12 Oktober 2009

Polis larang pamer logo parti

4.45pm Masa untuk membuang undi bagi menentukan ADUN baru Bagan Pinang tinggal lagi 15 minit sebelum ditutup rasmi.

4.23pm Seramai 6,301 pemilih, atau 69.5 peratus, di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga pukul 4 petang - sejam lagi sebelum tempoh membuang undi bagi pilihan raya kecil DUN tersebut ditutup.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan peratus keluar mengundi mencecah 80 peratus.

3.30pm Seramai 5,892 atau 65 peratus pemilih telah keluar mengundi sehingga jam 3 petang ini - dua jam sebelum pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang ditutup pada jam 5 petang.

2.53pm Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan mengejut berhubung pemakaian lambang-lambang parti di badan para penyokong di luar lapan pusat pembuangan undi.

Atas arahan suruhanjaya itu, polis mengarahkan semua petugas dan penyokong PAS serta BN menanggalkan sebarang simbol - termasuk pada pakaian seperti topi atau jaket.

Penggunaan kipas tangan dan payung yang bersimbolkan parti bertanding juga dilarang.

2.24pm Seramai 5,371 pemilih, atau 59.2 peratus, di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga pukul 2 petang - tiga jam sebelum tempoh membuang undi bagi pilihan raya kecil DUN tersebut ditutup.

2.15pm Wakil calon PAS, Ramli Ismail, membuat aduan polis tengah malam tadi, mendakwa 70 kertas undi untuk pemilih pos yang tidak membuang undi diserahkan pihak tentera.

Jumlah kertas ini - yang dicurigai oleh PAS - sepatutnya disimpan di pejabat pegawai pengurus pilihan raya DUN Bagan Pinang, katanya kepada Malaysiakini.

1.33pm Seramai 4,905 pemilih, atau 54.1 peratus, di Bagan Pinang membuat penentuan antara calon BN atau PAS sehingga jam 1 tengah hari ini dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.

1.27pm Pasukan peguam PAS mendakwa kes replika duit palsu RM100 yang ditabur di Taman Desa Sirusa semalam menjelang hari pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang satu bentuk provokasi BN, lapor media rasmi parti itu Harakahdaily.

Isu tiga keping duit RM100 yang bernombor siri sama telah diadukan kepada polis.

12.54pm Lapan pusat pembuangan undi di DUN Bagan Pinang mulai lengang menjelang tengah hari, dipercayai penyokong dan pemilih berehat makan tengah hari.

12.25pm Seramai 4,220 pemilih, atau 46.5 peratus, di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 12 tengah hari ini dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.

12.10pm: Beberapa penyokong parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang dilaporkan ditahan selepas berlaku satu pergaduhan di luar SK Teluk Kemang.

11.35am Insiden membaling batu dan botol air mineral berlaku di pusat pengundian di SK Teluk Kemang pada kira-kira jam 11.20 tadi. Bagaimanapun, anggota polis berjaya mengawal dan meredakan keadaan antara penyokong BN dan PAS.

11.20am Sebanyak 35.7 peratus pemilih biasa di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 11 pagi ini dalam pilihanraya kecil DUN tersebut. Pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

11am Calon BN, Tan Sri Isa Samad beredar dari Sekolah Bradwall di tengah laungan 'rasuah' oleh pemimpin PAS.

Isa berkata, peluang untuk beliau menang adalah cerah.

Ketika menemui seorang pengundi India, Isa berkata: "Jangan lupa dacing".

10.20am Seramai 2,168 atau 23.9 peratus pemilih biasa di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 10 pagi ini dalam pilihanraya kecil DUN tersebut. Pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

10.15am Calon BN, Tan Sri Isa Samad tiba di Ladang Siliau dan berjalan sejauh kira-kira 150 meter dari jalan utama ke pusat pengundian. Penyokong PAS di situ mula melaung menyindirnya berhubung isu politik wang.

10.10am Keadaan pusat pengundian di SK Panglima Adnan riuh rendah dengan penyokong BN dan PAS melaung antara satu sama lain. Kira-kira 5,000 orang berhimpun di situ. Beberapa penyokong sebuah parti kelihatan membaling botol air mineral melintasi jalan ke arah tempat penyokong PAS berhimpun.

9.30am Calon PAS, Zulkefly Mohd Omar tiba di SK Panglima Adnan, dengan diiringi ahli-ahli parti itu yang memakai baju dengan logo PAS. Beliau yakin mampu menang dan menggesa pengundi supaya keluar mengundi.

Sebelum itu, proses pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula sebaik sahaja pusat-pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi ini.

Hujan turun awal pagi tetapi berhenti sejurus selepas jam 8 pagi. Bagaimanapun, hujan renyai turun semula kira-kira 40 minit kemudiannya.

Terdapat 13,994 pemilih, termasuk 4,604 pemilih pos, yang layak mengundi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Pengundi pos telah selesai membuang undi dua hari lalu, manakala pengundi biasa seramai 9,060 orang, akan membuat pilihan mereka hari ini di lapan pusat pengundian yang melibatkan 18 saluran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 80 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Sabtu meminta petugas BN supaya menanggalkan jaket dan menutup payung mereka yang mempunyai logo parti.

Menurutnya, tempoh kempen tamat tengah malam tadi, maka tiada lagi bahan kempen seperti baju dan payung boleh digunakan hari ini.

Pilihan raya DUN Bagan Pinang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tan Sri Isa Samad dengan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor, pada 4 September lalu. Azman mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Polis telah menasihatkan pengundi khususnya supaya mematuhi arahan anggota pasukan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas, yang dijangka sesak berikutan kehadiran pelawat yang berkunjung ke pantai peranginan di situ pada hujung minggu.

Pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua lapan pusat mengundi terbabit.

Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan MPPD dan keputusannya
dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

8.51am Sekumpulan Pemuda Umno melaung kepada Pemuda PAS, sesiapa yang mahu arak, pergi ke Selangor.

8.50am Hujan renyai-renyai mulai turun di Teluk Kemang.

840am Hujan turun renyai-renyai semula di pusat mengundi SJK (T) ladang siliau.


8:25am Kira-kira 150 penyokong PAS berkumpul di luar sekolah kebangsaan Teluk Kemang untuk merayu undi. Beberapa orang pemandu kereta menunjukkan "tanda bagus" kepada penyokong PAS, dan penyokong membalas dengan laungan "Allahu Akbar".

8.20am Pemuda Kg Bagan Pinang menjerit "Anwar Rasuah" "Take Beer" dan "bapa rasuah". Ia sebagai membalas laungan penyokong PAS yang melaungkan "BN Rasuah". Kedua-dua penyokong melaung "Allahu Akhbar".

Kira-kira 100 penyokong PAS dan BN berkumpul di SJK (T) Ladang Siliau. Polis memantau keadaan. Langit kelihatan cerah, selepas hujan gerimis di sebelah pagi berhenti.

Kira-kira 100 penyokong PAS berhimpun di luar SK Telok Kemang dalam usaha terakhir merayu undi. Beberapa kereta yang lalu di situ membunyikan hon dan menunjukkan tanda sokongan. Penyokong PAS membalas balik dengan laungan 'Allahu Akhbar'.

8.05am Penyokong-penyokong PAS berdoa di luar pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ladang Siliau dalam Pekan Siliau.

8.00am Pengundian di Bagan Pinang bermula. Kira-kira 300 penyokong BN dan Pakatan Rakyat berkumpul di sepanjang jalan di pusat mengundi di Kg Bagan Pinang. Hujan yang turun sebentar tadi menyebabkan, ramai penyokong membuka payung masing-masing.

7.25am Polis mulai membuat sekatan di beberapa kawasan.

7.17am Hujan mulai turun seperti hari penamaan calon. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff berkata ramalan cuaca hari ini dijangka hujan disebelah pagi, tidak seperti dua hari sebelum ini yang kelihatan cerah.

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: