11 Januari 2010

ISA bukan penyelesaian isu bom gereja - GMI

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk menahan pihak yang terlibat dalam insiden membakar gereja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan berkata, penggunaan ISA tidak akan menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya akan menimbulkan suasana tegang di negara ini.

GMI, tegasnya tidak menafikan perbuatan mengebom rumah ibadat itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melampau serta mewujudkan ketegangan di kalangan masyarakat yang berbeza agama.

Namun, katanya GMI mahu kerajaan membuat siasatan yang betul dan menghadapkan pihak yang disyaki terlibat ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

“Kami (GMI) memahami keperluan kerajaan untuk mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bersalah malah GMI menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang cuba mewujudkan huru-hara di negara ini. Namun mestilah mengikut undang-undang melalui perbicaraan di mahkamah, bukan menggunakan ISA,” katanya.

Tegasnya, GMI terus mengutuk penggunaan undang-undang zalim ISA yang melakukan penahanan tanpa melalui proses pengadilan yang sebenar yag jelas melanggar hak asasi manusia dan undang-undang negara.

“Kerajaan hanya membuat tangkapan dan menahan tahanan tanpa bicara mengikut andaian mereka bahawa seseorang itu bersalah, sedangkan andaian itu belum tentu betul. Ini sememangnya tidak adil dan merupakan satu penderaan mental yang teruk terhadap tahanan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, GMI menyeru agar kerajaan berhenti menahan seseorang di bawah ISA dan menghapuskan terus undang-undang zalim itu serta membebaskan semua tahanan dengan membawa mereka ke muka pengadilan.

Kenyataan beliau itu sebagai mengulas kenyataan Hishammuddin semalam bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, malah sedia menggunakan ISA untuk menghalangnya.

Semalam, tiga gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara mengalami kerosakan apabila dibaling dengan bom buatan sendiri.

Insiden itu berlaku ekoran kontroversi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan milik gereja Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Tiada ulasan: