31 Oktober 2009

MONOLOG ORANG KAMPUNG: KESTABILAN POLITIK, PELABURAN ASING DAN PEMULIHAN EKONOMI

Email : Nasskey
perspektifsaya.blogspot.com


Dalam penulisan terbaru A.Kadir Jasin ‘Political Instability Can Sabotage Recovery’, menerusi ruangan ‘Other Thots’ (Malaysian Business, Okt 15th-31st), beliau mengulas tentang ketidakstabilan politik yang boleh memungkinkan gangguan kepada pemulihan ekonomi negara, terutamanya melalui persekitaran pelaburan. Antara lain Pak Kadir menulis:

“Both the ruling coalition and the opposition have been plagued by problems of late. This doesn’t augur well for us as an investment destination, especially when we are trying to recover from a global downtrend”

Sementara kita bersetuju dengan Pak Kadir, dalam masa yang sama, kita juga tidak harus lupa bahawa banyak perkara lain yang tidak kurang pentingnya berbanding kestabilan politik, khususnya untuk menjadikan negara ini destinasi mesra pelaburan.

Data yang dikeluarkan oleh BNM bahawa masih terdapat sedikit peningkatan FDI sebanyak RM3.6 billion, mengambilkira perbezaan suku tahun kedua tahun ini berbanding tahun lepas, menunjukkan bahawa masih terdapat keyakinan kalangan peniaga terhadap persekitaran pelaburan di Malaysia. Jadi masalah ketidakstabilan politik, berdasarkan situasi semasa, jika ada, mungkin tidak perlu dirisaukan sangat.

Kalau ada sedikit rasa gusar dalam kalangan pimpinan kita terhadap trend semasa aliran pergerakan pelabur, kegusaran itu harus difokuskan ke arah bagaimana untuk menjadikan mereka (pelabur) terus kekal menyumbang dalam negara ini. Maka, sebarang langkah yang boleh memastikan mereka tidak ‘cabut lari’ harus dilaksanakan segera.

Jika pelabur tempatan pun lebih berminat untuk berbelanja RM900 juta pelaburan keluar negara, seperti yang diumumkan oleh BNM untuk separuh penggal tahun ini, maka itu satu isyarat bahawa ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dalam sistem, iklim pelaburan dan amalan tadbir urus kita.

Dalam hal ini, saya bersetuju dengan Pak Kadir apabila beliau menyatakan bahawa walaupun ia jauh lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak RM2.8 billion, ia tetap memberikan kesan buruk terhadap perkembangan ekonomi negara dan pasaran tempatan dalam jangka panjang, jika trend itu berterusan. Maka, tidak ada makna jika pengaliran masuk berlaku tetapi dalam masa yang sama berlaku juga kebocoran. Ibarat mengisi air dalam baldi, sampai bila pun tak penuh!

Agensi Penarafan Antarabangsa

Oleh itu, tok-tok ketua kita tidak harus memandang ringan pandangan para pengkaji dan sarjana bahawa antara perkara utama yang mempengaruhi keputusan akhir pelabur untuk datang ialah bagaimana persepsi mereka terhadap keadaan negara ini. Kita jangan terlepas pandang, pelbagai agensi penarafan pelaburan wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan dewasa ini. Ada yang boleh dipercayai jujur, tidak kurang yang diragui, mungkin ada udang sebalik batu. Tapi, mereka inilah yang menjadi tempat rujukan dan bakal mempengaruhi keputusan para pelabur. Contoh paling dekat ialah peranan yang dimainkan oleh Transperancy International (TI).

Mari kita teliti umpamanya Global Corrupation Report 2009. Negara kita berada pada tangga ke-51 dengan skor 5.1, berbanding pesaing terdekat kita Singapura yang berada di tangga ke-4, dengan skor 9.1. Laporan ini tentunya akan mewujudkan persepsi bahawa negara kita dipenuhi rasuah dan perasuah, yang tentunya menggerunkan para pelabur. Dalam kes ini, sudah tentu Singapura yang lebih tega untuk dijadikan pilihan.

Mungkin kita kata ia cuma persepsi, seperti kata seorang menteri suatu ketika dahulu. Tapi, persepsi itulah yang perlu kita tangani. Kita tidak mampu lagi untuk meletakkan kesalahan ini kepada mereka yang menyediakan laporan tersebut. Memang kerja mereka. Ada baiknya menteri berkenaan mencari jalan terbaik menangani masalah ini dan menutup ruang musuh menyerang beralaskan kajian dan laporan. Lagi pula, tidak mungkin Laporan Tahunan Ketua Audit Negara juga satu persepsi?

Jangan lupa juga untuk menjenguk laporan IMD International menerusi kajian tahunan mereka IMD World Competitiveness Yearbook 2009. Sekali lagi negara kita berada jauh tertinggal di belakang; pada tangga ke-18 dengan skor 77.16%, berbanding negara pesaing, Singapura pada tangga ke-3 yang memperolehi markah 95.74%.

Kajian ini adalah berkaitan dengan tahap kecekapan tadbir urus dan budaya kerja di Malaysia, selain beberapa perkara penting lain. Sekali lagi Singapura menjadi lebih selesa untuk dijadikan destinasi pelaburan berbanding negara kita berdasarkan kajian ini.

Persepsi dan Keputusan Melabur

Sama ada kita setuju atau tidak dengan kajian-kajian tersebut, itu soal lain. Apa yang jelas, Laporan ini telah dijadikan salah satu kayu ukur dan rujukan oleh majoriti para pelabur antarabangsa untuk mendapatkan gambaran keadaan sesuatu negara sebelum membuat sebarang keputusan.

Sudah tentu begitu, mereka tentunya mahukan pulangan modal maksimum. Mereka mahu mengelak modal pelaburan besar yang dikeluarkan habis untuk bayar ‘tol’ selain membuang masa dengan birokrasi yang berjela panjang. Hal ini meningkatkan kos operasi berkali ganda. Dalam perniagaan yang bermatlamatkan untung maksimum, ia sangat merugikan.

Saya pasti, jika anda yang berada dalam situasi pelabur yang teringin untuk menanam modal di Malaysia, anda tentu teragak-agak dan membatalkan niat apabila mendapat tahu bahawa terdapat lebih 11,000 kes aduan setiap bulan, yang melibatkan agensi kritikal terhadap persekitaran perniagaan, seperti jabatan polis, kerajaan tempatan, JPN dan Imegresen.

Jadi, kepada pemain-pemain politik kita, berehatlah untuk seketika di pentas lakonon politik. Sama ada pemerintah atau penentang, penyokong yang membuta tuli dan penentang yang semborono; sudah sampai masanya untuk kita mencari titik temu menyelesaikan masalah di depan mata. Harta rampasan perang, bincanglah kemudian. Peperangan belum tamat malah peperangan sebenar masih belum memihak kepada kita lagi..!

Tiada ulasan: