28 Januari 2010

Zulkifli Nordin diserah kepada Lembaga Disiplin

12 Safar 1431H
Dzulfikar Mashhor

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Mesyuarat Biro Politik PKR hari ini memutuskan untuk menyerahkan nasib anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin kepada Lembaga Disiplin parti itu.

Pemimpiin PKR dalam sidang media selepas mesyuarat berakhir jam 3.30 petang tadi memberitahu, Lembaga Displin diberikan masa sebulan untuk memutuskan kes tersebut disamping mengemukakan cadangan tindakan kepada majlis pimpinan pusat (MPP).

Zulkifli didakwa melampaui batas perbezaan pendapat apabila membuat laporan polis ke atas anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam isu penggunaan nama Allah.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dalam kenyataannya di sidang media itu berkata, Biro Politik PKR memandang berat dan menyesali tindakan anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin yang membuat laporan polis terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bagaimanapun, menurut Saifudin yang membacakan keputusan itu, PKR menerima hakikat bahawa Zulkifli berhak untuk memberikan pandangan dan ia akan dihormati.

Bagaimanapun, katanya, tindakan Zulkifli itu dianggap biro paling berkuasa dalam PKR itu sebagai membelakangkan mekanisma parti.

Sehubungan itu, katanya, mereka telah bersetuju mengambil tindakan berikut:-

1) Setuju kes ini dibawa kepada Lembaga Disiplin parti dan ia perlu bersidang secepat mungkin iaitu tidak lebih dari satu bulan.

Tindakan yang perlu diambil adalah mengkaji aduan, menyiasat aduan, mendengar penjelasan Zulkifli dan membuat keputusan.

Keputusan yang boleh dibuat adalah memberikan amaran, mengantung keahlian atau memecat taraf keahlian Zulkifli Nordin dalam PKR.

2) Menyuarat itu juga mengarahkan Zulkifli agar jangan membuat sebarang kenyataan berkait dengan hal ini sehingga proses ini diselesaikan mengikut saluran parti dengan cara yang baik.

Sementara itu, Zulkifli seperti dilapor Malaysiakini memberi jaminan akan akur dengan apa jua keputusan PKR.

"Dalam mana-mana parti, termasuk PKR, berhak ambil tindakan jika perlu untuk maslahah (kebaikan) parti. Tetapi saya juga berhak pertahankan diri," lapor web itu.

Sepanjang siasatan dijalankan juga, Zulkifli diarahkan menutup mulut dan dilarang membuat kenyataan media.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, perkara itu tidak boleh dihalang kerana ia dibuat berdasarkan peruntukan parti.

Bagaimanapun, beliau akan terus bercakap berhubung isu kalimah Allah jika dirasakan perlu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR adalah Syed Kamaruzaman.

Harakahdaily.net/-

2 ulasan:

yes berkata...

Assalamualaikum,

Mana kita nak tempatkan?
1. Hak Allah.
2. Hak Parti.

Nampaknya ini adalah satu dilema bagi orang Islam. Jadi berhati hatilah apabila anda nak masuk sesebuah parti.

Tanpa Nama berkata...

Jika PKR tak ambik tindakan apa pulak geng-geng dalam PR (especially DAP la) nak kata. Kalo ambik tindakan dah jadi macam UMNO plak. Susah-susah..Tapi PAS tak cakap apa-apa pun..