16 Mac 2010

Umat Islam diseru kembalikan kegemilangan ilmu

29 Rabiulawal 1431H
Hazayani Zakaria

GOMBAK, 15 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam agar mengembalikan kegemilangan ilmu seperti zaman pemerintahan Islam yang terdahulu.

Abdul Hadi berkata, ramai di kalangan manusia pada zaman ini mempunyai ilmu yang tinggi tapi gagal memanfaatkannya ke arah kebaikan.

"Agenda ilmu perlu kembali dan dikembalikan untuk memartabatkan umat Islam. Hari ini kita melihat banyak orang yang berilmu tapi gagal dalam hidup. Mereka ada ilmu, tahu, faham, mengerti, macam orientalis barat, alim dalam bidang Islam tapi menentang Islam.

"Ulama-ulama yang jahat, ilmunya ada tapi iman dan akhlak tidak dibina dengan cara yang baik, tidak istiqamah dalam hidup. Contohnya, golongan berilmu dalam bidang sains dan teknologi, mencipta alat-alat yang boleh membunuh manusia dalam sekelip mata. Sebabnya kerana ilmu tidak berasaskan kepada kewajipan khilafah dan kewajipan amanah yang ditetapkan oleh Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Pembangunan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar petang semalam.

Ujar Abdul Hadi, asas segala ilmu yang dipelajari oleh manusia terdapat dalam Al-Quran, iaitu mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

"Islam telah berjaya memerintah negara yang besar. Di timur, sampai ke rantau Asia Tengah, di Baratnya Sepanyol, di utaranya, Asia Tengah hingga ke Moscow, di selatan, Afrika Tengah.

"Pada zaman yang belum wujud kecanggihan ilmu seperti zaman ini, tetapi asas-asas ilmu dalam segala bidang sudah wujud di dalam Al-Quran. Apa sahaja ilmu yang lahir di kalangan manusia asasnya adalah di dalam al-Quran, sama ada ilmu yang dapat memberi manfaat dalam hubungan dengan Allah, dengan manusia, dengan segala benda yang ada di muka bumi, termasuk ilmu yang diharamkan, seperti ilmu sihir, ada dalam al-Quran," katanya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Mahfodz Mohamed, Ahli Jawatankuasa PAS, Datuk Abu Bakar Chik dan Rektor KUIZM, Dr Shahbudin Ngah

Abdul Hadi petang tadi turut mengambil kesempatan meninjau tapak KUIZM yang pembinaannya sedang giat dijalankan.

Turut bersama, Pengarah Syarikat A One Pro Construction, iaitu syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan pembinaan KUIZM, Mohd Idris Kassim.

Pembinaannya dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun ini dan akan mula mengambil pelajar sulung pada Julai depan.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: