25 Mac 2010

[Fikrah Islamiah] Bayi dibuang perlu diselamatkan

8 Rabiulakhir 1431H
Ahmad Baei Jaafar

Amalan membuang bayi atau anak sudah menjadi perkara biasa di negara ini. Lalu mereka yang terlibat sama ada lelaki atau perempuan sudah tidak berasa berdosa atau bersalah lagi. Malah mereka sering mengulangi kesalahan yang sama walaupun mereka sedar amalan itu satu larangan. Meskipun kejadian itu sering dipaparkan oleh media dan penguat kuasa agama sudah bertindak, mereka tidak pernah bimbang.

Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, 21 Mac, bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui basah kuyup dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu.

Menurutnya ketika ditemui kira-kira pukul 6 petang, bayi yang hanya dibaluti tuala mandi itu agak lemah dan sudah tidak mampu untuk menangis lagi. Badannya juga kebiru-biruan kerana terlalu sejuk akibat hujan lebat yang turun sebelum itu.

Siapakah ibu bapa bayi itu? Yang pasti bayi itu tidak ada bapa kerana kalau ada bapa tentu dia akan selamatkan anak itu. Bapa walau sekadar mana pun sifatnya dia masih ada rasa sayang kepada anaknya sendiri. Oleh sebab itulah dalam Islam lelaki penyebab lahir anak itu tidak diiktiraf sebagai bapa.

Manakala ibunya, sudah pasti ada sebab dia yang mengandungkan bayi itu selama sembilan bulan dan dia juga yang melahirkannya. Dalam keadaan ini, agak masuk akalkah kita seorang ibu yang mengandung dan perit melahirkan bayi itu kemudiannya sanggup meletakkan bayi itu di dalam semak?

Lazimnya ibu ini ada rasa kasih sayang kepada bayinya sendiri maka kalau dia berbuat begitu tentulah kerana dia kurang siuman atau diberikan kepada orang lain yang tidak amanah. Demikian kata logik akal kita.

Mengapa sanggup

Tetapi kalau merujuk kepada kata hati dan perasaan, sebenarnya ibu bapanya sudah hilang rasa kasih dan sayang terhadap anak itu kerana terjadinya anaknya tiada atas rasa sayang menyayangi, reda meredai. Prosesnya adalah atas rasa nafsu, atau paksaan yang salah seorangnya tidak rela, apatah lagi perbuatan mereka itu turut dikongsi oleh syaitan. Kalaupun ada pasangan yang melakukannya itu secara rela, suka sama suka iaitu berzina, namun dalam hati kedua-duanya masih tersimpan rasa bimbang kalau-kalau ada orang lain yang mengetahuinya.

Kalau begitulah keadaan hati mereka, maka anak itu bukan lagi sebagai sumber kebahagiaan bagi mereka. Pada mereka, adanya anak itu boleh menambahkan kekusutan di hati mereka, sebab itulah mereka sanggup membuang atau memberi sahaja kepada orang lain. Mereka ketika itu seperti orang bila yang tiada lagi perasaan.

Walau bagaimanapun kita tidak nafikan terdapat juga ibu yang sanggup menjaga dan membesarkan anak itu tanpa bapa malah amat menyayanginya. Ibu ini seperti yang sebut di atas reda dan rela kerana telah menganggap dia bersama suaminya walaupun tidak sah. Dia sanggup bahkan tenang melakukan dosa tersebut kerana percaya kepada pengakuan lelaki itu untuk mengahwininya selepas itu.

Anak-anak yang berjaya dilahirkan atas proses inilah yang banyak didaftarkan sebagai anak tak sah taraf di negara ini. Adapun anak yang lahir hasil perogolan atau yang tidak reda kebanyakannya mati, dan sedikit sahaja yang boleh diselamatkan seperti dalam kes di atas.

Sebenarnya anak tak sah taraf ini seperti yang dilaporkan media baru-baru ini melebihi 17 ribu didaftarkan pada tahun 2009. Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding keseluruhan bangsa di negara ini sebanyak lebih 200 ribu orang, kita harus berasa bimbang.

Siapa yang sepatutnya bimbang?

1. Pemimpin – bimbang mungkin dengan pentadbiran mereka yang kurang bermutu maka berlakulah semua ini dalam pemerintahnya. Bimbang juga kalau dunia ini nanti dipenuhi oleh anak-anak tak sah taraf malah ditadbir oleh mereka. Ini memberi peluang kepada mereka menukar pendekatan dalam mentadbir.

2. Ulama dan cerdik pandai Islam – bimbang mengapa dakwahnya tidak berkesan dalam mendidik masyarakat, risau atas kecurian mereka berdakwah menyebabkan Allah turunkan bala dan bimbang satu hari nanti anak-anak tak sah taraf ini menyalahkan mereka kerana tidak mendidik ibu bapa mereka ke arah takutkan Allah.

3. Orang ramai – mereka juga harus bimbang kerana kecuaian mereka dalam menegur sikap jiran tetangga dan taulan lalu semua ini terjadi. Mereka bimbang juga dengan pertambahan anak tak sah taraf ini menyebabkan keharmonian masyarakat tergugat. Orang ramai yang termasuk ibu bapa ini harus bertanggungjawab atas semua yang berlaku di sekeliling mereka.

Kita perlu selamatkan umat Islam dan negara ini daripada dosa dan noda tersebut dengan bertindak mengikut kedudukan masing-masing. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. :

عن أبي سعيد الخدري قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم - يقول من رأى منكرا فاستطاع أن يغيره بيده فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان

Yang bermaksud: “Rasulullah bersabda, sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dengan kemampuannya mengubah dengan tangan, jika tidak mampu hendak diubah dengan lidahnya, dan jika tidak mampu juga ubahlah dengan hati yang demikian itu adalah selemah-lemah iman,” (Ahkam ak-Quran Lil-Jasasah, Juz 4 mk 155)

Rasulullah menyebut tiga peringkat dakwah untuk tiga golongan iaitu:

1. Pemerintah dengan kuasanya dia perlu bertindak, mendakwa dan menghukum.

2. Ulama dengan ilmu yang ada mereka perlu bertindak dengan memberi nasihat, didikan agar mereka kembali ke pangkal jalan.

3. Orang awam yang tiada kuasa dan tiada ilmu cukuplah dengan bertindak membenci perbuatan mereka dan disusuli dengan doa. Inilah kerja hati yang boleh dilakukan dan ini jugalah yang dikatakan selemah-lemah iman.

Walau bagaimanapun bagi orang awam yang ada kuasa dan ilmu harus bertindak mengikut taraf masing-masing. Kita seharus tahu kedudukan kita dalam kes ini. Jadi, jangan biarkan kejadian itu berulang di kawasan anda.



Tiada ulasan: