28 Januari 2010

Politik: Tidak daftar pemilih, menentang demokrasi

12 Safar 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir 2009.

Lebih memeranjatkan 65 peratus daripada jumlah itu adalah bumiputera khususnya golongan remaja dan belia.

Selangor mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang, diikuti Johor (605,000), Perak (526,000) dan Sarawak (473,000), Kelantan (240,000) dan Perlis (32,000).

Pendedahan itu juga turut menjadi topik perbincangan bukan sahaja parti-parti politik, malah gologan anak muda yang tergolong dalam kategori layak mengundi tetapi tidak mendaftar tersebut.

Dalam komen-komen mereka khususnya di Facebook, mereka beralasan tidak berminat terlibat dengan politik kerana mendakwa politik sesuatu yang menyusahkan.

Pengasas Zentrum Future Studies, Dr Abu Hassan Hasbullah berpendapat, mereka yang tidak mendaftar sebagai pemilih itu sebenarnya telah tidak berfungsi sebagai warga negara yang baik.

Ini kerana mereka telah menentang dan tidak menghormati dasar-dasar demokrasi negara ini.

"Setiap warganegara yang layak mengundi, harus mendaftar dan wajib mendaftar.

"Jika mereka tidak mendaftar mereka telah menentang sistem negara yang menjunjung semangat demokrasi, dan perilaku ini juga bertentangan dengan akhlak warganegara yang baik," jelasnya yang juga Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya.

Namun yang lebih besar katanya, golongan ini perlu sedar bahawa keengganan terlibat dalam proses memilih pemimpin negara memberi kesan yang besar kepada kehidupan mereka.

Menurut Abu Hassan, kehidupan golongan ini sebenarnya hanya menumpang atas hasil usaha orang lain yang telah menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin bagi kesejahteraan negara.

Sikap sebegini jelasnya adalah merupakan satu sikap primitif dan tidak bertamadun yang hanya suka berada di 'zon selesa' menikmati hasil kerja orang lain.

Sehubungan itu, golongan ini jelas Abu Hassan sebenarnya tidak layak menerima apa-apa kelebihan atau insentif dari kerajaan dan juga tidak berhak mengkritik jika dasar-dasar kerajaan membebankan mereka.

Ini kerana mereka tidak mempedulikan tanggungjawab mereka dalam proses pembetukan sebuah kerajaan.

"Jika terjadi apa-apa kepada negara ini sama ada berlakunya masalah ekonomi, sosial dan politik, maka yang sebenarnya merekalah yang bertanggungjawab menyebabkan perkara ini terjadi.

"Mereka tidak bersama-sama dalam proses demokrasi untuk memilih kepimpinan yang baik menerajui negara, jadi mereka tidak boleh merungut," jelasnya.

Harakahdaily.net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Dr,
Mendaftar tu tak jadi masaalah. Bab mengundi tu yang payah. Saya tak nampak mana mana parti pun yang akan dapat memerentah dengan baik. Saya lihat ada parti yang korup,pemimpin nya semua kaya raya, harta berjuta juta. Ada parti yang akan melingkup kan negeri sampaikan beri geran tanah untuk beratus tahun. Ada parti yang bila di beri tajaan ka Mekan katakan itu hadiah bukan rasuah.
Jadi selepas mendaftar, apakah yang harus saya lakukan? Bersubahat dengan mereka ini?