28 Januari 2010

SPR perlu bersih daftar pemilih, guna dakwat kekal

12 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Wanita Keadilan menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menumpukan usaha ke arah pembersihan Daftar Pemilih dan penguatkuasakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang untuk meningkatkan keyakinan orangramai terhadap SPR sebagai badan bebas yang menjalankan pilihan raya.

Sehubungan itu, Pengarah Biro Pilihan Rayanya, Rodziah Ismail memandang serius kenyataan Timbalan Pengerusi SPR berhubung kajian untuk melaksanakan pengundian awal bukan sahaja kepada anggota keselamatan tetapi juga meliputi doktor, jururawat, pemberita, juruterbang dan kakitangan penerbangan.

“Adakah ini jawapan SPR kepada kontroversi Undi Pos yang mengalami krisis kewibawaan akibat Daftar Pemilih yang tidak diyakini bersih, proses pengundian yang tidak telus dan undi yang tidak rahsia?

“Bila pula terdapat laporan bahawa golongan pekerja ini menghadapi kesulitan untuk membuang undi sebelum ini sehingga SPR mengambil langkah yang sebegitu penting ini sebagai persediaan ke arah Pilihan Raya Umum ke-13?” tanya beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga Atau juga mempersoalkan adakah tindakan itu diambil berdasarkan ’khabar angin’ semata-mata sama seperti keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lepas.

Sehingga kini, katanya SPR masih membisu apabila Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lepas dengan hanya bersandarkan ’khabar angin’ dan bukan atas sebab-sebab keselamatan.

Menurutnya, SPR sepatutnya berusaha untuk meningkatkan kewibawaan kepada proses pengundian pilihan raya yang dijalankannya dengan belajar dari pengalaman negara-negara lain tentang proses pilihan raya yang lebih telus dan cekap.

Harakahdaily.net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju kalau sistem pengundian awal diadakan bagi menggantikan sistem pengundian pos. Dengan syarat sistem pengundian pos dimansuhkan secara mutlak.

Namun sebagai timbal balas kepada sistem pengundian awal, penggunaan penanda dakwat India perlu disyaratkan di jari pemilih sebagai bukti ketelusan sistem pilihanraya.

Namun tempoh sistem pengundian awal semestinya tidak melebihi 3 hari dari hari pengundian umum, atau secara penaltinya kertas undi dari pengundian awal akan tertolak secara automatik.