24 Mac 2010

PAS ucap takziah kepada keluarga Sulaiman Daud

7 Rabiulakhir 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Mac: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sulaiman Daud (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 8.10 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, allahyarham ketika hayatnya mempunyai hubungan yang baik dengan PAS sewaktu berada dalam kabinet.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kami mengucapkan takziah kepada kelurga almarhum.

"Beliau sangat sedih bila PAS dikeluarkan dari Barisan Nasional pada tahun 1978 menunjukkan betapa eratnya hubungan almarhum dengan PAS," katanya ketika ditemui di Parlimen pagi ini.

Ujarnya lagi, almarhum juga seorang pemimpin yang tidak pernah menunjukkan sikap kedaerahan dan kepartian khususnya kepada PAS sewaktu PAS memerintah Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan Dewan Rakyat bertafakur seketika bagi memberi penghormatan kepada allahyarham.

Allahyarham meninggalkan empat anak, Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.

Isteri allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.

Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat Persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.

Selain itu, allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di klinik Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: