03 Disember 2009

Ketakutan Umno: Kelantan kekal jika Nik Aziz kekal

Saya sebagai rakyat Kelantan rasa terpanggil untuk mempertahankan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Memang wajar tindakan Nik Aziz itu kerana kebanyakan pemimpin (Umno) Kelantan terdiri daripada kalangan mereka yang mengamalkan rasuah.

Jika orang sebersih Nik Aziz didesak supaya letak jawatan, bermakna mereka lebih suka orang rasuah menjadi pemimpin peringkat negeri dan pusat. Begitu juga dengan sikap penganalisis politik yang menghentam Nik Aziz.

Umno dan pemimpinnya yang bergelumang dengan rasuah sepatutnya tidak dibiarkan terus menerajui kepemimpinan negeri dan negara kerana ia akan membuatkan rakyat menderita dan negara bankrup. Oleh itu rakyat perlu sedar dan tahu menilai pemimpin yang macam mana harus terus dipilih atau disingkir, yang rasuah atau bersih.

Pemimpin Umno bukan sahaja perasuah, malah enggan melaksanakan hukum hudud Allah dengan memberikan pelbagai alasan menyebabkan kadar jenayah di negara ini semakin meningkat dan penjenayah semakin bermaharajalela.

Pemimpin Umno patut dianggap kejam kerana tidak berlaku adil kerana ada negeri diberikan royalti sedangkan Kelantan akan diberi wang ehsan, sama seperti yang dialami Terengganu ketika Negeri Darul Iman itu diperintah PAS.

Jika beginilah sikap pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri, tidak mustahil beberapa negeri lagi, terutama Terengganu akan jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Saya hairan kenapa ada orang Islam sendiri tidak senang hati dengan Nik Aziz sebab itu mereka mahu Menteri Besar Kelantan itu meletakkan jawatan. Bagi saya ada baiknya mereka mendesak pemimpin Umno yang korup itu meletakkan jawatan berbanding desak Nik Aziz yang lebih berhemah dan warak itu.

Tidak sepatutnya beberapa penganalisis politik termasuk Prof. Datuk Zainal Kling, Datuk Dr Kamarudin Kachar mendesak dan menuduh macam-macam terhadap Mursyidul Am PAS itu termasuk tidak membela Islam sedangkan yang paling tidak membela Islam ialah pemimpin Umno. Prof Datuk Zainal Kling mungkin diperalatkan untuk membuat tuduhan yang tidak wajar itu.

Saya petik apa yang ditulis Tun Dr Mahathir:

"Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga."

Untuk pengetahuan penganalisis politik berkenaan, kerana kepemimpinan Nik Aziz diterima ramai rakyat Kelantan menyebabkan Negeri Cik Siti Wan Kembang itu kekal diterajui Pas dapat bertahan hingga sekarang iaitu sudah lebih 18 tahun.

Umno dan BN mahu Nik Aziz letak kerana kerana pemimpin Umno merasakan sukar untuk merampas Kelantan selagi pemimpin PAS berpengalaman itu kekal menerajui Kelantan.

Bagi saya BN jangan bermimpi untuk memerintah Kelantan selagi Nik Aziz tidak meletakkan jawatan dan saya sendiri sebagai rakyat Kelantan akan terus memilih Pas kekal memerintah negeri daripada ia diterajui pemimpin yang rakus kuasa dan rasuah.

Noor, KL

HarakahDaily.Net/-

2 ulasan:

Fitrahi Al'Imani berkata...

Alhamdulullah...Allah swt berserta kepada orang-orang yang benar!!!

Tanpa Nama berkata...

Semua makhluk akan mati termasuk TGNA tapi islam tetap akan menang di dunia dan akhirat.