27 November 2009

10 peratus peningkatan kos pembinaan MRSM dipersoal

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar pagi tadi meminta kerajaan menjelaskan tentang peningkatan 10 peratus kos pembinaan beberapa projek MARA yang didakwanya meragukan.

"Saya agak terkejut dan ragu apabila membaca jawapan yang diberikan oleh Kementerian (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah - KKLW)...saya lihat ada sesuatu yang tidak kena," jelasnya.

"Saya bertanya tentang projek pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang mengalami 10 peratus pada kos pembinaan, daripada badjet asal."

Beliau menyifatkan jawapan bertulis KKLW perlu diambil perhatian dalam dewan perbahasan.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS mendedahkan peningkatan 10 peratus kos pembinaan tersebut membabitkan 16 MRSM di seluruh negara.

"Bukan saja melebihi 10 peratus, malah (MRSM) kosnya meningkat sampai 387 peratus umpamanya seperti di Maktab Rendah Sains Mara di Betong, Sarawak," jelas sambil memegang transkrip berkaitan.

Tambahnya lagi, kos pembinaan MRSM Sungai Besar, Selangor turut mengalami peningkatan kos pembinaan sebanyak 52 peratus.

"Kos asalnya 45 juta ringgit, tapi meningkat hingga 68.6 juta, maknanya peningkatan luar biasa sampai 52 peratus," ujarnya.

Beliau juga meragui beberapa alasan yang diberikan kementerian terbabit, ekoran peningkatan kos pembinaan itu.

"Alasan yang diberikan kepada saya semalam adalah harga besi dan kabel naik antara 30 hingga 50 peratus disebabkan permintaan yang tinggi oleh (negara) China waktu Sukan Olimpik lalu."

"Sedangkan harga besi naik hanya dalam masa tiga bulan saja, dari April hingga Jun untuk tahun 2008 saja...walhal projek-projek MRSM yang saya maksudkan sejak tahun 2006 lagi," jelasnya.

Disebabkan peningkatan kos pembangunan itu, Mahfuz mendedahkan bahawa kos pendidikan MARA dikuncupkan.

"Tahun 2009 dari bajet pembangunan sebanyak RM883 juta turun sampai RM334 juta saja...hampir separuh penurunan itu dan ianya membabitkan bidang pendidikan," jelasnya.

Menurut Mahfuz, kerajaan telah mengecilkan bajet pendidikan MRSM dan Kolej Sains Mara dari RM293 juta pada tahun 2009 pada RM116 juta saja pada tahun 2010.

Bajet pendidikan Institut Kemahiran Mara (IKM) turut dikecilkan dari RM403 juta (2009) pada RM143 juta (2010).

Bajet pendidikan Kaunseling Bimbingan Usahawan (KBU) turut dikecilkan dari RM5 juta (2009) pada RM445 ribu sahaja.

Bajet pendidikan Program Giat Mara (PGM) turut dikecilkan dari RM20 juta (2009) pada RM16 juta sahaja.

Beliau juga nekad melaporkan kes-kes berkaitan MRSM tersebut kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen dalam masa terdekat.

Beliau juga mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes tersebut secara agresif, sama seperti siasatan suruhanjaya tersebut ke atas beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini.

Semalam, Mahfuz meminta KKLW menjelaskan tentang penguncupan bajet pendidikan ke atas MRSM.

Menjawab soalan dalam sesi lisan itu, Timbalan Menterinya berjanji untuk memberikan jawapan bertulis.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: