17 Disember 2009

Pakatan Rakyat perlu serius tempatkan diri

KOTA BHARU, 15 Dis: Pakatan Rakyat perlu menunjukkan kesungguhan dan kemampuan untuk sedia menjadi pemerintah negara menggantikan Umno Barisan Nasional dalam setiap ruang dan peluang yang ada.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata pakatan pada waktu ini mempunyai peluang terbaik menonjolkan segala aset kepimpinan yang dimiliki ketiga-tiga gabungan PAS, PKR dan DAP.

"Dan mesti serius di dalam menempatkan diri kita itu. Tidak boleh bercakap saja. Kita mesti buktikan bagaimana kita harus menampilkan diri kita, kepimpinan kita dan cara berpolitik kita.

"Kalau kita mengguna pakai (pendekatan) politik baru, (maka) cara politik lama tidak boleh terpakai lagi, pemikiran mesti kontemporari dan mentala'ah setiap ruang yang mendepani kita.

"Oleh itu saya menegaskan bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat Malaysia kini mempunyai aset yang sangat penting iaitu integriti, dan (antaranya) terdapat pada dua orang Tok Guru dan rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat Malaysia" katanya ketika berucap di Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2009 di Nilam Puri dekat sini baru-baru ini.

Pakatan Rakyat kini katanya sedang berdepan pelbagai strategi musuh yang mahu pakatan terkubur.

Sehubungan itu, peluang yang ada perlu diguna semaksima mungkin untuk terus mendapat kepercayaan rakyat khususnya memperlihatkan integriti dalam pemerintahan di beberapa buah negeri di bawah pakatan rakyat.

"Najib tidak ada cara lain (apabila) berhadapan dengan Pakatan Rakyat melainkan (beliau kemungkinan akan) menggunakan (tektik) konspirasi kotor dan menggunakan kaedah 'pembunuhan' kareer politik lawan, dan itu yang mereka akan gunakan.

"Mereka cuba 'bunuh' satu-satu termasuk Tok Guru kita dan kepimpinan Pakatan Rakyat. Apa saja ruang yang mereka dapat pada hari ini, akan dilakukan bermacam-macam, namun kita akan semampu mungkin membuktikan integriti kita dan integriti yang ada pada kepimpinan kita," katanya sambil melahirkan keyakinannya bahawa manusia akan berubah.

Cita cita untuk mengambil alih pemerintahan negara katanya boleh dicapai jika kena dengan gaya dan kaedahnya.

Pilihan Raya Umum lalu dan beberapa siri Pilihan Raya Kecil selepas itu katanya menunjukkan rakyat boleh memberi sokongan kepada pakatan.

"Manusia dan negara bukan batu, bahkan dinamik. Kalau kena cara kita, kalau lestari pendekatan kita, bahkan andainya meningkat sokongan ahli dan mandat diberikan, insya Allah PAS dan Pakatan Rakyat berjaya dalam Pilihan Raya Umum ketiga belas nanti.

"PAS tampil ke hadapan bersama dengan Pakatan Rakyat, membina satu persepsi yang kukuh supaya rakyat Malaysia memberikan mandat itu kepada kita dan PAS mestilah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Manakala PAS pula katanya harus terus memandang ke hadapan bersama pakatan rakyat dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan utama parti.

"Kita tidak ada jalan lain melainkan memandang ke hadapan, kita terus ke hadapan dengan Pakatan Rakyat, insya Allah kita akan sampai ke Putrajaya dalam (melalui) Pilihan Raya Umum yang akan datang.

"Semuanya mendapat keuntungan sekiranya kepimpinan bijak di dalam menentukan keputusan bagi mewakili gerakan Islam ini," katanya.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nak serius macam mana sidang Parlimen ramai pakatan tak hadhir samaje macam BN penting diri sendiri.Kalau tidak BN dah kalah masa memgundi tentang Bajet boleh menyebabkan BN tumbang mungkin ada beberapa wakil Parlimen pakatan rakyat lebih suka BN terus memerintah asalkan mereka wakil parlimen pakatan rakyat terus dapat memperkayakan diri sendiri.