19 Mac 2010

Jaga Lunas dulu sebelum kritik Kulim - Lim Soo Nee

2 Rabiulakhir 1431H
Ali Hashim

KULIM, 17 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang kebelakangan ini kerap mempertikaikan kepimpinan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah dinasihatkan supaya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat di kawasannya terlebih dahulu.

Gesaan itu dibuat oleh Adun Kulim, Lim Soo Nee sebagai menjawab tuduhan Mohd Radzhi bahawa sepanjang dua tahun kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak banyak membantu penduduk Kulim.

"Beliau tidak perlu mempertikaikan apa yang perlu dilakukan di kawasan saya.Sepatutnya beliau perlu memberi tumpuan dan melaksanakan amanah yang telah diberi oleh rakyat kepada beliau atas mandat tiket PKR dahulu untuk menjaga kebajikan mereka.Itu kawasan yang perlu beliau beri perhatian dan bukannya kawasan saya.

"Adalah lebih baik bagi beliau menjaga kawasan bebas beliau.Sebagai wakil rakyat Kulim maka saya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan penduduk kawasan ini berada dalam kehidupan yang harmoni dan selesa.Saya juga tidak mahu banyak berpolitik sehinggakan agenda rakyat yang sebenarnya dilupakan.

"Adalah menjadi keutamaan supaya kebajikan mereka didahulukan.Oleh kerana itu Majlis Ketua Kampung diharap dapat menyalurkan maklumat tentang permasalahan yang ada di kampung masing-masing supaya dapat diatasi segala masalah yang dihadapi."katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkata, bagi membantu penduduk yang daif dan memerlukan di beberapa kampung seperti Mahang beberapa nama yang memerlukan pemerhatian telah pun disenaraikan untuk diajukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: