28 Januari 2010

Adun Melor ceria kembali bertugas

12 Safar 1431H
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 26 Jan: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melor boleh berurusan seperti biasa melalui wakil rakyatnya bermula hari ini setelah Wan Ismail Wan Jusoh pulih seperti biasa daripada penyakitnya sejak pulang dari Mekah, akhir tahun lepas.

“Saya amat berterima kasih kepada seluruh warga di Dun Melor yang selama ini memahami masalah penyakit yang saya hadapi dan alhamdullillah, hari ini saya boleh menjalankan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat seperti biasa dan kena mengambil ubat yang telah ditetapkan sahaja,” katanya.

Beliau ditemui di Majlis Taklimat Tertutup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim.

Sebelum ini, Wan Ismail telah menghadiri mesyuarat yang berkaitan dengan hal-hal soalan dewan dan petang ini pula di taklimat SPRM.

Beliau juga berkata, pada malam esok akan bersama AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dalam siri ceramah.

Ketika ditanya berkaitan kesihatannya, beliau berkata setakat ini telah dibenarkan keluar dan menjalankan tugas seperti biasa dan akan ke Kuala Lumpur untuk rawatan biasa sahaja.

“Di sini juga saya ingin rakamkan terima kasih saya kepada Badan Perhubungan PAS Negeri yang memantau perjalanan parti di Dun Melor dan kepada seluruh rakyat Kelantan amnya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, taklimat khas yang diadakan kepada seluruh Adun, Ahli Parlimen Kelantan dan Pegawai Kerajaan Negeri itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Pembentangan dan Penjelasan Akta SPRM 2009 telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah II SPRM, Datuk Haji Zakaria Jaafar dan hadir sama ialah Pengarah SPRM negeri, Mohd Jaafar Hussin.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: