untuk memberi keterangan.

MalaysiaKini/-

3 ulasan:

zackeye berkata...

Bukan tidak nampak mesej tapi hati mereka menjadi risau yang begitu ramai rakyat menentang akta zalim ini. Orang-orang yang zalim memang akan seronok dengan kezalimannya kerana mereka takut jika mereka tidak menggunakan kezalimannya maka mereka akan hilang kuasa dan hukuman rakyat pun cukup pedih dan memalukan. Lihat saja berapa ramai pemimpin yang zalim ditumbangkan oleh rakyat dan dihalau keluar dari negara sendiri. Ramai juga yang mati merempat dinegara orang.

Tanpa Nama berkata...

Kalau Timbalannya bengap... dia???

Tanpa Nama berkata...

ISA telah lari jauh dari matlamat asalnya, kalau dulu untuk menjaga keselamatan negara, tetapi kini untuk menjaga kedudukan dan kuasa pemimpin UmNo. Sebab itu H1+N1 (Hishamudin + Najib)buat pekak dan tuli.
Memandangkan PR semakin mendapat tempat dihati rakyat dan kemenangan nya semakin menghampiri,oleh itu difikirkan biar mereka menguatkuasakan ISA sehingga kekalahan mereka, agar PR gunakan ISA itu untuk memberi mereka merasai 'nikmat & rahmat' yang selama ini mereka berikan kepada orang yang mereka tidak senangi. Lagi pun kita telah melaluinya berdekad-dekad tak kan tak boleh sabar untuk beberapa ketika. Wallah hualam.