08 Disember 2009

Pemuda PAS beri sokongan kepada skuad bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memberikan sokongan penuh kepada pasukan bola sepak Malaysia yang akan berdepan pasukan Vietnam pada petang ini.

Ketuanya. Nasrudin Hassan berkata, meskipun Vietnam turun dengan rekod cemerlang merka pada 2007, namun beliau yakin skuad bola sepak negara mampu mengalahkan Vietnam seperti yang dilakukan pada temasya sukan SEA di Kuala Lumpur tahun 2001.

Ketika itu, skuad negara berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Vietnam pada aksi peringkat kumpulan.
Namun pada sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, Vietnam mengalahkan Malaysia 3-1 pada saingan peringkat kumpulan.

"Kami harap Malaysia menang berbekalkan semangat dan kesungguhan mengangkat maruah negara.

"Kemenangan petang ini penting untuk melonjak reputasi pasukan negara dan sekaligus memperbaiki ranking negara di papan utama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).Selamat maju jaya,"katanya dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas (sms) kepada Harakahdaily.

Malaysia akan menentang Vietnam pada aksi kedua kumpulan A pada jam 3 petang ini (4 petang waktu Malaysia) di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, Vientiane, Laos.

Seterusnya Malaysia akan menentang Kemboja pada 8 Disember dan juara bertahan Thailand pada 11 Disember.
Pada aksi pembukaan acara bola sepak Sukan SEA XXV Malaysia membelasah Timor Leste 11-0.

Sukan SEA ke-25 di Laos akan membuka tirainya secara rasmi pada Rabu depan.

Kontinjen negara mensasarkan kutipan 30 hingga 35 pingat emas menerusi 21 acara sukan yang disertai.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara akuatik (renang dan terjun), taekwondo, memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping-pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu.

Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dengan 111 pingat emas.

HarakahDaily.Net/-

2 ulasan:

WUZARA berkata...

Assalamualaikum wbt ustaz...

Saya istighfar apabila membaca laporan ini. Bagaimana sebuah Parti Islam boleh menyokong Pasukan Bola Sepak yang diadakan secara teroganisasi.

Jika kita membuka kitab para fuqaha, nescaya kita akan dapati bahawa Islam membenarkan sukan atas kapasiti menjaga keseihatan sahaja. Ramai ulama' yang menghadkan sukan hanya boleh dimainkan sebatas yang ada kaitan dengan jihad, selain dari itu adalah haram. Antara yang berpandangan sedemikian adalah Imam Ad Dzahabi dalam kitab Al Kabaair (dosa2 besar). Manakala Imam syafie berpandangan bersukan adalah mubah, tetapi yang asyik bersukan disifatkan sebagai jorok atau lemah akhlaknya. walaubagaimana pun menjadi pemahaman yang cukup jelas bahawa sukan yang terorganisasi seperti MSSM, Sukan Sea, Liga Super, Piala Malaysia hukumnya adalah sama sekali haram.

Jika mengkaji pemahasan fiqih bagi soal permainan dan sukan ini, kita akan dapati bahawa ia bukanlah suatu yang diutamakan dalam Islam. Muslim bersukan dalam rangka untuk berjihad bukan keseronokan sebagaimana hari ini. Tindakan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyokong pembangunan sukan negari seperi skuad bola sepak mahupun sekongan di Sukan Sea ini jelas adalah tindakan yang tidak selari dengan hukum syara. Keterlibatan dalam bentuk sukan begini adalah haram.

Semoga teguran terbuka dari saya ini tidak disalahertikan. Sekian muhasabah dari saya. Wallahua'lam.

cikgunizar berkata...

en wuzara.. itu pandangan saudara yang sukan2 yang disebut itu haram.... apa kata saudara pergi mengumumkan secara langsung di mana2 ceramah dan sidang media menjelang PRU13 nnt.. lepas tu boleh la PAS menjadi parti yang org2 tua dan budak2 pondok saja yg sokong, bukan lagi secara meluas seperti sekarang...

berani kerana benar.. saya mencabar saudara supaya mengusulkan secara terbuka kepada PAS di HARAKAH atau mana2 media alternatif lain..

wassalam....