14 Oktober 2009

Chua Mahukan Ong Letak Jawatan, Desak Pemilihan Baru

PETALING JAYA, 12 Okt :- Bekas timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Isnin menggesa presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat, yang gagal mendapat kepercayaan majoriti anggota parti dan anggota jawatankuasa pusat (CC) yang dilantik oleh beliau, supaya berundur.

Dr Chua, yang penggantungan keanggotaannya ditarik balik oleh perwakilan pusat pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Sabtu lepas yang meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong, juga menuntut agar pemilihan baru di peringkat CC dipanggil segera bagi memilih barisan kepimpinan baru.

"Sejak EGM pada Sabtu, saya ada menerima banyak SMS dan panggilan telefon dari peringkat akar umbi mendesak Ong meletak jawatan. Bukan saya, tetapi akar umbi yang mendesaknya," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata pemilihan baru diperlukan bagi mencerminkan kehendak akar umbi dan wujudnya barisan kepimpinan baru yang dihormati anggota MCA dan rakyat.

Pada EGM itu, 2,304 perwakilan pusat meluluskan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ong.

Mereka juga meluluskan usul memulihkan keanggotaan biasa Dr Chua tetapi menolak usul mengembalikan jawatannya selaku timbalan presiden.

Berikutan itu, MCA akan mengadakan mesyuarat CC pada Khamis bagi membincangkan keputusan EGM itu dan hala tuju masa depan parti yang berusia 60 tahun itu.

Dr Chua berkata adalah adil jika Ong tidak mempengerusikan mesyuarat CC itu kecuali jika beliau ingin mengumumkan peletakan jawatan no.1 dalam parti.

"Dan ahli-ahli CC yang dilantik beliau juga harus turut meletak jawatan bersama beliau (Ong). Dan mereka juga tidak seharusnya hadir dalam mesyuarat (CC), barulah ada demokrasi," katanya dan menambah, "seorang anggota CC kemudian hendaklah dilantik mempengerusikan mesyuarat".

Dr Chua berkata mesyuarat CC merupakan peluang bagi para pemimpinnya membetulkan yang salah dan "jika mereka melakukan hal yang betul, ia merupakan peluang keemasan untuk meletakkan parti pada tapak yang betul.

"Tapi jika melakukan hal yang salah, membuat keputusan yang salah, saya khuatir (perbalahan) akan berlaku semula. Mesejnya jelas. Anda mesti tahu bagaimana mengikuti jalan tengah untuk menjejaki orang-orang di kedua-dua pihak. Jika tidak, maka akan terus ada keretakan dalam parti," tambahnya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jika pemilihan baru diadakan, beliau berkata beliau akan hanya komen bila CC telah membuat keputusan sama ada akan mengadakan pemilihan baru.

Beliau berkata selaku anggota MCA, beliau akan tetap memainkan peranan sebagai ahli dalam membantu memperkasakan parti dan Barisan Nasional (BN).

-- BERNAMA

2 ulasan:

david ahmad muniandy berkata...

baca lauk wajah ong tee kiat adalah seorang yang berkaliber semangat yang tinggi hendak mencapaikan cita-cita untuk mca nya tetapi disebaliknya hanya mementingkan diri apabila menghadapi sebarang cabaran dari pihak yang lain dan juga apa yang tidak memuaskan untuk ong dia akan mencabarnya demi diri sendiri sahaja.

dan chua soi lek lihat pergerakkan mata dia apabila dalam berita kaca tv, matanya memandang ke kiri kanan dan ke bawah menunjukkan dia hanya berpura-pura tidak berapa yakinnya...

david ahmad muniandy berkata...

kalau baca lauk wajak YB datuk yap pian hon sesuai memegang jawatan presiden dalam mca nya, kita lihat yap pian hon pergi ke mana-mana penampilan amat sederhana tidak serupa yang lain penampilan amat kemas dan lauk wajahnya tak berapa tampan...lihatlah united nation penampilan Kofi Annan macamana tidak serupa dengan bill clinton.