04 Januari 2010

PAS Perak lawat Harakah dan Karang Kraf.

17 Muharram 1431

DS. Nizar dan ahli rombongan sedang mendengar taklimat tentang operasi syarikat percetakan Karang kraf.


PAS Perak pada 30 Disember 2009 yang di ketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya 1, YB DS. Hj Muhammad Nizar Jamaluddin telah melakukan lawatan dan kunjungan hormat ke pejabat Harakah di Kuala Lumpur dan pejabat Karang Kraf yang menerbitkan akhbar Sinar Harian di Shah Alam, Selangor.

Ahli rombongan bergambar di Pejabat Urusan Harakah Jalan Pahang, Kuala Lumpur.



Ahli rombongan yang lain ialah Timbalam Pesuruhjaya 2 dan TPJ 3, Dr. Khairuddin Abd. malik dan ust. Mustafa Syaari,Setiausaha PAS Perak, Ust. Misbahul Munir, Ketua Penerangan, Drs. Khalil Idham Lim, Bendahari, Hj. Abd. Rahim Mat Arif, Ketua Dewan Muslimat, Ust. Bariah, Pengarah Pilihanraya Muslimat , Pn. Amizan, Timbalan Ketua Pemuda negeri, Ust. Nuri dan beberapa ahli rombongan yang lain .

Kunjungan ke pejabat Harakah disambut oleh YB Datuk Kamaruddin Jaafar dan beberapa pengarang Kanan Harakahdaily dan Harakah Cetak. Taklimat ringkas kepada ahli rombongan telah disampaikan oleh Datuk Kamruddin dan Sdr. Zulkifli Sulong.

Selain itu satu dialog dan soal jawab dengan editorial diadakan. Antaranya rombongan dari Perak memberi pandangan dan harapan agar isu-isu Perak sentiasa diberi liputan oleh pihak Harakah, PAS Perak juga mengharapkan wartawan Harakah ditambah
memandangkan keluasan negeri Perak yang mempunyai 59 DUN dan 24 Parlimen.

Dalam kunjungan ke Pejabat Karangkraf di Seksyen 15 Shah Alam, kehadiran kami sememangnya dinantikan oleh pihak pengurusan dan para wartawan yang mengendalikan penerbitan akhbar Sinar Harian itu.

Dato' Seri Hj Nizar daan ahli rombongani diberi peluang untuk melawat ke seluruh pejabat Karangkraf yang terkenal dengan lebih 30 penerbitan berbagai jenis majalah. Kami juga dibawa melawat dan diberi taklimat operasi percetakan di kilang percetakan dan penerbitan yang terbesar di Malaysia itu..

Semasa sesi dialog rombongan diberi kesempatan memberi pandangan dan harapan kepada Sinar Harian terhadap liputan dan pemberitaan isu-isu dan aktiviti PAS di seluruh Perak. Sebelum itu para wartawan Sinar Harian telah mengambil peluang untuk bertanya kepada YB Hj Nizar mengenai isu-isu nasional dan isu-isu Perak.

Sesi Dialog dengan pihak pengurusan Karang Kraf yang menerbitkan akhbar Sinar Harian.


Dalam kesempatan tersebut, PAS Perak memberi pandangan supaya Sinar Harian edisi Perak memberi liputan yang sama adil terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Perak dan juga aktiviti-aktiviti PAS di seluruh kawasan.

Sinar harian dimaklumkan sejak akhir-akhir ini, sangat kurang berita-berita PAS di sana sini, berita UMNO BN lebih banyak disiarkan berbanding berita Perak, kami juga mendedahkan adanya usaha jahat dari pejabat MB Perak melalui Setiausaha Akhbar MB yang cuba mencampuri kebebasan akhbar menyiarkan berita-berita PAS dan PR di Perak, ia sangat berbeza dengan edisi negeri-negeri lain seperti Selangor atau Kedah.

PAS Perak juga mengharapkan Sinar Harian memperbanyakkan pemberitaan mengenai kesedaran anak-anak muda supaya menghayati budaya hidup Islam dengan mengajak mereka kembali ke masjid. Sinar Harian juga diperingatkan supaya nilai berita yang diolah mestilah atas roh amanah dan mengandungi nilai yang boleh memberi kesan mendidik pembaca kepada kesedaran politik dan dakwah.

Mengakhiri kunjungan ke Shah Alam, PAS Perak juga sempat membuat lawatan dan kunjugan ke Percetakan Angkatan Edaran yang mencetak akhbar Harakah dan Siasah yang terletak tidak jauh tidak jauh dari situ. kedatangan kami disambut oleh pengarah urusan Syarikat tersebut, sdr. Azlan Jan.

Rombongan telah diberi taklimat dan dibawa untuk melihat sendiri percetakan Harakah yang sedang beroperasi untuk edisi terkini pada hari tersebut.

Tiada ulasan: