11 Januari 2010

Jauhi sebarang provokasi, bertenanglah

24 Muharram 1431H
Al-brangi

Pakatan Rakyat bersepakat mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan merosakkan rumah ibadat orang-orang Kristian, satu perbuatan oleh golongan yang bacul lagi tidak bertamadun.

Apakah dengan melakukan perbuatan terkutuk itu telah menaikkan 'maqam' anda, telah menaikkan 'darjat' anda di sisi Allah SWT?

Apakah dengan berkelakuan seperti itu telah membuktikan anda betul-betul sayang kepada Allah? Betul-betul sayang kepada Islam? Betul-betul sayang kepada ajaranNya?

Islam tidak mengajar kita pergi men'jahanam'kan rumah-rumah ibadat bukan Islam. Usah menjadi juara dengan cara itu. Usah ber'main' dengan api dan seolah menghasut orang ramai mengikut cara yang tidak bertamadun itu.

Sayang kepada Allah, sayang kepada Islam bukanlah dengan cara itu. Buktikan dengan cara kita melipatgandakan amal ibadat kita, memperdalami lagi ilmu Islam kita. Buktikan sayangnya kita kepada Islam dengan cara memperjuangkan Islam mengikut susunatur dan lunas undang-undang negara.

Diharap pihak berkuasa dapat memadamkan setiap api kemarahan ini dengan paling berhikmah kerana dikhuatiri jika lambat dibendung, kemelut ini mungkin berpanjangan.

Jauhilah sebarang provokasi dari mana-mana pihak, walau bagaimanapun yang bersalah tetap bersalah kerana kita hidup terikat dengan undang-undang, tiada siapa hidup melepasi undang-undang.

Biarlah mereka dengan agama mereka dan kita dengan agama kita. Tugas kita hanyalah menyampaikan dakwah kepada mereka. Berbanyakkan doa kita kepada mereka agar mereka mendapat hidayah dari Allah SWT.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: