25 Mac 2010

Lan Yu Chong Shu

8 Rabiulakhir 1431H

Berlagak Sebagai Salah Seorang Pemuzik dalam Suatu Pancaragam

Asal Usul:

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu antara tahun 475 hingga tahun 221 Sebelum Masihi, ada seorang raja di negeri Qi yang bernama Qixuanwang. Baginda sangat suka menikmati persembahan yang menggunakan alat muzik "Yu", iaitu sejenis alat muzik tiupan pada zaman kuno. Lantaran itu, tertubuhlah sebuah pancaragam diraja yang terdiri daripada 300 orang pemain Yu. Setiap kali raja Qixuanwang mahu mendengar permainan Yu, baginda akan memerintahkan kesemua mereka memainkan alat muzik tersebut secara beramai-ramai di hadapan baginda.

Pada ketika itu, ada seorang lelaki bernama Nan Guo yang tidak pandai langsung memainkan Yu. Bagaimanapun, apabila melihat begitu banyak ganjaran yang diberikan oleh raja Qixuanwang, dia juga bercita-cita untuk menjadi salah seorang anggota dalam pencaragam tersebut. Maka, dia telah membuat suatu percubaan yang cukup berani. Pada suatu hari, Nan Guo telah pergi ke istana untuk mengadap raja Qixuanwang. Dia terus bercakap berdegar-degar tentang kepandaiannya dalam memainkan alat muzik Yu kepada baginda. Kemudian, dia memohon supaya dia diizinkan menyertai pancaragam itu. Melihat keikhlasan yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Nan Guo, raja Qixuanwang pun bersetuju untuk menerimanya.

Maka, selepas itu, Nan Guo mula mengikut pemain-pemain yang lain memainkan Yu untuk raja Qixuanwang. Setiap kali membuat persembahan, dia akan meniru gerak-geri pemain yang lain, dan berpura-pura sedang memainkan Yu dengan sepenuh hati dan jiwa. Tiada seorang pun yang mengesyaki dan terfikir mahu menguji teknik permainannya yang sebenar.

Beberapa tahun kemudian, raja Qiminwang pula naik takhta selepas ayahandanya, iaitu raja Qixuanwang mangkat. Raja Qiminwang juga sangat suka kepada muzik yang dihasilkan oleh Yu. Namun, berlainan dengan ayahandanya, yang berminat kepada permainan secara berkumpulan, baginda lebih gemar kepada permainan solo. Oleh itu, para pemain selalu diminta supaya memainkan Yu di hadapan baginda seorang demi seorang. Apabila mengetahui kegemaran raja Qiminwang tersebut, Nan Guo menjadi sangat bimbang, kerana tidaklah mudah lagi baginya untuk terus berlagak sebagai salah seorang pemain dalam pancaragam itu. Maka, dia segera mengemaskan barang-barangnya, lalu melarikan diri dari istana.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Lan Yu Chong Shu" atau "Berlagak Sebagai Salah Seorang Pemuzik dalam Suatu Pancaragam" ini, membawa erti, menggunakan orang yang tidak berapa pandai untuk mengisi jawatan kosong supaya genap jumlahnya. Peribahasa ini juga digunakan untuk mempersenda orang atau golongan yang tidak mempunyai apa-apa kepandaian dan kemahiran, dan sentiasa hidup dalam keadaan bercelaru.

CRI/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ASLM .... BAGUS CERITA-CERITA KLASIK CINA NI... KALAU LAH DIMASUKKAN DALAM SATU FOLDER DAN JADI KOLEKSI ALANGKAH BAIKNYA.... WSLM

Tanpa Nama berkata...

Peribahasa yang sesuai untuk Musa Hassan Ketua Polis Negara. Patutlah jenayah menjadi-jadi, rupanya penipu yang jadi Ketua Polis.

Teringat ungkapan dalam permainan polis sentri: "Police sentry want to jaga, police mati pencuri jaga."