04 Oktober 2009

400 orang hilang ditelan bumi ketika gempa bumi di Padang

JAKARTA: Kira-kira 400 orang yang sedang menghadiri satu majlis pernikahan dikhuatiri hilang ditelan bumi di Dusun Pulau Aik, Padang Pariaman ketika gempa bumi berkekuatan 7.6 skala Richter melanda Sumatera Barat pada 5.16 petang 30 Sept.

Kebimbangan itu berdasarkan keadaan kampung itu yang kini rata ditutupi tanah dan menara masjid, yang merupakan struktur tertinggi di situ, bahkan juga sudah tidak kelihatan.

"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S. Pakaya yang dipetik detikcom, hari ini.

Sambil menyebut bahawa pasukan mencari dan menyelamat tidak mungkin menggali sedalam 30 meter untuk mengeluarkan mangsa, beliau berkata dengan tenggelamnya kampung itu, proses mencari dan menyelamat sangat sukar untuk dijalankan walaupun pasukan pencari masih berusaha.

Tragedi di kampung itu merupakan satu daripada beberapa kejadian serupa apabila mangsa tertimbus dan terhimpit di celah runtuhan bangunan, yang kini mendapat perhatian setelah komunikasi dan jalan raya mulai dapat berfungsi semula.

Di Kota Padang sendiri, televisyen tempatan menyiarkan visual pelbagai usaha mencari dan menyelamat yang giat dijalankan pihak berkuasa termasuk tentera di beberapa buah hotel dan bangunan lain seperti pusat tuisyen, pada ketika bau mayat dikatakan sudah mulai menyengat.

Sekitar 100 mangsa dipercayai terhimpit di celah runtuhan lantai, bumbung dan dinding hotel Ambacang, 50 murid masih tertimbus tanah runtuh yang menenggelamkan sekolah mereka di Desa Tandidek, Pariaman dan 200 orang lagi masih hilang, juga dipercayai tertimbus runtuhan dua buah bukit di Petamuan, Padang Pariaman.

Setelah masuk hari keempat yang dianggap sangat genting bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk menemui dan mengeluarkan mangsa yang masih hidup, para pegawai pihak berkuasa berkata keluarga mangsa terutama yang tertimbus harus ikhlas merelakan kepergian keluarga mereka. BERNAMA

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

http://www.nuruliman.com.my/versi_melayu/images/stories/iftar1.jpg

Guru Tajwid berkata...

Assalamualaikum,

Sama-samalah kita menghadiahkan al-Fatihah kepada saudara kita yang telah kembali ke rahmatullah.

Selain itu,adalah lebih patut kita mengambil iktibar dan pengajaran dari kejadian ini.Allah s.w.t telah menunjukkan kekuasaan-Nya dengan mengizinkan berlakunya kejadian yang tidak diingini ini.

Hakikatnya,kita sebagai hamba yang lemah tidak akan mampu apa-apa sahaja yang berlaku dengan kehendak-Nya.

Tanpa Nama berkata...

beribu pengundi pos akan ditelan penipuan sekiranya pengundian telus tetapi simpanan sehingga pengiraan tak telus

Tanpa Nama berkata...

Sesungguhnya Dia juga lah Allah tuhan yg memerintah ketika memusnahkan kaum Nabi Lut, memusnahkan kaum Nabi Noh, Memusnahkan kaum Nabi Soleh dan memusnahkan ketika ini...Marilah kita elakkan kemurkaan Allah seperti kemurkaannya terhadap kaum kaum di atas.

YB