11 September 2009

Muhasabah puasa kita sebelum berakhir

Ahmad Baei Jaafar

Sehingga ke hari ini kita sudah melepasi separuh Ramadhan. Tetapi siapa antara kita yang telah membuat penilaian semula sama ada ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan ini betul-betul menepati kehendak Allah.

Rasulullah mahu umatnya melakukan puasa dengan penuh rasa keimanan. Bukan puasa kerana terpaksa, apatah lagi kerana takut orang kata. Puasa kerana taat kepada Allah, kerana mahu menjadi orang yang bertakwa.

Apakah kita berpuasa atas dasar keimanan kepada Allah? Tahniahlah kepada mereka yang Berjaya melakukan ibadah dalam bulan Ramadhan ini dengan penuh rasa keimanan. Sabda Rasulullah
من صام رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر الله له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Siapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Demikian jaminan Rasulullah kepada umat Islam. Tetapi bagaimana mereka yang berpuasa kerana terpaksa dan kerana takut orang kata dan sebagainya? Memang ada sebuah hadis yang antara lain bermaksud, berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa ganjaran kecuali lapar dahaga (mungkin dapat pahala berlapar saja).

Biasanya puasa golongan ini tidak menginsafkan malah puasa yang akan berakhir itu tanpa dinilai semula. Kalau boleh lebih cepat habis puasa lagi bagus. Puasa yang dilakukan sekadar menunaikan perintah agama selama sebulan, tetapi yang paling penting ialah sambutan Aidilfitri di penghujungnya.

Oleh sebab itulah semangat umat Islam berkobar-kobar pada awal Ramadhan tetapi semakin berkurangan pada hari-hari berikutnya. Hal ini kerana ibadah yang dilakukan tidak dirasakan faedahnya kepada diri, pahalanya pun tidak nampak, tapi sebaliknya penat dan membosankan.

Di sinilah bezanya puasa umat Islam akhir zaman dengan puasa para sahabat dan tabiin. Puasa mereka bersungguh-sungguh malah semakin penghujung dilipatgandakan beribadah. Hal ini kerana peluang untuk beribadah sebegini sudah semakan tiada. Mereka bimbang kalau tidak sempat untuk sampai ke Ramadhan akan datang.

Sebenarnya kebanyakan umat Islam tidak benar-benar diberi kefahaman tentang maksud hadis di atas iaitu “siapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini.”

Hadis daripada Abu Hurairah itu menyebut dua perkara penting iaitu “Imanan” dan “Ihtisaban” sebagai syarat Allah mengampunkan dosa mereka yang terdahulu. Namun pengertiannya masih kabur pada orang kebanyakan.

Puasa “imanan” diterjemahkan sebagai puasa dengan penuh rasa keimanan. Tetapi bagaimana untuk mencapai puasa itu? Inilah yang belum dijelaskan secara serius.

Umat Islam seharusnya berpuasa kerana patuh perintah Allah, percaya perintah itu ada hikmahnya kepada manusia, dan sedar bahawa Allah maha mengetahui segalanya tentang makhluknya lalu tidak mampu diingkari. Berapa ramai umat Islam yang dapat rasakan keimanan begini?

Puasa “ihtisaban” biasanya diterjemahkan sebagai mengharapkan pahala. Terjemahan ini mengajar umat Islam supaya tidak ikhlas dalam melakukan puasa. Setiap kali berpuasa, diharapkan pahala, namun pahala tidak nampak di hadapan mata. Itulah sebabnya mereka semakin hari semakin berkurangan menghayati bulan Ramadhan.

Sebenarnya ihtisaban harus difahami sebagai rasa diawasi oleh Allah. Apabila umat Islam melakukan puasa dalam keadaan sedar bahawa perbuatannya diawasi oleh Allah, pasti mereka akan lakukan dengan sebaiknya.

Jadi, wajarlah mereka diberi pengampunan dosa yang lalu jika puasa mereka benar-benar kerana kepatuhan kepada Allah dan rasa diawasi oleh-Nya. Rasa keinsafan ini yang menyebabkan Allah mahu melupakan kesalahan mereka yang lalu.

Selain itu, hadis ini adalah merujuk kepada puasa pada siang hari, maka tidak termasuk amalan lain pada malamnya. Terdapat hadis lain yang khusus untuk malamnya iaitu sabda Rasulullah s.a.w.
من قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Siapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini merujuk kepada qiamullail yang bermula daripada solat Tarawih, witir, tahajud, dan sebagainya. Maka sesiapa yang dapat melakukan semua solat itu kerana patuh dan taat kepada Allah dan dapat merasai bahawa mereka diawasi sepanjang malam, sudah tentu mereka layak diberi keampunan.
Tidak cukup setakat itu, Rasulullah turut bersabda:
من اعتكف إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه
ومن اعتكف فلا يحرمن الكلام

Maksudnya: “Siapa yang beriktikaf dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini dan siapa yang beriktikaf tidaklah diharamkan berkata-kata.” (Riwayat Addailamy).

Hadis ini melengkapkan ibadah Ramadhan sepanjang bulan. Tawaran untuk orang yang beriktikaf di dalam masjid tidak menentukan masa sama ada malam atau siang. Maka setiap kali mereka masuk ke dalam masjid boleh diniatkan iktikaf dan membatalkannya setelah hendak keluar masjid.

Bayangkan berapa lama seseorang itu boleh beriktikaf kalau dia masuk untuk solat maghrib dan mengekalkannya sehingga selesai witir. Apatah lagi kalau dia terus melakukan tadarus sehingga tengah malam. Jika iktikafnya kerana perintah Allah dan merasai diawasi Allah sudah tentu dia layak mendapat pengampunan Allah.

Malangnya, umat Islam tidak pernah diberi penjelasan seumpama ini hingga menyebabkan setiap kali jemaah memasuki masjid, terasa bosan dan segera hendak pulang. Solat tarawih dilakukan hanya 8 rakaat dan segera pulang. Apakah mereka berpeluang mendapat pengampunan Allah?

Jadi, sebelum berakhir Ramadhan ini, marilah kita baiki ibadah kita berdasarkan hadis di atas. Semoga kita beroleh pengampunan Allah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lillahitaala...