11 Januari 2010

Lebih 3,000 tertipu labur RM25 juta ternak cacing

25 Muharram 1431

KULIM: Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan oleh penganjur skim pelaburan penternakan cacing di sini, kira-kira 3,000 pelabur kerugian lebih RM25 juta apabila penganjur melarikan lari.

Malah pejabat penganjur skim itu, Kulim Worms Agrotec (KWA)(M) Sdn Bhd, di Kelang Lama di sini, disita pemilik bangunan awal Disember lalu kerana tidak melunaskan sewa hampir RM10,000.

Setelah merasa tertipu, lebih 200 mangsa skim tersebut membuat laporan polis di balai polis di sini sejak awal bulan ini.

Dalam sidang media oleh mangsa skim tersebut di hadapan premis KWA di sini hari ini, pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak itu mendakwa melabur antara RM5,000 dan RM3 juta sejak Jun 2008.

Menurut risalah KWA, syarikat itu menjalankan penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usahasama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB).

KWA membuka tujuh cawangan iaitu di Sungai Petani, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Butterworth dan Tunjang di Kubang Pasu dengan Kulim sebagai cawangan utama bagi memudahkan orang ramai melabur dalam skim yang disediakan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Salleh, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pelabur skim terbabit dan berkata polis sedang menyiasat kes itu.

Sementara itu, dua pesara mendakwa melabur RM150,000 hasil simpanan dan gratuiti mereka sejak September tahun lalu.

Pesara Jabatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shahibul Kiraya Haliman Shah, 56, berkata dia melabur sebanyak RM35,000 manakala bekas guru, Omar Ismail melabur RM115,000 setelah dijanjikan pulangan bulanan sebanyak 3.3 peratus.

"Saya turut melabur RM15,000 untuk menternak cacing setelah mengikuti kursus anjuran KWA dan setakat ini hanya mendapat pulangan berjumlah RM20,000 iaitu bayaran untuk September dan Oktober lalu," katanya.

Seorang peniaga, K Jayakumar, 42, dari Taman Kulim Square, Lunas dekat sini bersama 10 anggota keluarganya kerugian hampir RM500,000 kerana menyertai skim pelaburan KWA sejak 6 Jun tahun lalu.

Jayakumar berkata, mereka hanya dibayar sebanyak dua kali daripada pelaburan yang dibuat dan beberapa cek pembayaran selepas itu ditolak oleh bank.

"Kami merayu pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengembalikan wang pelaburan yang dibuat kerana ramai yang meminjam dari bank dan saudara-mara untuk membuat pelaburan tersebut," katanya.

Sementara itu, Mohd Faisal Mohd Noor, 27, pengarah Green Millennium Agrotec (M) Sdn Bhd (GMA), iaitu syarikat yang mengendalikan penternakan cacing bagi pihak KWA, mendakwa KWA menggunakan kepala surat GMA untuk mengambil wang pelaburan daripada penternak dan pelabur skim itu, menyebabkan syarikatnya kini berada dalam dilema. - Bernama

8 ulasan:

WAi berkata...

Lagi kes orang ramai ditipu, sampait hari ini x settle2..

Nama syarikat: Hadhari Cattle Industry Sdn. Bhd.

tapi xtau ada kaitan dgn gang2 paklah atau tidak.


http://mullahkane.blogspot.com/2009/02/usahawan-hadhari-cattle-industry-sdn.html

http://mullahkane.blogspot.com/2009/06/tauke-lembu-buntu.html


http://www.youtube.com/watch?v=4wsrQJJsGIw

http://www.youtube.com/watch?v=dQDatO8gSJk

janji2 yg dibuat didalam video diatas ini pon, dimungkiri.

YB, tolong kami.

Tanpa Nama berkata...

Dah banyak kes terjadi mengapa tak serik. Jangan tamak nanti rugi.Ini semua kes nak untung cara mudah dan cepat. Syukurlah dengan apa yang ada. Fikir secara logik.

Tanpa Nama berkata...

ada satu formula pasal pelaburan. kalau dividen lebih dari 1.5% sebulan depa janji nak bagi. jangan dok percaya la. 300% kena tipu, mana boleh bagi 18% setahun. ingat senang nak bagi untung banyak tu. ingat kos lain, gaji pekerja, dll tak payah bayar. ada hadis rasullah sabda, kalau dalam mencari rezeki ada kesulita, kesulitan tu pun allah bagi pahala. ni apa cerita dok saja goyang kaki.

Tanpa Nama berkata...

tiada kemewahan tanpa usaha'
biar miskin harta tapi kaya budi
biar papa di dunia jangan kedana di sana
biar mati ada bakti

Tanpa Nama berkata...

Satu lagi skim cepat kaya yang wujud. Jgn tertipu dgn Stedy Global Network bersama Mccren Oceanus. Mula mula anda dikehendaki melabur RM2000, lepas itu anda akan diundamng ke MNU. Di dalam MNU anda akan diberitahu kena melabur RM31000. Dia org pandai brainwash. Berhati-hati.

murtadho berkata...

Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB)yang merupakan rakan usahasama dengan syarikat cacing tersebut. Koperasi ini banyak sangat rekod MENIPU pelabur-pelabur. pejabatnya terletak di persimpangan bulatan kg pandan menghala ke tabung haji.
Pengerusi koperasi ini bernama dato' prof Ali Baharom, kini juga sebagai Yang di Pertua Angkasa. Amat malang sekali ANGKASA kini dipimpin oleh oran yang seperti ini. Merata-rata pergi kempen suruh orang melabur projek cacing. dah berapa banyak koperasi & ahli-ahli koperasi yang menjadi mangsa.

Tanpa Nama berkata...

nasib baik saya tak ikut serta dalam program ni, kalau tak linkup aku

Tanpa Nama berkata...

Berita Utara
January 15, 2010 21:34 PM

Suami Isteri Serah Diri Bantu Siasatan Skim Pelaburan Ternakan Cacing

KULIM, 15 Jan (Bernama) -- Sepasang suami isteri yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes skim pelaburan ternakan cacing di Kilang Lama di sini, telah menyerah diri di balai polis Kulim di sini Khamis dan Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Mohd Salleh berkata lelaki berumur 46 tahun itu menyerah diri pada kira-kira pukul 11 pagi semalam manakala isterinya yang berumur 42 tahun menyerah diri pada kira-kira pukul 10 pagi hari ini.

"Kedua-dua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung dengan kes yang dilaporkan oleh para pelabur mendakwa kerugian berjuta ringgit akibat menyertai skim ternakan cacing anjuran sebuah syarikat sejak Jun 2008," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata empat lelaki yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu telah dibebaskan.

Setakat ini, lebih 176 pelabur telah membuat laporan polis di beberapa buah balai polis termasuk dari Sungai Petani, Pendang, Alor Setar dan Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Rabu lepas, penternak cacing yang juga pengasas ladang ternakan Klang Worm Agrotech (KWA) G. Sivakumar Rabu meminta kira-kira 3,000 pelabur dan penternak yang kerugian lebih RM30 juta melalui skim pelaburan penternakan cacing menghadiri satu perjumpaan yang dijadual hari ini di cawangan syarikat itu di Kuala Lumpur, bagi membincangkan tindakan lanjut berhubung kes itu.

Menurut risalah KWA, syarikat itu menjalankan penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usahasama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB).

KWA membuka tujuh cawangan iaitu di Sungai Petani, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Butterworth dan Tunjang di Kubang Pasu dengan Kulim sebagai cawangan utama bagi memudahkan orang ramai melabur dalam skim yang disediakan.

KWA, yang ditubuhkan pada 2008 itu, dikatakan menggunakan Green Millenium Agrotech (M) Sdn Bhd, yang bertindak sebagai penternak cacing bagi pelabur.

Bagaimanapun, syarikat induk itu dikatakan memungut wang pelaburan tanpa pengetahuan Green Millenium.



-- BERNAMA