04 Januari 2010

Nama ALLAH dalam THE HERALD:Di mana kita?

17 Muharram 1431

http://peguamkita.blogspot.com/

Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja.

Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya.

Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.

Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka.

Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima?

Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu.

Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, di mana kita?

12 ulasan:

Muhammad berkata...

Assalamu Ala man Ittabaa' al-Huda.

Umat Kristian adalah betul dalam istilah mereka menyebut nama Allah selagi mereka tidak mengatakan dan bermaksud Allah itu Isa.

Bahkan dengan pengakuan mereka bahawa Allah swt itu wujud, akan membolehkan kita berdebat bersama mereka untuk mengatakan bahawa Allah swt itu tidak ada anak.

Dalam Islam juga ada perselisihan mengenai Allah swt bertempat atau tidak. Ahluss Sunnah mengatakan bahawa Allah swt tidak bertempat. Wahabi Pula mengatakan Allah swt itu bertempat. Kedua-dua pihak masing-masing menggunakan dalil-dalil dari al-Qur'an dan sunnah.

Sebenarnya dua-dua tidak dapat mempastikan mana yang salah dan mana yang betul. lalu kata-kata siapa yang boleh di ikut.

Sebenarnya Nabi Muhammad saw sendiri pernah melarang kita untuk membicarakan perkara yang misteri ini lebih jauh daripada apa yang telah diajarkan di dalam al-Qur'an dan Sunnah.

Tentang roh yang ada di dalam tubuh kita sahaja, kita tidak tahu hakikatnya. Apatah lagi Allah tuhan yang maha esa. lalu jawapan bagi pertikaian itu ialah berhenti dari memikirkan samada Allah itu diam di suatu tempat atau tidak.

Mengenai dengan penggunaan Nama Allah pula, selain dari menggunakan Mahkamah Islam Antara Bangsa. Kita juga boleh menggunakan cara perdebatan di antara muslim dan non muslimm. Cara ini pun baik juga kerana Islam membenarkannya.

Mungkin dengan cara ini masyarakat non muslim akan lebih tahu mengenai Islam berbanding dengan sebelumnya. Amin.

Sila layari: http://rahsia-rahsiabesardalamal-quran.blogspot.com/

dan

http://surah-al-kahfi.blogspot.com/

wassalam

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah, bijak kupasan ni... mempertahankan islam adalah dengan mengamalkan ajaran islam keseluruhannya.

Tanpa Nama berkata...

Isu penggunaan kalimah Allah diibaratkan kempen dari kerajaan BN,isu ini timbul ketika kempen ``Umno Juara Rakyat'' dilancarkan..jika kerajaan mau diharamkamkan digunakan oleh pihak gereja,mereka boleh lakukan pada awal..bukan sekarang,kerana ada udang sebalik mee..umno memperjudikan nasib org islam dimalaysia ini..

Muhammad berkata...

Assalamu 'ala man ittaba'a al-Huda.

PAS pun boleh tompang sekaki. Walaupun ianya dari BN, namun Taqdir tetap di tangan Allah swt.

Walau gajah hendak ditembak depan mata namun kalau tidak bertawakkal kepada Allah swt dan membaca wirid dan bacaan yang disarankan , boleh jadi kawan pula yang akan tertembak.

Oleh itu hati-hati, jangan lepaskan peluang yang ada untuk berdakwah. itu adalah lebih baik dari tuduh menuduh.

Jangan biarkan peluang yang ada untuk berdakwah ini terlepas begitu sahaja sia-sia.

Ingat Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum jika mereka tidak mengubahnya sendiri. Dan macamana kita hendak mengubah nasib kita kepada yang lebih baik jika kita asyik bertekak dan berkelahi.

Roket orang lain sudah sampai ke Saturn. Kita Bulanpun belum lagi. Macamana kita hendak berdakwah kalau macam ini?. Macamana kita kita boleh mengaku bahawa Nama Allah itu kita sahaja yang punya?

Wassalam

hamdan al-kandahlawi berkata...

asyik nampak umno salah..cerita bab ni panjang lebar kt budak2 tadika..budak2 sekolah..remaja2 yg dh tersasar jauh..ada depa nk ambik tau?ckp ngn puak2 sealiran memang sentiasa nampak betul.tapi lihat kepada keadaan semasa sekarang,kebenaran penggunaan itu sebenarnya beri banyak impak negatif,walau apa jua hujah sekalipun nak memenangkannya.Kalau yg mengaku pendukung Islam pun asyik sibuk dengan kempen & kerja politik tk habis2..ada masa ka nak didik remaja belia anak muda luar sana?

david ahmad muniandy berkata...

orang yang suka membelotkan agama Islam adalah orang yang paling kejam dari orang pembelot negara.

abu zakwan berkata...

Assalamu'alaikum
Saya amat bersetuju yang kalimah Allah itu bukan haq mutlak orang Islam sahaja. Sejak Nabi Adam lagi Tuhan itu adalah Allah. Allah adalah Tuhan Nabi Musa dan juga Tuhan Nabi Isa dan pengikut-pengikut mereka. Memang inilah peluang yang terbaik bagi kita berdakwah dan membetulkan keadaan bukan hanya melaung tentang tanpa mengetahu hakikat senebar. Dengan cara ini orang Muslim sudah mengaku kalah sebekum berjuang dan orang Muslim telah mengaku tidak berupaya untuk berdepan dengan orang Kristian dan Yahudi. Dimanakah letaknya pewaris-pewaris nabi? Wassalam

david ahmad muniandy berkata...

Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? " (87, An-Nisa').

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur'an" (23, Al-Zumar).(bukan dari Bible)

" .. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tetap memimpin ke jalan yang lurus." (52, Al-Syura).

"Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa hidayat pertunjuk dan agama yang benar (Agama Islam) (28, Al-Fath).

Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!;

serta Baginda bersabda: "(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat".

Kemudian Baginda bersabda lagi: "Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya".(Muslim dan Lain-lainnya).

Kita sebagai waris umat Muhammad S.A.W telah diamanahkan kepada kita sebuah kita Al-Quran yg menjadi pembimbing dan petunjuk kpd kita utk menharungi hidup ini mengikut jalan islam.

Malah kita juga harus percaya bahawa kitab2 yg diturunkan sebelum Al-Quran itu juga adalah dari pada Allah S.W.T

Sebelum wujudnya Al-Quran, wujudnya Bible, dan sebelum wujud bible wujudnya Kitab Taurat. Semua kitab2 ni bukti wujudnya kekuasaan Allah, bukti wujudnya kehidupan akhirat.

Beza kitab Al-Quran dan kitab2 yg lain ialah, Allah S.W.T telah berjanji kpd kita yg Kitab Al-Quran akan menjadi kitab yg terpelihara sehingga akhir zaman. dan tiada sesiapa yg mampu mengubah isi kandungannya. Sebab itu perkataan kalimah Allah datang dari arab iaitu ayat suci Al-Quran, nenek moyang orang ibrani zaman nabi nuh sehingga harini memanggil tuhan sebagai El-Shaddai, El-Elohim dan lain-lain.

mengapa kita mengucap dua kalimah Syahadah?

mengapa tidak mengucap sampai setakat ini? AhsyahduAllah ila sahaja.

ingat baik-baik jangan main-main, perbezaan pendirian kita sebagai umat Islam menggunakan kalimah Allah dan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

saya sendiri asal berugama buddha lepas itu kristian pantecost tahulah ura-ura orang kristian.


ps: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (36) Al-Isra

hambaAllah berkata...

Hampir 15 hingga 20 juta penganut Kristian berbahasa Arab menggunakan bible terjemahan 'al kitab al muqaddis' memakai nama Allah. Terjemahan terawal ke bahasa Arab dari bahasa Greek dibuat oleh Paderi Abu Ourra dari Gereja Damshik dalam kurun ke-8. Nama tuhan 'Theos' diganti dengan 'Allah'. Ulama Al-Tabiri dan Ibn Taimiyah menggunakan kata 'Allah' apabila membaca ayat-ayat bible dalam hujah mereka. Orang Melayu Islam janganlah melatah cepat, lebih baik perbetulkan aqidah terhadap Allah darpada melompat tidak tentu fasal.

Tanpa Nama berkata...

askum..sy rasa tentang memakai nama Allah perlu dipandang serius agar dia tidak salah digunakan dan disalah ertikan..sy tertarik untuk berkongsi perkara ini berdasarkan perkembangan semasa, pd hemah sy perkara ini merupakan satu taktik berkonsepkan politik semata-mata...ini satu agenda besar pihak umno untuk menutup apa yang berlaku di negara kita sekarang..contohnya enjin jet, pkfz, badan kehakiman, ekonomi negara, altantuya, teoh beng hock, majoriti nipis pembentangan bajet dan byk lg..di mana BN irihati dengan sokongan rakyat terhadap PR..sy ingin pimpinan atasan PR mesti peka dan memandang serius perkara ini sekarang...jgn kita terikut-ikut rentak musuh islam sedangkan musuh islam dari golongan yang mengaku islam tetapi dari segi dalaman sgt terpesong...awas dan berwaspada dengan golongan ini!!!!!!!!!!!!jikalau dia betul-betul ingin membela islam kenapa mereka menolak hudud,undang2 Allah?Pihak umno sekarang seperti nyawa dihujung tanduk..

david ahmad muniandy berkata...

semua orang kena ingat negara Arab bersatu bukan hanya untuk penduduk warganegara Arab sahaja, kaum Yahudi pun juga salah satu warganegaranya...jadi penduduk kaum Yahudi di negara Arab adalah 100% dalam bahasa Arab sejak lahir di tanah arab sehingga harini dan juga berugama Yahudi dan kristian ortodox mengikut agama keturunannya jadi tak hairanlah kerajaan negara Arab membenarkan kaum lain mencetak bible dalam tulisan bahasa arab.

Idayu berkata...

Bagi saya walau apa pun yang terjadi kita tak sepatutnya membenarkan nama Allah di gunakan sesuka hati oleh agama lain. Pada mulanya mereka mungkin akan menggunakan nama tersebut dengan baik, kita tidak tahu untuk jangka masa yang akan datang. Mereka boleh berkata apa saja bagi memesongkan akidah kaum umat islam. Kita jangan nak memandang orang lain yang bersalah dalam hal ini tapi kita sebagai umat islam haruslah mengambil serius tentang perkara yang sensitif ini.