08 April 2010

[Fikrah Islamiah] Anda menabung, boleh menyelamatkan orang lain

Ahmad Baei Jaafar

Seorang Ahli jawatankuasa (AJK) Masjid al-Mukarramah, Seri Damansara diumumkan telah meninggal dunia setelah menderita sakit kencing manis kritikal. Semua jemaah yang menunggu untuk memulakan solat Jumaat kelihatan sedih lebih-lebih lagi mereka yang sama-sama menyumbang derma untuk rawatannya sejak dua minggu lalu.

“Tuan-tuan jemaah sekalian, seorang AJK masjid kita menderita sakit kencing manis dan disahkan doktor untuk dipotong kakinya, tetapi beliau memilih untuk membuat rawatan di Terengganu (yang tidak perlu potong kaki) dan untuk itu beliau memerlukan RM10 ribu lagi,” kata bilal sebelum mengalunkan azan.

Tiba-tiba pada hari ini, bilal sekali lagi mengumumkan pemergian Allahyarham dan wang derma yang berjaya dikumpulkan sebanyak RM12 ribu telah diserahkan kepada isterinya. Keprihatinan jemaah dalam hal ini memang terpuji, tetapi kelambatan untuk mengumpulkan sejumlah wang yang diperlukan itu amat dikesalkan.

Sememangnya malang itu kita tidak mahu tetapi siapa yang boleh mengelak daripada berlaku terhadap diri kita. Siapakah dalam kalangan kita yang tahu bila kita akan berlaku kemalangan atau sakit yang kritikal. Walaupun kita pada hari ini sudah mengidap sakit tiga serangkai, tahukah kita bagaimana kesudahan kita, dalam keadaan senang atau menyusahkan keluarga.

Jika berlaku seperti peristiwa di atas, bukan sahaja keluarga malah orang ramai boleh menolong tetapi adakah menepati keperluan kita? Jika suami meninggal dunia, isteri dan anak akan hidup ala kadar bergantung kepada bantuan orang ramai. Lainlah kalau isterinya ada pekerjaan atau anak-anak sudah bekerja.

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tinggalkan anak dan isteri kamu dengan kesenangan, keadaan ini adalah lebih baik daripada ditinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.” (Riwayat Bukhari)

Keadaan di atas mungkin boleh menjadi sebaliknya jika suami dan isteri telah menyediakan tabungan yang secukupnya semasa mereka senang. Wang gaji yang sebahagiannya dicarumkan dalam KWSP, Tabung Haji, dan ASB. Semua itu mungkin boleh membantu masa depannya dan keluarganya. Tetapi berapa banyak yang boleh disimpankan jika berlaku perkara yang tidak diingini dalam tempoh bekerja. Mungkin tabungan akan terhenti sebelum jumlah yang sepatutnya terkumpul.

Kalau gaji anda RM4000 sebulan, anda simpan/melabur 10% RM400, belanja RM 1000, minyak dan tol RM 1000 dan selebihnya bagi melangsaikan hutang bulanan, bolehlah diteruskan kehidupan jika tiba-tiba anda hilang pekerjaan. Pada masa yang sama juga anda jatuh sakit, maka bagaimana anda harus mendapatkan wang untuk merawat. Mungkin apa yang anda simpan dan labur itu boleh digunakan. Tetapi cukupkah?

Di sini cuba anda renung sejenak, kalau kita beli kereta, kita akan beli insurans. Kenapa? Memang ada yang menjawab telah diwajibkan kerajaan. Tapi kebanyakannya menjawab untuk melindungi kereta, kerana kereta adalah barang kesayangannya. Rumah dan barang dalam rumahnya yang berharga turut diinsuranskan. Tetapi berapa ramai yang menginsuranskan dirinya sendiri? Apakah dirinya tidak termasuk dalam barang berharga? Ya, orang Islam akan menjawab, insurans adalah haram.

Alhamdulillah kini sudah ada takaful, yang memberi perkhidmatan yang lebih baik daripada insurans. Adakah alasan lagi untuk kita tidak mengambilnya?

Bagaimana kalau anda mencarumkan dalam takaful dalam jumlah tertentu dan tempoh tertentu, anda sebenarnya telah melakukan tiga perkara baik; menabung, membantu ahli yang memerlukan dan khairat kematian. Dengan cara ini bukan sahaja anda tidak kehilangan wang, dan beroleh pahala membantu orang lain, malah wang khairat anda akan meringankan bebanan keluarga yang anda tinggalkan.

Perhatikan carta berikut:

Sumbangan bulanan RM150 RM100
Tabung khairat kematian biasa RM87,100.00 55,800.00
Tabung hilang upaya biasa RM87,100.00 55,800.00
Tabung khairat kematian kemalangan RM107,100.00 70,800.00
Tabung hilang upaya kemalangan RM107,100.00 70,800.00
Tabung penyakit kritikal RM20,000.00 15,000.00
Pampasan kemalangan RM20,000.00 15,000.00
Elaun harian hospital RM100.00 RM80.00

Merujuk kepada AJK masjid di atas, kalau dia beringat semasa muda, dengan menabung atau mencarum RM100 sahaja dia boleh mendapat RM15,000.00, selain elaun hospital dan khairat kematian. Jadi, anda yang belum tahu masa depan anda, segeralah menabung dengan takaful.

Akhirnya sebagai renungan, siapa sangka Din Beramboi boleh meninggal dalam keadaan apa yang saksikan baru-baru ini. Mungkin ramai yang bersimpati dengannya akan menyumbang derma untuk biaya kos hospital, perkebumian. Bagaimana dengan isteri dan anak-anak? Siapa yang akan membantu mereka untuk meneruskan kehidupan jika Din tidak meninggalkan sesuatu untuk mereka.

Yang pasti, isteri akan bekerja semula untuk meneruskan kehidupan. Dialah bapa dan ibu untuk anak-anaknya. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis di atas. Jadi, segeralah dapatkan perunding takaful di tempat anda secara percuma.






3 ulasan:

razak berkata...

ana memang setuju seratus peratus cadangan penulis ni, sebagai jamaah islam, lajnah ekonomi sepatutnya menggerakkan cadangan murni ni sehingga ke peringkat cawangan kerana ianya akan menjaga kebajikan ahli kita walaupan dalam apa jua keadaan kita dalam keadaan siap siaga menghadapi musibah.

mohd raub mohamed shah

razak berkata...

ana memang setuju artikel diatas. sebagai jamaah islam sepatutnya usaha menabung melalui takaful ini dikembangkan sehingga peringkat cawangan untuk jadikan semua ahli dan keluarga dalam keadaan siapa siaga dalam apa situasi sekalipun.

razak

Geng Muda berkata...

Haram bagi orang Islam mengambil insurans peribadi kerana kewujudan Takaful yang sememangnya mematuhi syarak...

Orang Melayu selalunya elergik dengan takaful yang menyebabkan diri dan keluarga berada dalam keadaan susah selepas ketiadaan ketua keluarga mereka. Sebut sahaja program simpanan dan kesihatan atau takaful, mulalah mereka menunjukkan rasa jengkel dan tidak gembira.
Sepatutnya mereka patut sekurang-kurangnya mengkaji sedikit-sebanyak tentang program ini sebelum membuat keputusan.. Ini tidak... Ramai yang menolaknya mentah-mentah tanpa berfikir panjang...