17 Disember 2009

Najib didesak pecat setpol

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak didesak menasihatkan Setiausaha Politiknya, Datuk Shafie Abdullah agar segera meletak jawatan demi menjaga nama baiknya.

Menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong, sekiranya Najib enggan berbuat demikian, Shafie sendiri dinasihatkan meletak jawatan demi memelihara imej Najib.

"Saya harap Setpol (Setiausaha Politik) ini digantung oleh Perdana Menteri sendiri dengan segera supaya siasatan boleh dijalankan dengan licin," tegas Wee di Parlimen pagi tadi.

"Kalaulah Shafie Abdullah ini berkepentingan (iaitu) nak jaga Tuannya (Najib), dia harus letak jawatan untuk jaga imej Perdana Menteri."

Beliau turut memuji keputusan Parlimen menerima usul tergemparnya pagi tadi bagi menubuhkan suatu jawatankuasa khas menyiasat beberpa dakwaannya berhubung salah laku Shafie.

"Seseorang Setpol seperti Shafie tugasnya (adalah) jaga Ketuanya (Najib)...maka jangan halang kerja saya di Parlimen," jelasnya.

Tambahnya lagi, keputusan tersebut seharusnya dijadikan pengajaran kepada setpol para Ahli Parlimen BN yang lain.

"Setpol yang lain pun (dinasihatkan) ambil pengajaran supaya tidak campurtangan lagi dalam urusan Parlimen dan kerajaan," jelasnya.

Selasa lepas, Wee turut mendakwa Shafie sebagai Menteri De Facto Wilayah Persekutuan.

Ekoran dakwaan itu, Shafie menyerang Wee sejurus Ahli Parlimen PKR itu keluar ke Lobi Parlimen.

Tindakan Shafie itu disifatkan Wee sebagai mengganggu tugasan-tugasan lazim seorang Ahli Parlimen.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: