14 Oktober 2009

Tentera disaran daftar sebagai pengundi biasa

KUALA TERENGGANU, 13 Okt: PAS mengulangi saranan supaya pengundi pos di kalangan tentera mendaftar sebagai pengundi biasa di mana-mana kawasan yang mereka mahu.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, dengan cara itu menjadikan proses pengundian di kalangan anggota tentera menjadi lebih telus.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menyatakan demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya PAS Terengganu yang diadakan di pekarangan pejabat PAS negeri, Jalan Sultan Omar di sini, hari ini.

"Kita harap pengundi pos (tentera) kembali tempat masing-masing, jadi pengundi biasa, biar dia daftar di mana-mana kawasan yang dia mahu," ujarnya.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, beliau berkata, pengundi tentera tidak berpeluang mendengar penerangan daripada parti pembangkang.

"Tetapi parti kerajaan ada saluran untuk sampaikan kempen mereka kepada pengundi pos," katanya.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar mendapat hanya 601 undi pos berbanding calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad yang memperolehi 3,521 undi.

Image Ustaz Harun menyifatkan PAS bermain 'di padang yang tidak sama rata' menyebabkan Zulkefly yang mendapat 2,578 undi tewas kepada Isa dengan majoriti 5,435 undi.

Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi peluang kepada PAS untuk bermain di padang yang sama rata sama ada dalam pilihan raya kecil atau umum nanti.

Beliau juga menolak tanggapan pihak tertentu yang menuduh PAS sering menyalahkan SPR apabila calonnya tewas dalam pilihan raya.

Jelasnya, PAS menyalahkan SPR di tempat tertentu kerana tidak berlaku adil sebagaimana yang terjadi dalam pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, Ahad lalu.

Katanya, PAS membuat laporan berhubung petugas Umno yang mengganggu beberapa program yang diatur seperti rawatan perubatan percuma tetapi tiada tindakan daripada SPR.

"Kalau ada lagi tindakan seperti itu, PAS akan berunding dengan SPR supaya SPR dapat memberi ruang kepada petugas PAS bertugas dengan baik," ujarnya.

Begitupun, beliau yang juga Adun Manir melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan SPR yang masih tidak berubah untuk mewujudkan perjalanan pilihan raya yang telus walaupun sudah beberapa kali rundingan diadakan.

(Gambar:Pemegang jawatan Pemuda PAS Kelantan melaungkan takbir selepas menerima watikah perlantikan amereka)

Di KOTA BHARU, para petugas PAS menerima ucapan terima kasih dari Badan Perhubungan PAS Kelantan di atas kerjabuat mereka sepanjang bertugas di Bagan Pinang.

Setiausaha Perhubungannya, Mohd Zaki Ibrahim berkata, walau kalah, kerja mereka di Bagan Pinang akan menjadi pengalaman yang sangat bermakna dan melambangkan kesatuan petugas PAS Kelantan.

"Saya bagi pihak PAS negeri mengucapkan jutaan terima kasih kerana kesanggupan mereka ini dalam mempertahankan perjuangan parti dan biarpun mendapat seribu halangan dari pihak parti lawan, namun masih mampu bertahan sehingga ke hari mengundi,"ujar beliau.

Beliau ditemui di majlis penyerahan watikah perlantikan kepada Pemuda PAS Kelantan yang dipilih menganggotai lajnah yang ditubuhkan bertempat di Akademi Kepimpinan Pemuda PAS Kelantan Kok Lanas. _

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: